Kasih ibu bapa benteng pertama kehidupan seorang anak.
Hubungan itu ibarat akar dan pokok. Bukan sekadar ikatan darah, tetapi jalan menuju keberkatan.
Pun begitu, tidak ada yang terlepas dengan ujian hidup.
Ada yang diuji dengan kesempitan hidup, kehidupan dan perselisihan faham dengan ibu bapa sendiri.
Namun, dalam setiap ujian itu tersimpan hikmah, mengajar seseorang erti sabar, kemaafan dan kasih sayang sebenar.
Minggu ini, saya kongsikan kisah, Ziela (bukan nama sebenar) yang pernah berselisih faham dengan ibu bapa dan pada akhirnya memutuskan untuk pulang.
Menurut Ziela yang saya temui baru-baru ini, hampir sedekad dia membawa diri.
Dia merajuk dan terluka dengan ibu bapa sendiri kerana mereka tidak bersetuju dengan pilihan hatinya.
“Ketika itu saya masih muda, penuh emosi dan berasa diri paling betul. Hanya terlalu taksub dan cintakan seorang lelaki saya sanggup meninggalkan mereka,” ujarnya memulakan perbualan.
Menyingkap kisah lalu, Ziela dibesarkan dalam sebuah keluarga sederhana.
Sejak kecil dia sangat rapat dan manja dengan kedua ibu bapanya.
Segala-galanya bermula selepas Ziela mengambil keputusan untuk berkahwin muda dengan lelaki pilihannya, Fadil (bukan nama sebenar).
Walaupun memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia memilih untuk tidak melanjutkan pengajian.
Mereka menegur Ziela dengan nada keras, bimbang anak kesayangan jatuh ke tangan orang yang salah.
Tetapi bagi Ziela, dia terasa kata-kata kedua bapanya seperti penghinaan terhadap pilihannya.
Dalam pertengkaran singkat itu, kata-kata tajam terlepas daripada mulutnya.
“Ketika itu, saya melihat air mata mak mengalir, wajah ayah berubah. Tetapi saya memilih untuk tidak memujuk sebaliknya keluar rumah dengan perasaan marah dan kecewa,” imbasnya.
Menurutnya, selepas meninggalkan keluarga, dia berkahwin lari dengan Fadil.
Pada awalnya, hidup terasa indah.
Dia fikir, dialah paling bertuah kerana memilih cinta berbanding nasihat orang tua.
Namun, perlahan-lahan belang Fadil mula kelihatan.
Suami yang pada mulanya penyayang mula berubah.
Sering pulang lewat, pandai berjanji tetapi tidak pernah menunaikannya.
Setiap kali ditanya tentang pekerjaan, dia memberi pelbagai alasan.
Kononnya sedang berusaha dalam perniagaan, menunggu projek besar dan sebagainya.
Lebih menyakitkan suaminya pandai menipu.
Dia mengetahui suaminya sering berhubung dengan wanita lain.
Wang hantaran dan belanja yang kononnya hasil titik peluh sendiri rupanya dipinjam dan diminta daripada wanita lain.
Telefon bimbitnya penuh mesej dengan wanita lain.
Suami berjanji untuk berkahwin dengan mereka, meminta wang dan menghilang
“Saya benar-benar seperti diperangkap ketika itu. Saya cuba bertahan kerana memikirkan nasib bayi yang saya kandung ketika itu,” katanya.
Pertengkaran demi pertengkaran terjadi. Selepas habis pantang, Ziela terpaksa bekerja di sebuah pasar raya berhampiran untuk menyara keluarga.
Sikap tidak bertanggungjawab suami semakin menjadi -jadi.
Mereka dua beranak pernah ditinggalkan berminggu-minggu tanpa khabar dan nafkah.
“Di saat kesusahan itulah saya mula teringat kepada ibu dan ayah.
“Saya benar-benar menyesal ketika itu kerana tidak mendengar nasihat mereka dahulu,” ujarnya.
Kemuncak hubungan mereka apabila Ziela mendapat tahu suaminya ditangkap kerana menipu seorang wanita lain.
Beberapa minggu kemudian, suaminya pulang dan dia diceraikan.
Ketika talak dilafazkan, dunia terasa gelap dan hatinya hancur.
Namun di sebalik kesedihan itu, dia berasa lega.
Lega kerana dia akhirnya bebas daripada belenggu lelaki yang menipu dan mempermainkannya selama ini.
Selepas perceraian, Ziela membesarkan anaknya sendirian.
Mengalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa pada masa sama bukan sesuatu yang mudah.
Dalam kesibukan dan kesunyian hidup, ingatan Ziela kepada ibu dan ayahnya yang ditinggalkan hampir 10 tahun semakin kuat.
Sehinggalah pada suatu hari, selepas melalui banyak ujian kehidupan termasuk kegagalan rumah tangga dia tergerak hati untuk kembali bertemu ibu ayah.
“Saya sedar, ego tidak sepatutnya menguasai diri. Kasih sayang ibu ayah lebih besar daripada segala-galanya,” ujarnya menampakkan raut wajah kesedihan.
Kata Ziela, dengan penuh keberanian pada pertengahan Januari lalu, dia memutuskan untuk pulang kembali ke pangkuan keluarga.
Dia membawa sekali bersama anak tunggalnya, Aman, (bukan nama sebenar), berusia sembilantahun.
“Ketika itu, perasaan saya bercampur baur. Takut, malu dan penuh rasa bersalah.
“Ketika ibu ayah melihat saya mereka tidak marah. Ibu ayah menyambut saya dengan penuh air mata dan pelukan rindu seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku,” ujarnya.
Tambah Ziela, dia sedar memilih cinta berbanding restu ibu bapa adalah kesilapan besar dalam hidupnya.
Bermula hari itu , Ziela berjanji menjaga hubungan, membuang rasa dendam dan menggantikan dengan kasih sayang.
Sebelum mengakhiri perbualan Ziela berkata, dia tidak berniat untuk membuka aib sendiri, tetapi sekadar berkongsi kisah hidup agar menjadi pengajaran kepada orang lain yang mungkin melalui jalan sama.
“Bagi mereka yang sedang menjauh atau merajuk dengan orang tua, pulanglah selagi mereka masih ada.
“Percayalah, pintu kemaafan sentiasa terbuka dan doa ibu ayah tidak pernah terhenti,’’ ujarnya.
Kisah Ziela ini menjadi pengajaran kepada kita semua restu dan doa ibu bapa kunci ketenangan dan kebahagian hidup.
Sesungguhnya, hubungan anak dan ibu bapa banyak dinyatakan dalam Al-Quran dan hadis.
“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’, dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia, (bersopan santun) (al-Isra-23).- UTUSAN










