Berlatarbelakangkan suasana kampung moden, rumah milik Latiffah Hassim dan suami ini tampil unik dengan konsep hiasan dalaman Bohemian atau lebih dikenali sebagai Boho.
Meskipun rumah ini hanya berkeluasan 800 kaki persegi, dengan tiga bilik tidur serta satu bilik air, setiap ruang di dalamnya memancarkan jiwa yang penuh kreativiti dan ekspresi diri.
Bagi Latiffah yang mesra disapa Kak Pah, Bohemian bukan sekadar gaya, tetapi sebuah perjalanan imaginasi yang lahir daripada kebebasan dalam berkreativiti.
Ia tidak terikat pada peraturan atau reka bentuk konvensional, sebaliknya membenarkan gabungan elemen peribadi, tekstur berani dan susunan dekorasi yang spontan namun harmoni.
Hiasan rumah ini banyak menggunakan unsur alam seperti kayu, rotan, kraftangan dan tumbuhan hijau, baik yang segar mahupun tiruan untuk menghidupkan suasana yang dekat dengan alam dan menenangkan.
“Saya pilih konsep ini sebab ia hasil daripada kreativiti dan ekspresi diri tuan rumah.
“Bagi saya, konsep ini selamat dan jimat. Tidak perlu perabot mahal-yang mahal. Kak Pah masih kekalkan sofa lama, cuma cantikkan sedikit dengan penambahan throw blanket dan bantal-bantal kecil,” katanya kepada Seri.

Lebih menarik, transformasi gaya Boho ini tidak mengambil masa yang lama.
Idea-idea yang datang daripada inspirasi Pinterest dan komuniti Instagram Home Tour Malaysia, Kak Pah mampu menghasilkan dekorasi yang segar dan berjiwa hanya dengan sedikit usaha dan kos yang minimum.
RONA NEUTRAL
Kediaman ini mengekalkan warna-warna neutral dan organik seperti beige, putih dan coklat lembut bagi mencipta suasana yang tenang dan estetik.
Pemilihan tona lembut ini menjadi latar sempurna bagi elemen-elemen dekorasi yang lebih berani daripada segi tekstur dan bentuk.
“Ruang tamu, dapur dan ruang dobi luar merupakan kawasan kegemaran Kak Pah, di mana setiap satu dihias mengikut cita rasa dan minat sendiri,” katanya yang banyak berkongsi idea dekorasi di Instagram
@kecildecorumah.
Baginya, setiap ruang menterjemah kreativitinya, kerana itulah dia tidak pernah terasa penat untuk menghias atau menyusun semula.
Kediaman Kak Pah membuktikan gaya tidak semestinya datang dengan harga yang tinggi.
Berbekalkan kreativiti dan sentuhan peribadi, sebuah rumah sederhana boleh menjadi luar biasa. Bohemian bukan sekadar hiasan, ia adalah cerminan jiwa.










