Elegan dengan gaya desa moden

Elegan dengan gaya desa moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSIM pandemik yang memaksa ramai bekerja dari rumah menjadi titik tolak bagi Normarya Suleiman merealisasikan rumah impiannya.

Perunding teknologi maklumat ini mula mengumpul ilham dan merancang dekorasi rumah.

Daripada situlah lahir hasratnya untuk membina sebuah rumah yang bukan sahaja cantik, tetapi praktikal dan memberi rasa tenang.

Konsep rumah ladang moden yang dipilih Normarya menggabungkan gaya desa yang hangat dan nyaman dengan sentuhan moden ringkas serta bersih.

Wanita berusia 48 tahun ini mengambil inspirasi daripada gaya cottage Inggeris yang terkenal dengan aura elegan dan berkelas.

Normarya berkata, keseimbangan antara elemen semula jadi, warna-warna neutral dan garis-garis minimalis moden adalah kunci kepada kejayaan konsep ini.

“Konsep ini menonjolkan suasana yang hangat, selesa, namun tetap bersih dan bergaya moden,” katanya kepada Seri.

Warna-warna utama yang digunakan terdiri daripada putih, kelabu lembut, beige serta rona tanah yang memberikan rasa natural dan tenang.

Kayu asli menghiasi lantai rumah dan kabinet televisyen, manakala elemen batu-bata menambah tekstur dan keunikan pada beberapa bahagian rumah.

Reka bentuk rumah mengutamakan ruang terbuka yang menghubungkan ruang tamu dan makan tanpa sebarang dinding pemisah, di samping pintu kaca berlipat yang besar membenarkan cahaya semula jadi menerangi sempurna.

Siling tinggi dengan rekaan coffered menambah kemewahan dan rasa lapang pada ruang dalaman.

“Gabungan elemen desa seperti kayu asli, warna neutral dan tekstur semula jadi menjadikan rumah saya terasa tenang, nyaman dan ‘hidup’.

“Ciri ruang terbuka dan pintu berlipat kaca yang besar membolehkan pencahayaan semula jadi yang baik, menjimatkan tenaga elektrik di siang hari.

“Ia menjadikan ruang nampak lebih lapang dan selesa, sesuai untuk keluarga dan melayan tetamu. Konsep ini kekal relevan walaupun trend berubah,” katanya yang aktif berkongsi idea dekorasi di Instagram @myra.urbanfarmhouse.

Perabot di dalam rumah pula merupakan gabungan antara gaya rustik klasik dan moden minimalis, yang dipadankan dengan aksesori seperti permaidani bermotif tribal, lampu gantung bertema rumah ladang serta pelbagai elemen lain seperti bakul anyaman dan bingkai gambar lama.

DAPUR PRAKTIKAL
Dapur rumah direka bukan sahaja untuk kelihatan cantik, tetapi juga praktikal.

Kabinet dapur berwarna putih lembut lengkap dengan pemegang berona matte gold memberikan sentuhan elegan.

Dapur itu juga menampilkan sinki besar gaya rumah ladang dan sebuah island bertatahkan permukaan batu quartz yang luas di samping dinding batu-bata merah di dapur menambah imej mewah.

Ruang itu turut dilengkapi televisyen dan sudut kecil, taman indoor sebagai tempat untuk healing dan tanaman herba yang digunakan dalam masakan.

Walaupun dengan keluasan binaan seluas 2,608 kaki persegi dan tanah tambahan seluas 1,318 kaki persegi di sebelahnya, Normarya tidak menghadapi kesukaran untuk menguruskannya.

“Tidak susah kerana reka bentuk yang dibuat menitikberatkan fungsi harian keluarga.

“Sebab itu, saya asingkan dapur daripada ruang makan dan tamu untuk memudahkan proses mengemas.

“Walaupun warna putih dan neutral banyak digunakan di dinding dan perabot tetapi, ia tidak susah untuk dijaga dengan pemilihan jenis cat yang tahan lama serta mudah dibersihkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×