Pesona rumah kampung latar ladang, moden

Pesona rumah kampung latar ladang, moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terletak di kawasan tenang, rumah kampung ini tampil menarik dengan konsep rumah ladang moden yang cukup memikat mata.

Kediaman milik Husna Nadishah Nasir ini menekankan gabungan rona putih, coklat dan hitam, menjadikan ruang kediaman kelihatan lebih luas, bersih dan tentunya moden.

Menurutnya, padanan warna adalah elemen penting bagi memastikan konsep rumah ladang ini menonjol.

“Bagi saya, pemilihan warna memainkan peranan utama agar dekorasi atau konsep nampak lebih menarik.

“Saya juga selitkan unsur rotan di beberapa sudut rumah untuk menambah nuansa rumah ladang moden yang lebih asli,” katanya kepada Seri.

Kediaman berkeluasan 1,200 kaki persegi ini mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk dilengkapkan.

Kelebihan konsep ini adalah warna putih yang mendominasi memberikan ilusi ruang lebih luas, selain mengekalkan gaya minimalis yang kini menjadi pilihan ramai.

Antara ruang yang paling digemari wanita berusia 32 tahun ini adalah dapur yang direka dengan konsep terbuka bersama ruang makan.

Reka bentuk ini bukan sahaja praktikal, tetapi juga menjadikan ruang lebih mesra keluarga, memudahkan interaksi semasa memasak atau bersantai.

Dari segi penyelenggaraan pun mudah diurus kerana hanya menggunakan tiga warna asas sekali gus memudahkan padanan perabot serta aksesori.

Susun atur sederhana berjaya mengekalkan aura rumah kampung yang nyaman tetapi dengan sentuhan moden elegan.

Bagi padanan warna, Husna Nadishah banyak mengambil inspirasi daripada konsep rumah ladang yang popular di luar negara.

“Saya masukkan kombinasi warna coklat dan putih serta sedikit hitam untuk mencipta titik fokus dan menarik perhatian,” katanya.

Selain idea sendiri, dia juga merujuk kepada beberapa akaun Instagram rakan-rakan yang aktif dalam dekorasi rumah untuk menambah elemen unik dalam kediaman.

Sentuhan peribadi yang kreatif menjadikan kediaman sederhana ini tampil menarik dan elegan dalam gayanya yang tersendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×