Jurusolek raih pendapatan lumayan

Jurusolek raih pendapatan lumayan

Nurul Maizaitul Farazila Abd. Rahman membangunkan jenama dan empayar dengan langkah berani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEMI cintanya dalam dunia solekan, Nurul Maizaitul Farazila Abd. Rahman sanggup meninggalkan kerjaya stabil sebagai seorang pegawai bank.

Namun, langkah berani itu ternyata membawa tuah kepadanya apabila bukan sahaja mampu meraih pendapatan memberangsangkan, malah berjaya mewujudkan jenamanya sendiri.

Bukan sahaja namanya, malah jenama Carya Cosmetics yang lahir daripada keringatnya sendiri kini semakin mendapat tempat di hati wanita, malah berada di kedudukannya sendiri dalam industri fesyen dan solekan negara.

Katanya, semasa masih bekerja di bank, beliau sudah mula mengambil tempahan solekan, setiap kali selepas waktu pejabat.

Apa sahaja peluang yang datang,beliau tidak pernah lepaskan.

Lama-kelamaan, minat yang mendalam itu semakin mekar hingga membuatkan wanita berusia 39 tahun ini nekad meletakkan jawatan setelah hampir lima tahun berkhidmat di sektor perbankan.

Keputusan besar itu bagaimanapun tidak dihalang oleh keluarga.

Sebaliknya, ibu bapa dan suami sentiasa berdiri teguh menyokong cita-citanya kerana beliau menunjukkan minatnya itu bukanlah sekadar main-main.

“Malah pada waktu, industri fesyen tengah menaik dan amat memerlukan perkhidmatan jurusolek. Justeru, peluang yang besar itu akan membantu saya untuk melebarkan sayap sebagai jurusolek,” katanya yang mesra disapa sebagai Nurul.

Sejak Disember 2014, beliau menjadi jurusolek sepenuh masa tanpa mengambil kira berapa lama masa yang perlu diluangkan bagi pekerjaan baru itu.

Setiap hari, beliau menerima sehingga 10 tempahan.

Walaupun dalam keadaan mengandung atau mempunyai anak kecil, Nurul tetap komited merias pelanggan sehingga lewat malam mahupun subuh.

Hasil kerja keras itu membuahkan pendapatan yang lumayan, sekitar RM20,000 sebulan.

Malah, pernah mencecah sehingga RM40,000 hingga RM50,000 apabila tempahan lebih banyak.

Namun, beliau tidak mahu bersikap tamak.

Baginya, kualiti hasil sentuhan lebih utama berbanding menerima tempahan tanpa henti.

Selain bakat, strategi pemasaran juga menjadi kekuatan utamanya.

Setiap hari, beliau memuat naik dua hingga tiga hasil solekan ke media sosial.

Kaedah tersebut menjadikan namanya semakin dikenali dan dipercayai ramai pelanggan.

Namun, di sebalik kejayaan tersebut, Nurul tetap berdepan cabaran.

Masa yang padat sering kali membuatkan beliau sukar menguruskan semua perkara seorang diri.

Justeru, beliau mengambil pembantu bagi mengendalikan media sosial serta mewujudkan pejabat khusus untuk beliau dan pasukan.

Walaupun pernah dikritik kerana dianggap tidak perlu memiliki pejabat hanya untuk seorang jurusolek, Nurul membuktikan sebaliknya.

MERAIKAN ulang tahun ketujuh jenama Carya Cosmetics, baru-baru ini.

Lebarkan sayap

Selain mengambil tempahan solekan, Nurul juga menawarkan kelas solekan kepada wanita-wanita yang mempunyai minat sama.

Sejak itu, beliau lihat pelajar-pelajarnya sering keliru memilih dan menggunakan alat solek dengan betul.

Maka, wujud idea untuk mencipta produk sendiri yang terdiri daripada kit solekan ringkas, mesra pengguna dan mudah difahami walaupun untuk individu yang baru belajar bersolek.

Setelah menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Korea dan China, hasilnya pada 2018, lahirlah Carya Cosmetics, sebuah jenama solekan tempatan dengan harga mesra poket.

