Bapa berubah selepas kahwin semula

Bapa berubah selepas kahwin semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkahwinan semula memberi ruang kepada seseorang untuk kembali ditemani, dicintai dan dihargai.

Walaupun tidak dapat menggantikan tempat keluarga kandung, kehadiran ibu atau bapa tiri dapat menjadi penyokong dan contoh positif kepada anak-anak.

Namun, bukan semua perkahwinan semula itu berjaya dan membawa bahagia.

Lebih-lebih lagi apabila anak-anak mula rasa terpinggir dalam rumah sendiri yang pernah menjadi syurga mereka.

Minggu ini saya kongsikan kisah Alia (bukan nama sebenar), seorang anak yang melihat bapa kandung berubah hati setelah berkahwin semula.

Menurutnya, kisah ini bukan untuk membuka aib sesiapa, apatah lagi bapanya sudah meninggal dunia.

“Apa yang dikongsikan ini hanya sebagai pengajaran untuk kita belajar menjadi manusia lebih prihatin dan berhati-hati dalam membuat pilihan,” ujarnya dalam pertemuan baru-baru ini.

Kata Alia, ada ketikanya keputusan yang dibuat orang tua, meninggalkan kesan dalam hati seorang anak.

Memulakan cerita, ujarnya, sebelum berkahwin, bapa, Sulaiman (bukan nama sebenar) adalah segala-galanya bagi mereka tiga beradik.

Selepas ibu meninggal dunia akibat kanser, bapa membesarkan mereka sendirian.

Ketika itu, Alia berusia 15 tahun manakala Safwan, 12, dan adik bongsu, Nureen, 10.

Setiap hari bapa bangun seawal 5 pagi dan sebelum subuh, dia sudah menyiapkan sarapan roti bakar atau nasi goreng.

Sebelum ke tempat kerja, bapa menghantar Alia dan adik-adik ke sekolah berdekatan.

Walaupun kepenatan selepas pulang dari tempat kerja, bapa tidak pernah merungut.

Sebagai anak sulung, Alia dia tidak sampai hati membiarkan bapanya melakukan kerja-kerja rumah sendirian.

Dia cuba membantu bapanya setakat yang mampu seperti memasak, mengemas rumah dan mencuci pakaian.

“Kami makan apa yang ayah masak dan bersama-sama melakukan kerja rumah,” katanya.

Tetapi itu semua tinggal kenangan.

Memasuki tahun ketiga selepas kematian ibu, salah seorang ibu saudara mereka, mak teh mencadangkan bapanya berkahwin semula.

Alasan mak teh, sudah tiba masanya bapa mempunyai isteri untuk menemani dan menguruskan rumah tangga dengan lebih sempurna.

Awalnya, Alia dan adik-adiknya membantah cadangan itu.

Lebih-lebih lagi Safwan yang takut hilang kasih sayang bapa.

Berbeza pula di pihak bapa yang tiada sebarang bantahan.

“Seminggu selepas berjumpa mak teh, ayah membawa pulang bakal isterinya, seorang ibu tunggal anak dua.

“Saya tahu ayah berhak bahagia dan akhirnya kami akur,” ujarnya.

Alia dan adik-adik cuba menerima kehadiran ibu serta adik tiri.

Kedua-duanya lelaki, sebaya dengan Safwan dan Nureen.

Selepas bapa berkahwin semula, segala-galanya berubah.

Semakin hari, bapa semakin jarang bersama mereka.

Kalau dahulu bapa rajin bertanya tentang kerja sekolah, sekarang lebih banyak menghabiskan masa bersama isteri baru.

Layanan bapa terhadap mereka juga berbeza.

Alia dan adik-adik bukan lagi keutamaan bapa.

Kata Alia, mereka tiga beradik seperti menumpang di rumah sendiri.

Bapa sering melebihkan ibu dan dua anak tirinya.

“Kalau anak-anak tiri salah, ibu tiri hanya diamkan diri. Kalau kami silap kecil sahaja, dimarah tanpa belas kasihan. Ayah ketika itu hanya berdiam diri,” ujarnya.

Tambah Alia, mereka bukan cemburu tetapi cuma rindu kasih sayang, perlindungan dan pelukan daripada bapa seperti dahulu.

Beberapa bulan selepas menerima keputusan SPM, Alia mendapat tawaran menyambung pengajian di universiti.

Walaupun bapa tidak menunjukkan apa-apa reaksi, dia tahu bapanya orang paling gembira dan bangga.
Ketika sampai hari bertolak dia berat untuk pergi kerana risaukan adik-adiknya.

Namun kata Alia, dia perlu pergi untuk menjadi seseorang yang membanggakan keluarga.

Sebelum bergerak pulang selepas menghantar Alia ke universiti, bapa menariknya ke dalam pelukan.

Pelukan yang menyimpan banyak perkara tidak terucap.

Sepanjang di universiti, adik-adik sering berkongsi cerita tentang ayah, ibu tiri dan anak-anaknya.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa, selain menasihatkan mereka agar bersabar.

“Setiap kali cuti semester, saya cuba meluangkan lebih banyak masa dengan adik-adik, ” ujarnya.

Tahun-tahun berlalu, Alia dan Safwan sudah bekerja manakala Zureen masih menuntut di tahun akhir di universiti di utara tanah air.

Bapa sudah berusia, dan kesihatannya tidak begitu baik.

Anak-anak tiri yang bapa manjakan telah menghilangkan diri.

Masing-masing dikatakan membawa diri ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan selepas tamat tingkatan lima.
Di sisa-sisa usianya, bapa semakin tidak berdaya.

Mereka adik-beradik bergilir-gilir menjaga sehingga bapa menghembuskan nafas terakhir pada pertengahan Disember 2024.

Beberapa bulan pemergian bapa, Alia mendengar khabar tentang ibu tiri.

Kesihatan ibu tiri juga merosot, keluar masuk hospital kerana mempunyai masalah tiga serangkai iaitu darah tinggi, kencing manis dan jantung.

Anak-anak kandungnya entah ke mana menghilang. Jarang pulang dan bertanya khabar.
Walaupun pernah menerima layanan buruk, tiga beradik ini tidak pernah membalasnya dengan dendam.

“Mungkin ini penghormatan terakhir untuk bapa kami. Ibu tiri pernah menjadi isteri ayah dan sebahagian hidup kami adik-beradik,” ujarnya.

Walaupun pernah dipinggirkan, mereka tetap menjaga kebajikan bapa dan ibu tiri di hujung usia.

Ini membuktikan, kepentingan berbuat baik dan berbakti kepada orang tua.

Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud, “Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua ibu bapanya, ibunya yang telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusuinya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan

kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepadaKulah kembalimu,” (Luqman:14).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×