Fauziah tidak serik perjuangkan Palestin

Fauziah tidak serik perjuangkan Palestin

Perjuangannya untuk Palestin sentiasa hidup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suara Dr. Fauziah Mohd. Hasan tenang, tetapi sarat kekuatan.

Beliau bukan sekadar Pakar Obstetrik dan Ginekologi di KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital, tetapi juga seorang aktivis kemanusiaan yang memilih jalan getir demi menegakkan keadilan dan menyuarakan suara yang sering ditindas.

Sejak 2016, nama Dr. Fauziah sinonim dengan perjuangan global membebaskan Gaza melalui Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan gerakan amal khusus untuk wanita dan kanak-kanak di Palestin.

“Saya sentiasa ingat ‘sumpah seorang doktor’ yang perjuangkan kesejahteraan manusia. Saya percaya kesejahteraan seorang wanita bermula dari rahim hingga ke liang lahad.

“Dalam setiap krisis, yang paling menderita ialah wanita dan anak-anak. Di Gaza juga begitu. Sebahagian besar yang syahid ialah golongan itu. Daripada situ saya terpanggil untuk memulakan misi kemanusiaan,” katanya kepada Seri.

Fauziah yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) turut menjalankan projek Home of Hope and Love, sebuah inisiatif membantu ibu-ibu di Gaza yang menjaga anak yatim piatu.

“Kami tidak buat rumah anak-anak yatim kerana tidak mahu mereka membesar dalam sebuah institusi, sebaliknya kami mahu anak-anak yang kehilangan ibu bapa membesar dalam suasana rumah walaupun hanya keluarga angkat.

“Kami beri dana kepada ibu-ibu angkat ini secara bulanan, bukan untuk belanja anak-anak itu tetapi sebagai gaji buat mereka. Duit untuk perbelanjaan anak-anak pula diberi berasingan,” katanya.

Fauziah Mohd. Hasan dan suami, Mohd. Alauddin Mohd. Ali (tengah) bersama delegasi Malaysia pada misi Freedom Flotilla Coalition ke Gaza, baru-baru ini.

PANTANG MUNDUR

Menjadi wanita bukan alasan untuk berundur. Malah, kata wanita berusia 68 tahun ini, ia menjadi kekuatan untuk berempati dan memahami penderitaan insan lain.

Ketika ramai hanya mampu berdoa dari jauh, beliau memilih untuk berlayar, membawa bersama semangat dan solidariti sejagat.

Tanpa gentar, ibu kepada tiga anak ini menyertai pelayaran flotila kemanusiaan menuju Gaza buat kali keempat walaupun cukup sedar misi itu sering berdepan halangan, ancaman dan penahanan oleh pihak berkuasa Israel.

Masih jelas terngiang detik itu di fikirannya. Dari deruan angin laut hingga ketegangan yang membalut dada ketika kapal dikepung.

“Saya sudah beberapa kali menyertai pelayaran ke Gaza. Kali pertama tahun 2016 hingga baru-baru ini juga. Kedua-duanya berakhir dengan kami ditahan oleh Israel.

“Kali pertama kami dipenjarakan di utara, di penjara Givon, Ramla. Kali kedua di selatan, penjara Ketziot. Pengalaman di Ketziot lebih mencabar. Layanan kasar, air minum pun hanya air paip daripada tandas.

“Namun lebih teruk kerana mereka cuba bermain dengan emosi dan psikologi. Di Ketziot kami diganggu setiap dua hingga tiga jam oleh tentera yang berpakaian lengkap seakan ingin berperang dan bersenjata. Mereka datang untuk kira kami berapa orang walaupun sudah berkali-kali dikira, mungkin hanya untuk kacau dan tidak bagi kami tidur,” kongsinya.

Namun istilah menyesal atau serik tidak pernah wujud dalam kamus srikandi ini.

Katanya, setiap saat dalam penjara itu menjadi saksi perjuangan yang dibawa bukan sia-sia.

