Hidupkan warisan menerusi kek lapis batik

Hidupkan warisan menerusi kek lapis batik

Sharifah Zainon Syed Noh menghasilkan kek lapis batik sejak 2021 kerana minat mendalamnya pada kehalusan seni kain batik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATIK lazimnya dilukis di atas helaian kain, namun berbeza bagi anak jati Sarawak ini yang memilih kek lapis sebagai kanvas seninya.

Sentuhan kreatif Sharifah Zainon Syed Noh, 39, sekali gus berjaya menggabungkan dua warisan berharga iaitu sajian ikonik negeri kelahirannya dan seni kraf tradisi.

Hasilnya, terciptalah kek lapis batik yang bukan sekadar pemanis mulut, malah menjadi lambang budaya dan identiti bangsa.

Bekas jurutera perisian ini berkata, idea ‘gila’ itu tercetus secara spontan empat tahun lalu kerana minat mendalamnya terhadap kehalusan dan keindahan batik.

“Saya merupakan pengumpul kain batik dan memiliki lebih 50 helai dalam koleksi yang sering dipadankan dengan kebaya.

“Apabila tengok gambar kek gulung batik di Pinterest, saya terpesona dan terus terfikir, mengapa tidak cuba pada kek lapis, kerana kedua-duanya adalah warisan tradisi kita.

“Tetapi, pada masa itu, belum ada sesiapa yang pernah membuat kek seperti ini, jadi ia benar-benar satu cabaran dan pengalaman baru bagi saya,” katanya kepada Seri.

Disebabkan tiada rujukan, Sharifah Zainon terpaksa mencipta resipinya sendiri melalui pelbagai eksperimen dan percubaan di dapur.

Biarpun berkali-kali gagal namun semangatnya tidak pudar meneruskan misi itu.

Fokusnya tertumpu pada pemilihan bahan, cara penyediaan dan teknik lukisan batik sahaja, memandangkan sudah mahir membuat kek lapis.

“Hobi membuat kek lapis ini bermula sejak 2017, semuanya dipelajari sendiri melalui resipi di Internet tanpa mengikuti sebarang kelas.

“Pengalaman itu memberi saya keyakinan untuk mencuba sesuatu yang lebih mencabar dan unik walaupun pada awalnya saya tidak tahu langsung melukis,” katanya.

Adunan yang terlalu cair menyukarkan proses melukis, manakala jika pekat, hasil lukisan pula kurang menarik.

Ibu kepada dua anak perempuan ini berkata, motif batik pertamanya diambil daripada kain kegemaran, menjadikan kek lapis itu lebih peribadi dan bermakna.

Paling menarik, kek itu turut dihiasi sentuhan tambahan menerusi corak anyaman di bahagian tengahnya selain lapisan berwarna-warni yang tersusun rapi.

“Warisan tidak semestinya dipelihara dengan mengulangi cara lama sepenuhnya, ia juga boleh dihidupkan semula menerusi pendekatan baharu.

“Melalui kek lapis anyaman dan batik, saya cuba bawa warisan itu dalam bentuk yang lebih dekat dengan generasi hari ini,” ujarnya yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

Dia turut berpuas hati kerana hasil kreativitinya itu bukan sahaja menarik perhatian masyarakat tempatan, malah turut memikat pelancong asing.

Kain batik jadi rujukan

Bagi memastikan lukisan atas kek tampak asli, Sharifah Zainon sering merujuk kepada kain batik.

Selain meniru motif daripada kain kegemarannya, dia juga mengambil inspirasi daripada helaian yang dijual di pasaran.

“Saya gemar ke pasar raya untuk melihat rekaan-rekaan batik baharu sambil meneliti setiap motif dan warnanya.

“Daripada situ saya dapat ilham untuk melakar dan menggabungkan warna yang sesuai bagi kek lapis batik,” katanya.

Menurutnya, proses menyiapkan pemanis mulut itu memakan masa yang panjang, kira-kira 10 jam.

Setiap langkah menuntut kesabaran daripada menyediakan adunan, membakar lapisan demi lapisan dengan teliti, melukis motif batik yang halus hingga memotong dan menyusun kek agar sempurna.

Tidak hairanlah apabila kek lapis digelar sebagai kek paling susah dan rumit untuk dihasilkan di dunia.

Di sebalik setiap lapisan terselit ketekunan, kreativiti dan cinta si pembuatnya pada warisan turun-temurun.

“Di peringkat awal, saya rasa proses melukis susah sebab saya tiada bakat tetapi bila sudah memahami tekniknya, semua jadi mudah.

“Lebih mencabar sebenarnya ialah mendapatkan resipi adunan lukisan batik dan puluhan kali saya mencuba sebelum berjaya,” katanya.

Mengulas mengenai adunan digunakan, ujarnya, bahan-bahan itu sama seperti pembuatan kek lapis iaitu mentega, telur, susu pekat, tepung, gula dan horlicks di samping pewarna gel.

Katanya, adunan yang terlalu cair menyukarkan proses melukis, manakala jika pekat, hasil lukisan pula kurang menarik.

“Selalunya saya lebihkan sukatan horlicks kerana ia dapat membuatkan warna batik bertambah menawan,” katanya.

Sharifah Zainon berkata, selain untuk warna, horlicks juga membantu menghasilkan tekstur kek yang lembut dan lembap.

“Kek yang sedap memerlukan bahan-bahan berkualiti dan jangan berkira tentang penggunaannya.

“Selain itu, mood juga penting kerana bila kita ceria, proses membuat kek berjalan lancar dan lukisan pun menjadi cantik,” katanya.

Enak disimpan

Katanya, kek lapis batik lebih menyelerakan jika dinikmati selepas disimpan lima hari, berbanding dimakan segar seperti kek biasa.

Dalam tempoh tersebut, teksturnya menjadi lembut dan lembap, manakala rasanya pula lebih harmoni.

Malah, kek itu boleh bertahan sehingga setahun jika dibungkus rapi dan disimpan dalam peti sejuk.

“Makin lama dalam peti sejuk, makin lazat rasanya,” katanya yang turut menjual kek berkenaan di Instagram Lapis by Seri.

Setiap bulan dia menerima antara 50 hingga 100 tempahan kek lapis yang berharga dari RM90 hingga RM600 bergantung kepada rekaan.

Antara rekaan itu ialah lapis batik geometri, kebaya tulip dan gulung geometri.

Rutin membuat kek pula bermula seawal pukul 4 hingga 6 pagi dan disambung semula dari pukul 8 pagi hingga ke petang.

Dia turut menganjurkan pelbagai siri kelas di Kuala Lumpur dan Singapura bagi mendidik orang ramai tentang teknik pembuatan kek lapis batik.

“Harapan saya agar lebih ramai dapat mempelajari cara membuat kek lapis batik supaya kedua-dua seni ini terus dihargai sepanjang zaman,” katanya.

Sebagai perancangan masa depan, Sharifah Zainon berhasrat menghasilkan motif songket pula di atas kek lapisnya.

Tidur depan ketuhar

Antara kenangan lucunya sepanjang hobi ini ialah tidur di depan ketuhar bagi menyiapkan tempahan Aidilfitri.

Pengalaman itu tidak hanya dialaminya, malah dirasai kebanyakan pembuat kek lapis lain.

“Saya sudah biasa terlelap di depan ketuhar, kerana selang beberapa minit pintunya perlu dibuka untuk memeriksa dan memastikan lapisan masak sekata.

“Kalau satu lapisan terbakar atau nipis, kek itu sudah tidak boleh digunakan mahupun dibaiki lagi,” katanya yang menerima lebih 1,000 tempahan sepanjang Syawal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×