Anak yang membesar dengan datuk dan nenek kebiasaannya dipenuhi dengan kasih sayang dan perhatian yang berlimpahan.
Berbeza dengan anak yang membesar dengan ibu bapa sendiri, lebih diasuh dengan disiplin dan tanggungjawab.
Walaupun cara didikan berbeza, tujuannya tetap sama untuk melihat anak membesar menjadi insan yang membanggakan keluarga, agama, bangsa dan negara.
Minggu ini, saya kongsikan kisah sepasang suami isteri Rina dan Syafiq (bukan nama sebenar) yang diuji dengan kesabaran ketika mahu membentuk semula anak yang sudah terbiasa dengan hidup dimanja.
Sebelum ini Era (bukan nama sebenar), anak kepada pasangan ini membesar bersama datuk dan nenek sukar berdikari dan menolak teguran.
Dalam pertemuan yang diatur bersama saya baru-baru ini, Rina mengakui tidak berniat untuk membuka aib keluarga, tetapi lebih kepada pengajaran.
Rina yang ditemani Syafiq berkata, pengajaran yang boleh diambil daripada kisah mereka adalah kasih sayang yang berlebihan tanpa disiplin boleh melemahkan jiwa seseorang.
Sebaliknya, teguran dan larangan yang seimbang adalah tanda kasih sayang sebenar.
Kata Rina, dia tidak pernah menyalahkan datuk dan nenek dan tetap menghargai mereka yang sudah berkorban menjaga Era dengan penuh kasih sayang ketika mereka mahu memulakan kehidupan.
Memulakan cerita, kata ibu kepada empat orang anak itu, selepas Era dilahirkan mereka mengambil keputusan meninggalkan sementara untuk dijaga oleh datuk dan nenek di kampung.
Alasan mereka, hidup di bandar tidak menentu, sibuk bekerja dan enggan Era terabai.
“Sebelum kami membuat keputusan untuk meninggalkan Era yang ketika itu berusia dua bulan kepada datuk dan neneknya, kami sudah berfikir semasak-masaknya.
“Ibu dan ayah juga faham dengan keadaan kami yang ketika itu baru sahaja mahu memulakan kehidupan dan baru mendapat pekerjaan,” ujar Rina.
Menyambung cerita kata Rina, sebagai cucu sulung dalam keluarga, Era dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan dimanjakan.
Segala kemahuan dituruti dan mereka terlalu menyayanginya. Daripada makan minum, pakaian hingga ke barang permainan.Setiap kali Era menangis, datuk dan nenek cepat-cepat memujuk. Apabila Era melakukan kesalahan mereka tidak pernah menegur.Hidup Era penuh dengan layanan berlebihan.
“Era membesar tanpa pernah belajar untuk menolak keinginan diri. Tidak pernah berasa susah.Kami pernah cuba untuk membawa Era tinggal bersama kami semula ketika usianya tujuh tahun, tetapi tidak lama. Era jatuh sakit sehingga memaksa kami meletakkannya semula di bawah jagaan datuk dan neneknya,” kata Rina.
Kata Rina, selepas beberapa tahun, dia dan suami mula sedar hubungan mereka dengan Era semakin renggang.
Era lebih rapat dengan datuk dan nenek, sedangkan mereka dan adik-beradik lain terasa seperti orang asing.
Malah apabila ditegur sedikit, Era cepat merajuk dan melenting.
Ketika itulah mereka bertegas untuk membawa pulang Era dan menjaganya sendiri.
Ketika itu usia Era memasuki 13 tahun.
“Bukan tidak kasihan dan tidak menghargai pengorbanan datuk dan neneknya, tetapi keputusan itu diambil untuk mendidik Era agar lebih berdisiplin. Walaupun pada awalnya ayah ibu cukup berat melepaskan cucu kesayangan, akhirnya mereka akur,” ujarnya lagi.
Era yang sudah terbiasa hidup bebas dengan kasih sayang tanpa batas menolak keras.
Saat itulah konflik dan ujian bermula. Era memberontak perlahan-lahan. Saat hari pertama dibawa ke rumah mereka, dia berkurung berhari-hari dalam bilik.
Apabila ditegur dan dipujuk, Era bersikap keras dan mengeluarkan kata-kata kasar kepada Rina dan Syafiq. Era menyalahkan mereka kerana cuba memisahkannya dengan datuk dan nenek yang selama ini menjaganya.
Rina dan Syafiq cuba bersabar.
Era bukan sahaja enggan bersekolah, bahkan pernah beberapa kali lari dari rumah untuk pulang ke kampung. Rina dan suami semakin tegas, walapun tahu Era akan membenci mereka .
Kata Rina, perjalanan itu bukan mudah.
Dia dan suami mengambil masa hampir setahun untuk memastikan anak sulung mereka itu berubah. Berkat kesabaran, doa Rina dan Syafiq sedikit demi sedikit Era mula belajar menghormati mereka sebagai ibu bapa.
Kata Rina, dia sangat-sangat bersyukur perjalanan mendidik dan Era, mereka tidak bersendirian. Datuk dan nenek yang pernah menjaganya turut memainkan peranan.
“Setiap kali Era merajuk, mereka akan memujuk dan memberi nasihat. Alhamdulilah, hati Era lebih lembut setiap kali menerima nasihat dan pujukan daripada datuk dan neneknya,” ujar Rina.
Oktober depan, genap usia Era 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penghujung tahun ini.
“Sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan yang terbaik kepada Era. Saya mahu menebus semula masa yang pernah terlepas.Mahu merasai sendiri kasih seorang ibu kepada anak, membimbing, mendidik dan melindunginya,” ujarnya.
Banyak pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah Era. Bukan sahaja ibu bapa yang diuji tetapi juga kepada si anak. Era yang dibesarkan oleh datuk dan nenek membesar dengan limpahan kasih sayang dan perhatian.
Apabila tiba masanya kembali ke pangkuan ibu bapa, perjalanan hidupnya diuji dengan peralihan daripada manja kepada disiplin, daripada bebas kepada bimbangan. Perjalanan ini bukanlah pertentangan, tetapi pelengkap kasih sayang.
Sesungguhnya, hubungan anak dengan ibu bapa tidak pernah putus. Dalam al-Quran menyebut, ‘Rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah,”Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua (menyayangiku ketika ) mendidik aku pada waktu kecil,’(Surah Al Isra ayat 24).-UTUSAN









