KEBANYAKAN suri rumah menghabiskan masa bersendiri atau me time mereka dengan menonton drama, membaca buku, berkunjung ke spa, bersenam mahupun membeli-belah.
Tetapi Kamariah Ismail, 33, memilih sesuatu yang lebih unik iaitu dengan ‘menconteng’ muka dan tangan anak, suami serta dirinya sendiri.
Pelbagai rekaan kreatif dihasilkannya seperti watak adiwira, kartun kegemaran, haiwan dan corak bunga-bungaan.
Aktiviti santai itu menjadi ruang terapi yang cukup mendamaikan buat ibu kepada dua anak lelaki berusia tujuh dan sembilan tahun itu.
“Anak-anaklah yang paling seronok bila muka mereka bertukar jadi watak adiwira kegemaran seperti Spiderman.
“Kadang-kadang suami pun rela jadi ‘kanvas’ bila saya ingin mencuba rekaan baharu,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Bermula sekadar suka-suka, hobi melukis muka dan tangan kini menjadi rutin istimewa dalam keluarga kecil mereka.
Katanya Kamariah, minat itu berputik sejak 2019 atas saranan seorang sahabat yang merupakan pelukis inai.
“Asalnya, dia ajak saya sertai acara gerai jualan di Cyberjaya dengan dia melukis inai dan saya pula diminta melukis muka.
“Dia tahu saya boleh melukis dan percaya saya boleh cuba benda baharu,” ujarnya.
Tanpa berlengah, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara itu terus membuat rujukan di Internet mengenai teknik dan bahan untuk lukisan muka.
Dalam tempoh hanya dua minggu, Kamariah giat berlatih dengan menconteng muka anak-anak dan suami.
“Setiap kali siap satu rekaan, saya ambil gambar dan kumpulkan dalam katalog sebagai pilihan pelanggan.
“Tak sangka sambutannya begitu menggalakkan, ramai yang teruja, lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak-anak,” katanya yang menetap di Kampung Pandan.
Kamariah berkata, sebelum ini dia tidak pernah memiliki hobi khusus kerana terlalu fokus menguruskan keluarga.
Namun apabila anak-anak semakin membesar dan berdikari, barulah dia berani mencuba sesuatu yang baru dan dari situlah segalanya bermula.

Teknik kawalan berus
Walaupun tiada asas melukis, itu bukan halangan untuk seseorang mencuba seni lukisan muka.
Yang paling penting adalah latihan berterusan untuk memantapkan skil dan teknik, terutama kawalan berus.
Katanya, berus tidak boleh ditekan terlalu kuat kerana akan menyebabkan cat merebak dan rekaan tampak comot.
“Sebenarnya sesiapa pun boleh melukis muka, tidak semestinya perlu ada bakat semula jadi.
“Kalau rajin berlatih, hasilnya pun boleh jadi cantik dan kemas seperti profesional,” katanya yang banyak belajar melalui video serta rujukan dalam talian.
Menurut Kamariah, hanya tiga perkakas asas diperlukan untuk melukis muka, iaitu cat khas mesra kulit, berus dan air.

Untuk menjadikan lukisan lebih memikat, ia boleh dihiasi dengan manik atau serbuk kilat.
“Saya tidak pernah berlatih di atas kertas kerana permukaannya tidak sama dengan muka yang berlekuk-lekuk.
“Bila terus melukis pada muka, kita akan lebih mudah menguasai teknik kawalan berus dengan betul,” jelasnya.
Katanya, lukisan berkonsep ringkas biasanya dapat disiapkan dalam tempoh kurang dua minit.
Manakala rekaan yang lebih besar dan berkarakter mengambil masa kira-kira lima minit.
Jangan panik kalau ada bahagian yang comot atau tidak menjadi kerana ia masih boleh dibaiki dengan mudah.
“Caranya, lap sahaja dengan tisu basah sebelum cat tersebut kering,” katanya.

Jadi sumber pendapatan
Tidak pernah terlintas di fikiran Kamariah yang hobi melukis muka ini suatu hari nanti akan membawa pulangan, bahkan menjadi punca rezeki buat dirinya.
Sejak terlibat dalam acara di Cyberjaya itu, dia menerima banyak permintaan untuk melukis muka.
Kebanyakan tempahan adalah untuk majlis sambutan hari lahir, karnival, sukan sekolah dan pelancaran produk.
“Saya berkahwin awal ketika masih belajar dan tidak berpeluang untuk bekerja kerana fokus membesarkan anak-anak.
“Siapa sangka, hobi ini akhirnya menjadi titik permulaan untuk saya memiliki pendapatan sendiri setelah sekian lama bergantung pada suami.
“Paling menggembirakan, saya masih mampu menguruskan keluarga seperti biasa kerana kebanyakan tempahan hanya dibuat pada hujung minggu,” katanya
Kata Kamariah, perkhidmatan melukis muka kini menjadi trend di sekitar ibu kota dan sering ditempah untuk menceriakan pelbagai jenis acara.
Harga yang dikenakan ialah RM120 untuk sejam, tidak termasuk kos pengangkutan yang ditentukan mengikut jarak lokasi.

Lukis durian, nasi lemak
Mengulas mengenai konsep lukisan yang dihasilkan, ia biasanya bergantung kepada tema majlis pelanggan.
“Sebelum ini, khidmat saya banyak digunakan untuk majlis sambutan seperti hari lahir, namun, pernah satu syarikat menjemput saya datang ke pejabat mereka untuk melukis walaupun tiada sebarang acara berlangsung.
“Majikan syarikat itu mahu menghiburkan dan mengurangkan tekanan kerja dalam kalangan kakitangannya yang terdiri daripada ekspatriat.
“Ketika itu, saya hasilkan rekaan berkonsepkan Malaysia seperti nasi lemak, durian, bunga raya serta lambang kereta Proton dan Perodua,” katanya yang mempromosikan perkhidmatan itu di Instagram @bymayatan.
Kamariah berkata, musim hari sukan sekolah merupakan antara waktu paling sibuk baginya kerana menerima banyak permintaan untuk melukis muka peserta perbarisan.
Hasil kreativiti dan sentuhan seninya itu bukan sahaja menceriakan suasana, malah berjaya membantu pasukan tersebut muncul juara dalam pertandingan perbarisan di sekolah masing-masing.
Katanya, proses membersihkan atau menanggalkan lukisan pada muka juga tidak rumit, cukup sekadar dibasuh dengan sabun dan air sahaja.
Selain melukis muka, Kamariah turut memperluaskan kemahiran seninya dengan menghias kek.










