Junaidah bahagia ditemani 20 cicak gecko

Junaidah bahagia ditemani 20 cicak gecko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBIASAANNYA, golongan wanita lebih suka memelihara haiwan comel dan manja seperti kucing dan arnab.

Namun, lain bagi Junaidah Jaafar, 25, yang memilih binatang eksotik iaitu cicak gecko sebagai peneman setianya di rumah.

Dia tertarik dengan reptilia itu kerana warna dan coraknya yang unik serta mempesonakan.

Tambahan pula, katanya, cicak gecko mempunyai karakter yang lembut.

Justeru, tidak hairanlah haiwan kesayangannya itu kini mencecah 20 ekor sejak mula dipelihara pada 2023.

“Sebelum ini, saya takut dan geli dengan semua jenis reptilia tetapi bila tengok video-video di media sosial, timbul minat untuk memilikinya,” katanya.

Katanya, gecko memiliki sifat yang tenang dan tidak agresif berbanding haiwan lain.

Penjagaannya pun sangat mudah kerana tidak memerlukan ruang luas untuk bergerak.

Apa yang penting ialah persekitaran selesa, stabil dan sesuai dengan habitat asalnya.

“Gecko berasal dari kawasan gurun, maka ia lebih suka tempat yang panas dan gelap.

“Sehubungan itu, saya sentiasa menyediakan bekas untuk gecko ‘bersembunyi’,” katanya.

Selain itu, katanya, gecko juga akan melalui proses menukar kulit dari masa ke masa sama seperti ular.

Dalam tempoh tersebut, warna kulitnya mungkin kelihatan lebih pudar atau kusam.

Junaidah sentiasa memastikan kulit yang tertinggal, terutama di jari, tidak tersangkut bagi mengelakkan kecederaan.

Walaupun reptilia ini tidak mengeluarkan bunyi dan lebih suka bersembunyi, ia mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan rasa selesa kepada pemiliknya.

“Kalau orang lain pegang, dia sedikit gelisah. Tapi kalau saya, dia tenang sahaja, menandakan sudah kenal,” ujarnya.

Diet mudah
Cicak gecko hanya memerlukan makanan yang ringkas seperti cengkerik, ulat dan lipas dubia.

Rutin pemakanan adalah tiga kali seminggu.

Kosnya amat murah iaitu kira-kira RM3 sahaja dalam sebulan.

Selain cicak, Junaidah turut memiliki haiwan peliharaan lain di rumah iaitu kucing dan hamster.

Namun, kesemua binatang tersebut tidak diletakkan bersama bagi mengelak stres kepada reptilia kecil itu.

Katanya, haiwan lain mungkin melihat gecko sebagai mainan dan situasi tersebut boleh mengundang stres.

“Stres keterlaluan boleh menyebabkan gecko memutuskan ekornya sebagai tindak balas semula jadi untuk melindungi diri.

“Walaupun ekor tersebut akan tumbuh kembali, bentuknya tidak akan sama seperti asal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×