“Kami sudah bersedia, daripada segi mental dan fizikal. Kami tahu mereka akan cuba menghina dan menakutkan kami. Tetapi apa yang kami lalui tidak seberapa berbanding dengan penderitaan rakyat Gaza.

“Kami tahu kami hanya ditahan beberapa hari, tetapi rakyat Palestin hidup dalam penjara yang tiada penghujung,” luahnya.

Ketika ditanya sama ada berasa takut selepas penahanan peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang mendahului misi bantuan ke Gaza baru-baru ini, figura ini tersenyum.

“Ketika dengar berita penahanan itu, semua peserta bersepakat kami akan terus berlayar ke Gaza walau apa pun terjadi.

“Tidak ada seorang pun yang mahu berpatah balik,” katanya sambil menambah keberanian itu datang bukan daripada kekuatan sendiri, tetapi daripada keyakinan kepada Tuhan.

BERKONGSI MINAT DENGAN SUAMI

Suri hati kepada Prof. Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali ini bersyukur kerana suaminya berkongsi minat yang sama dalam misi kemanusiaan.

Malah, pelayaran FFC ke Gaza baru-baru ini turut ditemani suami.

“Sejujurnya, memang anak-anak risau tentang keselamatan saya dan suami.

“Keputusan kami untuk naik kapal kali ini dibuat dalam masa yang singkat. Tidak sempat berbincang dengan anak-anak. Tetapi, suami kata tidak mengapa sebab kami dah pun berbincang tahun lalu.

“Saya percaya perjuangan ini bukan hanya untuk rakyat Gaza, tetapi untuk krisis kemanusiaan yang sedang tenat. Ramai kawan saya dalam flotila bukan Islam, tetapi mereka kata kalau tidak buat apa-apa, kemanusiaan akan mati,” katanya.

TERUS BERJUANG

Beliau tidak pernah berhenti berjuang walau kini kian meniti usia senja.

Pengalaman ditahan, dihina dan diancam tidak pernah sekalipun mematahkan semangatnya.

Malah, setiap dugaan itu menjadikannya lebih yakin perjuangan masih jauh dari garisan penamat.

“Tangan saya pernah dikilas ke belakang semasa ditahan Israel dan saya menjerit sakit. Dihina dan dimalukan semua sudah rasa.

“Tetapi, saya tidak pernah terfikir untuk berhenti. Saya akan tetap bercakap mengenai Palestin,” ujarnya penuh semangat.

Apabila ditanya sama ada akan menyertai misi flotila yang akan datang, beliau mahu memberi peluang kepada generasi muda untuk merasai sendiri pengalaman tersebut, memandangkan semakin ramai yang menunjukkan minat dan mengemukakan permohonan untuk menyertai gerakan itu.

Begitupun, beliau akan terus aktif menjalankan kempen kesedaran dan menggerakkan bantuan untuk Gaza.

Beliau turut menitipkan nasihat kepada anak-anak muda yang berhasrat menyertai misi flotila agar mempersiapkan diri daripada segi ilmu, mental dan semangat perjuangan.

Penting memahami sejarah dan kebenaran sebenar disebalik konflik yang berlaku.

“Kita mesti ada ilmu, sebab naratif yang dibawa pihak Israel sangat kuat. Mereka cipta gambaran seolah-olah merekalah mangsa, sedangkan banyak yang diputar belit.

“Jadi, anak muda perlu tahu sejarah yang benar supaya kita bercakap atas dasar kebenaran, bukan sekadar mengulangi cerita yang sedap didengar,” jelasnya.

Tambahnya, perjalanan menuju ke Gaza bukanlah mudah.

“Atas kapal itu bukan senang. Bukan seperti bercuti atau naik kapal untuk berseronok. Hidup susah, tidur tidak selesa, makan pun sederhana.

“Tetapi pengalaman itulah yang membina ketahanan diri. Kalau asyik hidup senang, kita jadi lembik. Bila rasa susah, barulah kita jadi lebih tabah” katanya sambil tersenyum.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×