Seni dan alam tidak dapat dipisahkan.
Apabila keduanya digabungkan dalam satu ruang, hasilnya bukan sahaja menyejukkan mata, malah turut memberi kesan mendalam kepada jiwa.
Inilah yang cuba diketengahkan melalui seni simpulan macramè yang kini semakin mendapat perhatian sebagai pelengkap gaya hidup hijau di kediaman moden.
Menariknya, macramè iaitu seni simpulan tali yang diwarisi sejak ribuan tahun lalu kini dipadukan dengan tanaman hiasan, menjadikan ruang kediaman lebih tenang, eksklusif dan penuh nilai seni.
Artisan Macrame, Juliana Megat berkata, macramè boleh menjadi solusi kreatif untuk mewujudkan ‘tanaman gantung’, terutamanya bagi penghuni apartmen atau rumah teres yang berkeluasan terhad.
“Tanaman seperti pokok Money Plant, sirih gading, Spider Plant, String of Pearls, Fern dan Philodendron Heartleaf sangat sesuai digantung menggunakan macramè.
“Selain menjimatkan ruang, ia juga menambah nilai estetik. Dengan cahaya matahari yang cukup, tanaman ini bukan sahaja tumbuh sihat, malah mencipta pemandangan yang menenangkan.
“Macramè kini dilihat bukan sahaja sebagai seni hiasan, tetapi sebahagian daripada trend gaya hidup hijau,” katanya kepada Seri.

Penggunaan tali kapas semula jadi, kombinasi dengan tanaman organik serta penekanan kepada kelestarian alam, menjadikannya pilihan ideal bagi yang mahu ruang rumah lebih harmoni dengan alam.
Simpulan-simpulan indah yang dihasilkan mampu menjadi penyangkut tanaman, rak gantung, malah hiasan unik untuk sudut rumah.
Gabungan tali kapas semula jadi dengan kehijauan tanaman memberi nafas segar kepada seni macramè, menjadikannya elemen gaya hidup lestari.
“Dalam konteks masyarakat bandar, ia membuka ruang untuk berehat seketika daripada hiruk-pikuk kehidupan moden.
“Ruang yang dihiasi dengan macramè dan tanaman hijau mampu menjadi terapi visual. Ia membentuk suasana yang membolehkan pemilik rumah berehat, bermeditasi atau sekadar menikmati kopi di hujung minggu,” katanya yang turut mengetengahkan seni macrame pada hiasan dalaman kediaman miliknya.
Malah, Juliana turut menganjurkan kelas, bengkel dan sesi perkongsian seni simpulan untuk mendekatkan seni itu kepada masyarakat.
Menghasilkan macramè bukan sekadar mencipta seni hiasan.
Proses simpulan yang berulang-ulang, tertib dan memerlukan fokus, mampu memberi kesan menenangkan.
Seperti teknik meditasi, setiap simpulan yang dihasilkan melatih minda untuk lebih sabar dan teliti.-UTUSAN










