RIUH rendah suasana rumah dengan mulutnya yang tidak henti-henti berleter jika dua ‘adiknya’, iaitu Tam dan Ticha berkelakuan nakal.
Demikian aksi mencuti hati burung kakak tua spesis Congo African Grey Parrot, Michael yang gemar berlagak seperti ‘abang’ kepada dua kucing peliharaan tuannya.
Pemiliknya, Norazrin Marzuki, 42, berkata, kesemua leteran dan teguran itu ditiru burung berkenaan daripada percakapannya.
“Bila Tam dan Ticha mencakar sofa, Michael cepat-cepat cakap ‘jangan buat macam tu’.
“Jika kedua-duanya masih berdegil, ia buat pula gaya mengangkat sebelah kaki seperti ingin memukul sambil menyebut ayat ‘biasa dia tu’.
“Tam dan Ticha hanya buat tidak peduli sahaja, hingga menyebabkan Michael berleter tanpa henti,” katanya.

Melihat aksi ketiga-tiga haiwan kesayangannya itu sudah cukup mencuit hati Norazrin.
Katanya, Michael yang berusia tujuh tahun itu memang petah berkata-kata, malah boleh menyebut lebih 500 perkataan dan beberapa ayat.
Kelebihan tersebut sekali gus membuatkan ramai kagum dengannya.
Selain itu, Michael juga pandai menyanyikan lagu Burung Kakak Tua dan Rain Rain Go Away.
“Sejak kecil, saya sudah mengajarnya menyebut perkataan dan sering berbual sama ada ketika memberi makan, mandi mahupun bermain.
“Mungkin sebab itu, ia jadi sangat petah tidak seperti spesisnya yang lain,” katanya.
Di sebalik kepetahannya, burung ini juga pintar membuka sangkarnya sendiri apabila bosan dikurung terlalu lama.
Kemudian, ia terbang ke seluruh ruang termasuk mengganggu Norazrin memasak di dapur.
Walaupun ada yang menganggap burung kakak tua haiwan manja, namun, ia juga mempunyai ‘mood’ yang tidak menyenangkan.
“Sebelum ini, Michael pernah menggigit tangan saya sehingga berdarah ketika cuba membelainya yang dalam keadaan tidak selesa,” katanya.

Insiden hilang empat hari
Norazrin berkongsi pengalaman yang pernah kehilangan Michael selama empat hari ketika awal-awal menjaga haiwan itu.
Katanya, insiden tersebut berlaku selepas burung itu terkejut dengan bunyi lori yang melalui kawasan perumahannya.
“Michael terus terbang dan hilang daripada pandangan kerana dalam masa sama, ia dikejar burung gagak.
“Saya berusaha mencarinya termasuk mengedarkan risalah kehilangannya di sekitar kawasan rumah.
“Setelah empat hari, akhirnya Michael ditemukan dalam keadaan lemah di sebuah rumah yang jaraknya 1.5 kilometer dari kediaman saya,” katanya.

Penjagaan rapi
Mengulas mengenai kos penjagaan, katanya, sebanyak RM500 diperuntukkan untuk Michael dalam sebulan.
Ia merangkumi pembelian makanan segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran serta suplemen khas.
Selain itu, katanya, Michael dimandikan setiap tiga hari sekali dengan menggunakan semburan air.
Habis.










