Moden organik bertemu Korean Chic

Moden organik bertemu Korean Chic

Gabungan semula jadi dan organik melatari ruang tamu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saat menjengah ke kediaman milik pasangan Shasha Rusley dan Afiq Baharudin ini , ketenangan serta-merta menyapa mata dan jiwa.

Berkonsepkan moden organik dengan sentuhan Korean Chic , rumah ini memaparkan gabungan warna semula jadi yang menenangkan dan elemen moden yang mencuri perhatian.

“Konsep ini dipilih kerana kami mahu suasana rumah yang sentiasa kelihatan segar dan tenang, tidak lapuk ditelan zaman,” ujar Shasha.

Rona-rona tanah seperti putih dan coklat dipadankan dengan warna hitam dan emas sebagai kontra, menjadikan ruang tampil feminin namun moden dan seimbang.

Ruang dapur mengetengahkan elemen hitam moden.

FUNGSI, ESTETIKA SEIRING

Pemilihan barangan dalam rumah ini bukan sekadar hiasan.

Pasangan ini menitikberatkan aspek fungsi setiap item yang menghiasi ruang.

Barangan seperti pinggan mangkuk dan gelas buatan tangan daripada tanah liat dan seramik bukan sahaja cantik tetapi turut digunakan dalam aktiviti seharian.

Rumah ini juga ditatarias dengan gabungan material seperti kayu, seramik, kaca dan logam bagi mewujudkan tekstur yang kaya namun tidak serabut.

Kebanyakan perabot dan hiasan berinspirasikan bentuk organik dan lengkung, bukan sahaja cantik dipandang, tetapi juga lebih selamat untuk anak-anak kecil.

“Kami memerlukan ruang yang senang dikemas dan dibersihkan untuk dua orang anak kecil.

“Sengaja kami elakkan perabot berbucu tajam. Rumah ini direka supaya selesa dan selamat untuk dua anak kami yang sedang membesar,” katanya.

Antara ruang kegemaran pasangan ini ialah dapur basah. Berbeza dengan ruang lain, dapur ini menampilkan sedikit twist dengan penggunaan corak terrazzo berwarna terang dan kabinet hitam matte sebagai kontra.

Berkongsi tentang penyelenggaraan rumah, pasangan ini menegaskan bahawa konsep yang dipilih memudahkan urusan pembersihan.

“Reka bentuk yang minimalis serta pemilihan bahan seperti fluted panel bulat memang membantu mengurangkan debu. Meja dapur pula kami pilih yang tahan lasak supaya mudah dibersihkan,” jelas Shasha.

Perjalanan merealisasikan konsep rumah impian ini mengambil masa kira-kira lapan bulan secara keseluruhan dengan enam bulan perancangan dan reka bentuk serta dua bulan untuk proses ubah suai.

Inspirasi diperoleh daripada sumber-sumber kreatif seperti Pinterest, ArchDaily dan Behance. Hasilnya, sebuah kediaman yang bukan sahaja cantik, tetapi juga mencerminkan keperibadian dan gaya hidup pemiliknya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN