Kekuatan wanita terletak dalam diri sendiri

Kekuatan wanita terletak dalam diri sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Wanita tidak boleh terlalu bergantung kepada orang lain kerana kekuatan sebenar terletak dalam diri mereka sendiri.

Prinsip inilah yang dipegang teguh oleh Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Ida Riswana Idris, 56, hingga kini.

Tidak hairanlah beliau berjaya menembusi dunia perniagaan pengurusan jemaah umrah dan haji yang lazim didominasi lelaki.

Sepanjang lebih dua dekad ini juga, lebih 64 cawangan Andalusia dibuka di seluruh Malaysia dengan 500 pekerja dan 250 mutawif.

Pencapaian itu sudah cukup untuk membuktikan ketokohan luar biasanya.

Baginya, setiap kejayaan tidak datang bergolek, sebaliknya bermula dengan kegigihan dan kerja keras.

Namun, katanya, kaum wanita sangat bertuah kerana memiliki satu keistimewaan iaitu kekuatan yang tiada tolok bandingan.

“Wanita boleh menahan serta menyerap 1,001 kepahitan, kesakitan, keperitan dan kesusahan dengan kekuatan yang ada dalam diri mereka.

“Kekuatan itu lahir secara semula jadi terutama apabila melibatkan anak-anak,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Kata Ida Riswana, kekuatan dalaman itulah yang menjadi pemacu kejayaan wanita dalam apa jua bidang sama ada sebagai profesional mahupun suri rumah.

Lebih membanggakan, semangat itu secara tidak langsung akan diteladani oleh anak-anak, sekali gus mendorong mereka untuk mengikut jejak langkah sama.

Bercerita lanjut, beliau mengakui disiplin dan ketegasan ibunya semasa membesarkan mereka lima beradik banyak membentuk jati dirinya hari ini.

Meskipun hanya jururawat, tetapi ibunya mahu semua anak-anak menjawat jawatan profesional.

“Saya merupakan anak sulung dan memiliki kembar tidak seiras yang merupakan seorang doktor.

“Awalnya, ibu mahu kami ambil bidang perubatan, tetapi saya tidak suka dan terpaksa pilih undang-undang.

“Lama-kelamaan timbul minat hinggalah dapat bergelar peguam,” katanya yang turut memiliki firma Riswana & Co.

Lima tahun tuntut ilmu
Perjalanannya dalam industri pelancongan bermula tanpa dirancang pada 2001.

Walaupun tiada latar belakang, tetapi bukan halangan untuknya dan suami, Ibrahim Mat Sin, 69, meneroka bidang baru.

“Semasa awal penubuhan Andalusia, saya tidak tahu tentang kos, hala tuju bisnes dan lain-lain, hinggakan orang ambil kesempatan atas kelemahan diri.

“Selepas lima tahun, saya nekad untuk tingkatkan kefahaman termasuk menyambung diploma berkaitan tiket di bawah International Air Transport Association (IATA).

“Selepas itu, saya sedar yang industri ini bukan sekadar menjual pakej umrah, tetapi menuntut kefahaman mendalam dan kemahiran tinggi,” katanya.

Kini, Ida Riswana bukan sahaja berjaya membina jenama kukuh, malah turut menjadi rujukan ramai pengusaha dan ejen pelancongan dari seluruh dunia yang ingin mendapatkan pandangan berkaitan pakej serta prosedur operasi standard (SOP).

Daripada hanya menguruskan 200 jemaah pada peringkat awal, Andalusia kini mencatat pencapaian luar biasa dengan membawa lebih 60,000 jemaah setiap tahun ke Tanah Suci.

Malah, beliau menyasarkan untuk meningkatkan jumlah itu kepada 80,000 jemaah, selain membuka 36 lagi cawangan di seluruh negara menjelang akhir 2025.

“Apabila tahap ilmu semakin tinggi, orang tidak lagi berani memperlekehkan saya, walaupun saya seorang wanita.

“Tambahan pula, dengan latar belakang sebagai peguam, mereka lebih berhati-hati kerana tahu saya tidak mudah dipengaruhi atau terlibat dalam perkara bertentangan undang-undang,” tegasnya.

Mengulas tentang peranannya dalam syarikat, Ida Riswana lebih menumpukan kepada urusan hubungan luar dan perlu berulang-alik ke Tanah Suci setiap bulan bagi menguruskan pelbagai hal berkaitan jemaah serta operasi.


Makan malam erat hubungan
Di sebalik jadual padat, beliau tetap berusaha memasak untuk insan tersayang.

Adakalanya rutin itu dilakukan secara berturut-turut hampir setiap malam.

Beliau percaya tradisi makan malam bersama itu dapat mengeratkan lagi hubungan dengan anak-anak dan menantu.

“Mengimbangkan antara kerjaya dan keluarga tidak mudah, mujurlah anak-anak sudah besar serta tinggal berdekatan.

“Kalau pulang awal, saya curi masa untuk memasak, menunya yang mudah-mudah sahaja.

“Dengan cara ini, kami sekeluarga dapat berkumpul sambil melayan ragam cucu-cucu,” kata ibu kepada empat anak berusia 20 hingga 28 tahun ini.

Sebagai ulat buku, beliau juga akan meluangkan masa setiap hari dengan membaca.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×