Pelbagai barangan pelik di rumah ‘makhluk asing’

Pelbagai barangan pelik di rumah ‘makhluk asing’

Kakak Alien tampil dengan maskot makhluk asing yang diperbuat daripada bakul pakaian kotor yang dibalut dengan baju T.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melangkah masuk ke kediaman ‘makhluk asing’ di Shah Alam ini, mata pasti terpaku pada pelbagai hiasan pelik yang memenuhi segenap ruang.

Dari ruang tamu hingga ke dapur, setiap sudut dihiasi koleksi unik yang seolah-olah membawa pengunjung ke dimensi lain.

Antara yang paling mencuri tumpuan ialah kerusi rona oren berbentuk makhluk asing di ruang makan.

Dengan mata besar yang merenung tajam dan tangan panjang menjulur, kerusi itu seakan tidak sabar mahu ‘menangkap’ mangsa untuk dijadikan santapan.

Tidak hairanlah, ia sering menjadi bahan bualan setiap kali tetamu berkunjung ke rumah itu.

Ada yang terhibur melihat bentuknya yang aneh, tidak kurang juga yang berasa seram seperti diperhatikan dari hujung meja.

Pemilik rumah yang mesra disapa Kakak Alien berkata, kerusi tersebut sebenarnya dihasilkan sendiri (DIY) dengan menggunakan perabot di rumah dan bahan kitar semula.

Menurutnya, projek DIY itu timbul daripada minat menghias rumah yang sudah sebati dengan dirinya sejak 2012.

Di peringkat awal, konsep dekorasinya lebih ke arah bohemian, tetapi kini dia cenderung kepada gaya dopamine decor yang penuh warna dan menyeronokkan.

Ujarnya, trend hiasan dalaman itu memberi kebebasan penuh kepada pemiliknya untuk menonjolkan ekspresi diri melalui apa sahaja elemen yang membangkitkan rasa gembira.

Antaranya termasuk penggunaan perabot pelik, hasil DIY unik serta gabungan corak dan warna kontras yang tidak dijangka.

“Saya bermula dengan membuat kerusi berbentuk makhluk asing, sekadar untuk suka-suka sahaja.

“Tetapi lama-kelamaan, saya tengok kehadiran ‘benda pelik’ di meja makan itu sebenarnya menambahkan seri, lantas mendorong saya memperbanyakkan lagi koleksi DIY.

“Hasilnya, suasana rumah semakin ceria berbanding dahulu, malah tetamu yang datang pun berasa teruja,” katanya kepada Seri.

Sehingga kini, lebih 20 barangan DIY yang berjaya disiapkan Kakak Alien di masa terluangnya.

Barangan itu seperti lampu gantung, rak kasut, bangku, pasu, cermin warna-warni, penyidai baju, pensel gergasi dan mengubah suai dapur.

Pensel gergasi yang diperbuat sepenuhnya menggunakan teknik jahitan dan tanpa gam.

Bakat meniru

Melihat kepada kreativiti yang ditonjolkan pemilik perniagaan ini, mungkin ada yang menyangka dia mempunyai latar belakang dalam seni reka.

Hakikatnya, dia tidak pernah mendapat sebarang pendedahan asas dalam bidang tersebut.

Sebaliknya, dia hanya berbakat meniru sesuatu barangan walaupun dengan sekali pandangan sahaja.

“Kelebihan itu saya manfaatkan untuk meniru produk asal tetapi menggunakan bahan yang lebih murah.

“Dengan cara ini, saya dapat melakukan banyak penjimatan kerana kos keseluruhan yang dibelanjakan kurang RM400.

“Kos itu termasuk pembelian barangan asas seperti cat, gam, mentol lampu, kain dan sebagainya, manakala yang lain-lain saya hanya mengitar semula perabot atau aksesori lama,” katanya.

Kakak Alien berkata, koleksi DIY di rumahnya juga sering berubah mengikut cita rasa.

Jika sudah bosan dengan hiasan lama, dia akan menggantikannya dengan rekaan baharu.

Wanita ini bersyukur kerana minatnya tidak pernah ditentang keluarga, malah, mereka turut mengagumi setiap usaha kreatifnya dalam memberi nafas baharu kepada barangan lama.

“Saya puas hati bila projek DIY menjadi dan dikongsi ramai pengikut,” ujar pemilik akaun TikTok Rumah Kak Alien itu.

Pensel gergasi

Daripada semua projek DIY yang pernah dihasilkan, pensel gergasi disifatkan paling mencabar.

Dia perlu mencari bahan yang sesuai daripada segi saiz dan ukuran, selain menyiapkan sepenuhnya dengan jahitan tangan tanpa menggunakan gam.

“Batang pensel diperbuat daripada paip PVC dan kemudian saya jahit sembat kain-kain supaya lebih kemas serta tahan lasak.

“Dalam masa dua hari sahaja, pensil gergasi ini berjaya disiapkan,” katanya yang turut tampil dengan identiti maskot makhluk asing berwarna ungu.

Menariknya, maskot tersebut dihasilkan daripada bakul pakaian kotor yang dibalut menggunakan baju T.

Projek terbaharunya pula menghasilkan lampu gantung menggunakan tanglung putih yang dihiasi dengan susunan bola pingpong di sekelilingnya.

“Impian saya adalah untuk mengubah suai tandas tetapi masih belum kesampaian kerana faktor tenaga dan kos,” katanya.

Menurut Kakak Alien, hobi DIY dekorasi rumah itu dilakukan pada hujung minggu atau ketika cuti, bagi mengisi masa lapang dengan aktiviti menyeronokkan.

Dia tidak gemar menyimpan projek terlalu lama dan kebiasaannya disiapkan dalam tempoh sehari atau dua sahaja.

“Jika projek tertangguh, saya bimbang mood dan idea akan hilang,” ujarnya yang mendapat banyak inspirasi daripada Pinterest.

Katanya, gambar-gambar rujukan amat penting kerana mampu menyuntik ilham bagi menghasilkan sesuatu rekaan yang hampir sama dengan contoh asal.

Buat patung beruang

Minat terhadap aktiviti DIY sebenarnya sudah berputik sejak di bangku sekolah rendah, apabila dia gemar menghasilkan patung beruang menggunakan bahan terpakai.

Ketika itu, dia sering melihat ibunya menjahit baju kurung di rumah, maka daripada situlah datang ilham untuk mengutip kain perca untuk dijadikan anak patung.

“Aktiviti itu saya lakukan lepas balik sekolah dan sehingga sekarang saya masih simpan patung beruang tersebut.

“Malah, kira-kira 10 tahun lalu, saya pernah membuka tempahan menjahit anak patung dan berjaya menjual lebih daripada 60 unit,” katanya.

Antara rekaan yang paling mendapat permintaan ketika itu ialah anak patung konvokesyen dengan harga bermula RM70 ke atas.

Bagaimanapun, aktiviti tersebut terpaksa dihentikan kerana kekangan masa untuk menyiapkan tempahan.

“Fokus saya kini lebih kepada dekorasi rumah dan projek terbaharu yang sedang dilakukan ialah menghasilkan beg,” katanya.

Kakak Alien turut berpesan kepada orang ramai agar tidak takut untuk memulakan DIY, terutama yang melibatkan projek kecil dan mudah terlebih dahulu.

Katanya, perkara paling penting ialah tidak mudah patah semangat dengan pandangan orang sekeliling.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN