Pagi Isnin yang suram, kopi tertumpah, jalan sesak macam drama pukul 7 malam dan mood pula hilang entah ke mana.
Tiba-tiba, tangan mencapai sehelai baju bertekstur dari perut almari. bukan biasa-biasa, tetapi bila disentuh seperti ada cerita. Bila pakai pula, rasa macam dunia kita yang punya.
Dalam sekelip mata, mood berubah, keyakinan menyala dan terus rasa macam watak utama dalam hidup sendiri.
Dalam dunia fesyen yang asyik main selamat dengan warna basic, potongan biasa dan trend copy-paste, saya nak ajak kita semua berani sikit. Cubalah gaya yang ada tekstur sebagai statement piece.
Bukan corak kosong yang datang dan pergi, tetapi tekstur yang penuh ekspresi.
Bukan sekadar pakaian, tetapi karya seni yang bergerak, bercerita dan buat orang pandang dua kali.

Bercakap tentang seni boleh pakai, saya perkenalkan seorang pereka muda berbakat, Mohamad Daniel Rosli, graduan Sarjana Muda Reka Bentuk Fesyen (Kepujian) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Namanya mungkin baru, tapi visinya memang luar biasa.
Pemuda ini membawa kita menyelam jauh ke lautan Sabah, ke satu tempat yang penuh misteri dan kecantikan yang menyayat jiwa iaitu Turtle Tomb di Sipadan.
Gua bawah air ini bukan sekadar lokasi menyelam, ia adalah makam semula jadi penyu laut yang terperangkap, satu metafora tentang kehidupan, kematian dan keindahan alam yang tidak terusik.
Bayangkan lengan dengan struktur 3D menyerupai tulang belakang penyu. Atau bahagian belakang baju dengan susunan menyerupai kerangka yang pernah hidup.
Rekaan Mohamad Daniel bukan untuk mereka yang bergaya selamat.
Ia untuk wanita yang berani memeluk keunikan dan tahu kadang-kadang, baju itu bukan untuk blend in, tapi untuk stand out.
Dia berjaya membawa pulang Anugerah Emas dalam Pertunjukan Fesyen Ijazah di UiTM Shah Alam baru-baru ini. Inilah bukti suara visualnya tidak hanya mengagumkan dari segi teknik, tetapi menyentuh emosi dan minda para juri.

Kalau nak gaya lebih menarik dengan bertekstur, ini rahsia saya. Biarkan tekstur itu menjadi watak utama. Kalau pakaian sudah penuh lapisan, lipatan dan permukaan dramatik, padankannya dengan aksesori minimal.
Tidak perlu rantai besar atau beg sarat. Biarkan pakaian anda bercerita. Tekstur kasar seperti fabrik 3D, pvc atau appliqué organik tampak lebih memukau bila digandingkan dengan fabrik lembut seperti satin, crepe atau sifon.
Ini bukan saja menyeimbangkan visual, tapi memberi sentuhan feminin yang bijak.
Paling penting, padankan dengan keyakinan. Ini bukan tip gaya, ini mantera.
Baju bertekstur tidak akan hidup tanpa pembawa yang tahu nilai dirinya.
Berdiri tegak, senyum dan biarkan dunia tahu kehadiranmu bukan untuk menjadi watak tambahan.
Dan untuk anda semua di luar sana, mungkin sudah tiba masa untuk keluar dari zon selamat dan
benarkan tekstur menjadi suara dalam gaya.
Kadangkala, bila baju ‘bercakap’, anda tidak perlu bersuara pun kerana dunia sudah mula mendengar.










