Olah sisa akrilik jadi aksesori unik

Olah sisa akrilik jadi aksesori unik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi segelintir individu, sisa atau lebihan bahan lazimnya dianggap tidak berguna dan hanya berakhir di tong sampah

Berbeza bagi Nurul Hidayah Adnan, 30, yang mengolah bahan buangan tersebut menjadi karya seni akrilik unik dan berwarna-warni.

Idea itu tercetus semasa pereka grafik bebas dan artis media campuran ini menyertai pameran seni di pusat komuniti kreatif di Bukit Bintang, pada tahun lalu.

Platform pameran debut itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengendalikan bengkel pembuatan karya seni akrilik.

Sekali gus membolehkannya menggunakan sisa bahan daripada projek-projek terdahulu.

“Saya tidak mahu bahan itu terbuang begitu sahaja, jadi saya sediakan pen cat, filem warna dan lembaran laminasi sejuk.

“Kemudian, saya biarkan peserta mencipta karya mereka sendiri dan hasilnya sungguh menakjubkan.

“Imaginasi mereka sangat kreatif, bahkan menyuntik inspirasi baharu kepada saya,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Daripada situ, Nurul Hidayah terdorong untuk memperbanyak dan meneruskan lagi penghasilan karya seni akriliknya.

Serentak itu, dia mencipta rekaan khas di bawah jenama miliknya, Totbonkers pada tahun ini.

Antara karya seni akrilik yang dihasilkan ialah subang, rantai kunci, kotak tisu, penanda buku, tempat penyangkut subang, bingkai dan papan tanda.

Subang menjadi pilihan utamanya kerana sejak zaman universiti lagi, dia sudah mula mengumpul aksesori tersebut.

“Saya gemarkan rekaan anting-anting yang cantik, unik dan mampu menonjolkan penampilan saya.

“Lalu timbul idea, kenapa tidak hasilkan subang sendiri dengan menggunakan medium akrilik?” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Media dari University of New South Wales, Australia ini.

Ujarnya, setiap koleksi subang itu ditampilkan dalam edisi terhad dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Menariknya, rekaan subang dan rantai kunci akriliknya sangat fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut cita rasa si pemakai.

“Saya menyediakan empat pilihan muka dan kepala berwarna-warni yang boleh digabungkan mengikutkan kesukaan masing-masing.

“Setiap kombinasi mencipta rekaan unik dan bersifat peribadi, bagaikan cerminan identiti pemakainya, ” katanya.

Makin indah dengan pantulan cahaya
Menurut Nurul Hidayah, seni akrilik masih baru di Malaysia dan belum betul-betul diterokai kalangan penggiat tempatan.

Situasi ini mungkin dipengaruhi oleh kos bahan atau material yang tinggi.

Tetapi, itu bukan penghalang untuk seseorang menceburinya kerana terdapat pelbagai tarikan lain yang ditawarkan akrilik.

“Apabila cahaya menembusi produk akrilik, ia memantulkan warna dengan indah dan menyerlahkan ruang sekeliling.

“Dalam masa sama, ia dapat menambahkan daya tarikan sesuatu produk atau karya,” katanya.

Elemen penting dalam setiap karya seni akrilik sentuhannya ialah warna-warni, unik dan serbaguna.

Matlamatnya agar produk-produk yang direka itu dapat berfungsi dan mampu menyelesaikan masalah.

“Dengan akrilik, saya boleh mencipta apa sahaja dan bebas bermain dengan warna serta cahaya tanpa had.

“Tiada istilah buruk atau cantik kerana itu semua bergantung kepada kreativiti dan imaginasi masing-masing.

“Saya percaya kalau kita buat bersungguh-sungguh, maka hasilnya pasti nampak elok,” katanya.

Bingkai hiasan bentuk punggung
Antara barangan paling pelik pernah dihasilkannya ialah bingkai cermin hiasan yang memaparkan bentuk punggung.

Karya dalam dalam siri, Asswork itu diinspirasikan daripada pengalamannya yang kelesuan sebelum ini.

“Saya hanya mampu terduduk di sofa dan tiada motivasi untuk buat apa-apa selain merenung ke arah dinding kosong.

“Dan di dinding itulah saya terbayang cermin dan lihat refleksi diri untuk segera bangkit,” katanya.

Manakala, rekaan yang sukar pula adalah daripada siri, My Kembang Seraya Laga yang dihasilkan dengan kerjasama Ruang Cipta.

Cabaran
Cabaran terbesar dalam pembuatan karya akrilik adalah untuk mendapatkan potongan tepat seperti diingini.

Disebabkan tiada mesin pemotong laser khas, Nurul Hidayah menyerahkan tanggungjawab bagi proses itu kepada rakan baiknya.

Menariknya, jika bahagian yang dipotong itu patah atau rosak, ia masih boleh digunakan semula dalam setiap rekaan.

“Contohnya, saya boleh gunakan untuk membuat sambungan tangan yang bergantung dengan badan bagi rantai kunci.

“Atau disimpan untuk projek-projek lain bagi mengurangkan sisa pembaziran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×