Kesemua produk dijual pada harga RM100 ke bawah.

“Selain itu, satu pencapaian yang membanggakan saya, apabila produk ini berjaya dibawa terbang tinggi bersama AirAsia.

“Kini, para penumpang boleh mendapatkan produk produk ini semasa dalam penerbangan, satu langkah bijak yang meluaskan pasaran,” katanya.

Tahun ini, genaplah tujuh tahun jenama yang dibinanya bertahan dalam pasaran.

Bersama pasukannya, Nurul berjaya mengembangkan lebih daripada 10 jenis produk yang mendapat permintaan tinggi.

Namun, bagi anak kelahiran Perak ini, kejayaan sebenar bukanlah apabila orang membeli hanya kerana mengenali siapa pengasasnya.

“Saya mahu orang memilih produk ini kerana mereka percaya dengan kualiti, bukan semata-mata kerana nama saya,” katanya.

Kini, Carya Cosmetics bukan lagi jenama kecil. Ia mula menembusi pasaran luar negara dengan permintaan tinggi dari Indonesia, Singapura, Dubai, Australia dan Thailand.

Ujarnya, penerimaan positif tersebut membuktikan produk tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa.

Terus belajar

Tidak mahu ketinggalan dengan trend solekan ala Thai yang semakin mendapat tempat di hati ramai, beliau berpeluang menimba ilmu dan mengasah kemahiran secara langsung di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Beliau terus mempelajari ilmu baharu demi memastikan dirinya terus relevan dalam industri kecantikan yang sentiasa berubah mengikut permintaan pasaran.

Dengan mempelajari teknik tersebut secara terus di Bangkok, beliau yakin dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang menginginkan gaya solekan moden, segar dan seiring dengan trend semasa.

Langkah proaktif itu bukan sahaja memperkaya kemahirannya, tetapi juga menjadi bukti kesungguhan seorang jurusolek untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini dunia kecantikan.Katanya, kejayaan dalam industri kecantikan bukan hanya bergantung pada bakat semata-mata, tetapi juga usaha berterusan untuk belajar dan terus memperbaiki kemahiran.

Kisah klien buka erti kehidupan

Bagi Nurul, setiap klien bukan sekadar wajah untuk disolek, tetapi juga sebuah kisah kehidupan yang memberi inspirasi.

Berdasarkan pengalamannya, beliau pernah merias seorang wanita bekerjaya yang hilang penglihatan hampir 95 peratus.

Hatinya tersentuh kerana walaupun buta, pelanggannya itu tetap bersemangat tampil cantik dengan tidak menjadikan kekurangan penglihatannya sebagai batas.

“Justeru, pengalaman tersebut mengajar saya solekan bukan hanya untuk mencantikkan luaran, tetapi juga memberi keyakinan dalaman,” ujarnya.

Beliau menganggap pengalaman tersebut sangat berharga dan mengajar tentang erti ketabahan.

Ia menjadi peringatan jika seseorang yang diuji sebegitu mampu berjaya, maka dirinya juga tidak boleh mudah mengalah dalam apa jua cabaran hidup.

Selain itu, beliau pernah mendapat klien daripada latar belakang yang berbeza, sama ada ibu tunggal, selebriti, orang kenamaan (VIP) dan keluarga diraja, masing-masing pernah melalui pelbagai fasa kehidupan.

“Saya pernah menyolek wajah klien berumur lebih 50 dan 60 tahun yang berkahwin semula. Mereka berkongsikan kepada saya walaupun di peringkat umur yang sudah tua, namun tetap percaya pada peluang kedua.

Hal ini mengajar saya dalam kehidupan, kegagalan dan kekecewaan sesekali tidak bermakna kita gagal selama-lamanya,” katanya.

Baginya, setiap sesi solekan adalah ruang untuk belajar daripada pengalaman orang lain.

Kisah perceraian, menjadi ibu tunggal atau berjuang membina semula kehidupan selepas kecewa, semua itu memberikan nilai kehidupan yang tidak ternilai.

Setiap satunya menjadi iktibar dan pembelajaran untuknya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN