Rumah tangga yang bahagia bukan sahaja berlandaskan kasih sayang dan saling menghormati, tetapi juga kepercayaan.
Apabila salah satu daripadanya hilang, kesannya sangat besar.
Pasangan mula hidup dalam syak wasangka, cemburu buta dan kawalan berlebihan.
Minggu ini saya kongsikan kisah Asyikin (bukan nama sebenar) yang pada awalnya menyangka ‘dijaga’ dan ‘disayangi’, tetapi lama-kelamaan menyedari dirinya menjadi ‘tawanan’ dalam rumah tangga sendiri.
Wanita berusia 50-an ini tidak berniat untuk mengungkit kisah lama kerana rumah tangganya kini sudah bahagia.
Namun, dia melihat apa yang berlaku sebagai ujian dan hikmah.
“Kami suami isteri dapat belajar yang setiap ujian yang datang bukan sia-sia.
“Dalam rumah tangga kepercayaan adalah kunci utama. Tanpanya, cinta boleh berubah menjadi kawalan, curiga dan akhirnya hancur,” ujarnya.
Tambah ibu kepada tiga anak lelaki berusia 25 hingga 27 tahun itu lagi, ujian tersebut juga membentuk dirinya menjadi seorang yang lebih tabah.
Di sebalik ujian itu juga, akhirnya membuka mata mereka, tentang erti sebuah kebebasan dalam rumah tangga.
Selepas tiga dekad melayari rumah tangga, mereka kini sama-sama belajar memandang kembali perjalanan hidup sebagai suami isteri dengan cara lebih matang.
“Sebagai isteri saya tetap setia dan sentiasa berdoa. Di pihak suami pula, perlahan-lahan belajar menghormati dan melepaskan rasa curiga dan cemburu,” ujarnya.
Mengimbas kisah lalu kata Asyikin, dia pernah menjadi wanita berkerjaya dan berimpian tinggi.
Namun, selepas berkahwin, dia akur pada permintaan suami, Mustafa (bukan nama sebenar) untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga.
Lelaki yang dicintai itu pada awalnya berniat untuk memiliki dan melindungi dengan mengawal setiap langkah serta perbuatannya.
“Suami sering beritahu segala yang dilakukannya itu adalah demi memastikan saya selamat dan bahagia.
“Namun tanpa sedar, niat tersebut bertukar menjadi bebanan yang menafikan hak dan kebebasan saya sebagai seorang isteri,” ujarnya.
Menyambung cerita, kata Asyikin, dia membesar sebagai wanita ceria dan bercita-cita tinggi.
Dia menempuh tahun-tahun belajar dengan penuh bersemangat di universiti awam di selatan tanah air.
Perjalanan kerjayanya bermula lancar. Sebaik tamat pengajian dalam bidang kejuruteraan, dia ditawarkan kerja di sebuah syarikat terkemuka di ibu negara.
Kerjayanya memuncak dalam tempoh singkat. Namun setelah berumah tangga segalanya berubah perlahan-lahan.
Dia berasa kehilangan sebahagian diri sebenar. Pada awalnya, dia fikir suami benar-benar mahu melindungi dan tanda cinta.
Tetapi kasih sayang dan perlindungan itu lama-kelamaan bertukar menjadi tekanan.
Beberapa bulan seterusnya, larangan bertambah dan Asyikin tidak dibenarkan keluar rumah sendirian atas apa juga alasan.
Ini termasuk tidak membenarkannya berhubung apa lagi bertemu keluarga dan kawan-kawan.
“Saya tidak dibenarkan keluar rumah kecuali bersamanya,” ujarnya lagi.
Hari demi hari berlalu dan membuatkan berasa diri tidak bernilai.
Keputusannya dalam rumah tangga tidak pernah diambil kira.
Menurut Asyikin hari-hari yang dilalui terasa membosankan.
Rutin hariannya hanya sama iaitu memasak, mengemas rumah dan menanti kepulangan suami.
Dia seolah-olah hidup seperti dalam sangkar.
“Saya tidak tahu kenapa ketika itu saya langsung tidak ada kekuatan untuk membantah sebarang arahan suami” ujarnya.
Sehinggalah pada suatu hari Asyikin mengumpul keberanian untuk bersemuka dengan suami.
Dia berterus-terang tentang ketidakpuasan hati yang dipendam selama ini.
Ketika itu suami tidak memberi apa-apa reaksi. Tidak marah, tidak juga membalas.
“Apa yang saya perasan, perbualan itu membuka ruang untuk suami berubah sedikit demi sedikit.
“Suami mula belajar untuk meletakkan kepercayaan kepada saya, menjadi lebih prihatin dan penyayang,” ujarnya.
Perubahan itu, membuatkan Asyikin percaya masih ada ruang untuk menyelamatkan rumah tangga mereka.
Rumah tangga mereka berubah perlahan-lahan.
Bagi Asyikin, rumah tangganya kini bukan lagi sangkar, tetapi penuh kasih sayang dan kepercayaan.
“Alhamdulilah, setelah perbualan jujur dengan suami, barulah saya benar-benar faham erti kebebasan dalam rumah tangga sendiri,” ujarnya.
Mustafa belajar melepaskan sedikit demi sedikit rasa curiga, memberi ruang kepada Asyikin untuk berasa lebih tenang dan dihargai.
Beberapa bulan kemudian, Asyikin disahkan hamil anak pertama.
“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu. Saya nampak perubahan dalam diri suami sebaik tahu saya hamil,” ujarnya.
Kehamilan Asyikin bukan sahaja hadiah kepada mereka suami isteri, secara tidak langsung menyuburkan kasih sayang yang lama retak.
Dalam tempoh itu, dia dapat merasakan perubahan suaminya.
“Sejujurnya saya berasa dihargai dan sedikit demi sedikit rumah tangga kami kembali bernyawa,” tambahnya.
Pengajaran yang boleh diambil daripada kisah pasangan ini adalah rumah tangga bukan medan untuk memiliki, tetapi ruang berkongsi.
Perlindungan tidak bermakna mengikat tetapi memberi rasa selamat kepada pasangan.
Kasih sayang bukan bermaksud mengawal tetapi menghormati pasangan sebagai insan yang ada hati dan perasan.
Malah, Islam sangat menitikberatkan kasih sayang antara suami isteri: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum yang berfikir.” (Ar-Rum:21)










