Dari luar, kediaman teres dua tingkat milik Mohd. Shahril Abd. Latif, 40, dan isterinya, Azyan Hazwani Ab. Rahaman, 38, kelihatan sederhana.
Namun, sebaik menjengah ke ruang dalam, suasana nyaman yang dipadu dengan gaya moden segera menyapa pandangan.
Pasangan ini memilih untuk menerapkan konsep Scandinavian Moden sebagai teras dekorasi rumah mereka.
Bagi Azyan Hazwani, gaya Scandinavian yang ringkas dan minimalis mampu menghadirkan rasa selesa, manakala suntikan gaya industri rustik memberi sentuhan moden serta kemas, menjadikan keseluruhan ruang tampil lebih bergaya.
Keindahan konsep ini terserlah melalui pemilihan warna neutral seperti kelabu cerah, hitam, beige dan coklat yang mendominasi hampir setiap sudut kediaman.
Bagi menambah karakter, perabot utama seperti rak televisyen dan meja makan dipilih daripada kayu berwarna natural.
Di sinilah kekuatan dekorasi mahligai ini iaitu pertemuan tekstur kayu yang hangat dengan logam hitam yang tegas menghasilkan visual kontras.
Ia bukan sahaja menarik, malah memberi identiti unik. Gabungan dua elemen ini bukan sekadar berfungsi daripada segi praktikal, tetapi turut menyuntik aura moden, kemas dan bergaya pada ruang.
“Bagi melengkapkan lagi gaya industri rustik, lampu siling berbentuk bulat dengan tali jut dipilih, menyerlahkan nuansa kreatif dan segar,” kata Azyan Hazwani.

Dalam tempoh dua tahun menata gaya kediaman ini, pasangan ini mengakui warna neutral yang digabungkan dengan elemen kayu dan logam hitam berjaya memberikan kesan ruang lebih luas, teratur serta harmoni.
Tidak hairanlah jika ruang pantri dan dapur kering menjadi kawasan paling digemari Azyan Hazwani kerana di situlah dia banyak menghabiskan masa bersama keluarga, sambil menikmati suasana nyaman yang dicipta.
Walaupun hasilnya tampak sempurna, Azyan berkongsi menata hias rumah sebenarnya tidaklah serumit yang disangka.
“Setiap kali membeli barang hiasan, pastikan ia tidak lari daripada konsep asal.
“Bagi mendapatkan inspirasi tambahan, saya banyak merujuk idea daripada Pinterest yang kemudian disesuaikan dengan cita rasa sendiri,” katanya.

Hasilnya, dengan hanya bermain dalam gabungan tiga warna utama iaitu hitam, coklat dan kelabu cerah, rumah ini berjaya memancarkan identiti moden, tenang dan kemas.
Setiap sudut tidak hanya mencerminkan personaliti pemiliknya, tetapi juga memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang berhasrat menggabungkan elemen Scandinavian dan industri rustik dalam kediaman.-UTUSAN










