Kediaman tidak perlu besar atau mewah untuk memberi kebahagiaan.
Paling penting, setiap ruang mampu memancarkan rasa selesa, ceria dan menjadi tempat memulihkan jiwa.
Itulah yang dilakukan Yuslin Zulkifli, 39, apabila menata rumah sewa teres dua tingkat yang didiami bersama keluarganya dengan gabungan konsep Dopamine Decor dan English Retro.
Walaupun hanya berkeluasan 1,200 kaki persegi, Yuslin berjaya membuktikan kediaman sederhana juga boleh tampil penuh gaya, personaliti selain membawa aura kegembiraan.
Konsep Dopamine Decor dipilih kerana sifatnya yang penuh warna, bertenaga dan membangkitkan emosi positif setiap kali melangkah pulang ke rumah.
Warna pastel seperti merah jambu lembut, biru muda dan kuning cerah menjadi asas utama dinding sebelum dipadankan dengan perabot berwarna lebih terang seperti sofa hijau avokado, lampu lantai hijau dan meja kopi berbentuk awan yang memberikan kesan ceria serta playful.
Namun, untuk memastikan kediamannya tidak terlihat terlalu moden atau terlalu fun, Yuslin menyeimbangkannya dengan sentuhan English Retro yang membawa elemen klasik Inggeris, corak floral, tekstur lembut serta aksesori nostalgia yang menghidupkan suasana elegan dan tenang.
Gabungan dua dunia berbeza ini akhirnya melahirkan sebuah kediaman yang bukan sahaja manis dipandang, tetapi turut memberi kesan terapeutik kepada pemiliknya.
“Sebagai suri rumah merangkap pencipta kandungan, saya banyak menghabiskan masa di rumah, jadi persekitaran yang positif amat penting untuk kesejahteraan emosi dan aliran kreativiti.
“Dopamine Decor menyuntik tenaga serta inspirasi setiap hari manakala sentuhan English Retro pula menyeimbangkan ruang dengan aura klasik yang tenang, elegan dan penuh memori,” katanya kepada Seri.

Tambahnya, proses dekorasi mengambil masa kira-kira tiga bulan, dilakukan secara berperingkat mengikut bajet tanpa mengubah struktur asal rumah sewa.
Pemilihan warna, susun atur perabot dan aksesori menjadi fokus utama agar tidak menjejaskan keadaan rumah.
Antara ruang yang paling digemarinya ialah ruang tamu, yang disusun sebagai ruang utama mencerminkan konsep gabungan kedua-dua gaya tersebut.
Ruang ini menjadi kawasan keluarga berehat serta berfungsi sebagai studio kecil tempat Yuslin menghasilkan kandungan media sosialnya.
Pencahayaan yang lembut dan padanan warna yang harmoni menjadikan ruang tamu ini sentiasa memberi inspirasi dan ketenangan.
Walaupun rumahnya sarat warna dan karakter, Yuslin mengakui penyelenggaraannya tidaklah sesukar yang disangka.
“Tidak susah sebenarnya. Konsep ini mudah diselenggara kerana kebanyakan bahan dan hiasan yang digunakan ringkas, praktikal serta mesra penyewa. Saya gunakan perabot kayu, rotan dan fabrik yang mudah dijaga.
“Warna pastel juga mudah dipadankan jika saya ingin ubah suasana. Anak-anak juga gemar bermain di ruang ini kerana dekorasinya ceria dan dekat dengan jiwa mereka.
“Bagaimanapun, saya akan pastikan rumah sentiasa kemas dan teratur supaya ruang sentiasa kelihatan segar, nyaman dan tidak memeningkan kepala,” kongsinya yang banyak merujuk idea daripada Pinterest dan akaun Instagram dekorasi luar negara.-UTUSAN










