Dalam kesibukan dunia moden, memiliki kediaman yang tenang, hangat dan memiliki keindahan klasik adalah impian ramai.
Ciri-ciri itu ada di kediaman milik Safi Susan yang memilih gaya pedesaan Inggeris pada hiasan dalaman mahligainya berkeluasan 2,000 kaki persegi.
Cita rasa tinggi suri rumah ini berjaya mengubah kediaman ini menjadi sebuah tempat yang bukan sekadar untuk didiami, tetapi untuk dinikmati dan dihargai setiap detik.
Konsep pedesaan Inggeris menjadi pilihan dek suasananya yang tenang, mesra dan sarat nilai estetika klasik.
Gaya ini menekankan elemen semula jadi, warna-warna lembut serta penggunaan perabot kayu dan fabrik bercorak floral yang memberikan suasana damai serta mesra keluarga.
“Terdapat beberapa elemen penting yang melengkapkan konsep pedesaan Inggeris dan menjadikan suasana rumah lebih asli serta harmoni.
“Antaranya, penggunaan perabot kayu,terutamanya yang berwarna putih, krim atau dengan kemasan semula jadi.Perabot seperti meja makan, almari dan rak kayu memberikan sentuhan klasik yang lembut dan bersahaja,” katanya kepada Seri.
Aksesori hiasan seperti pinggan hiasan di dinding, pasu bunga (segar atau bunga kering), bingkai gambar antik dan lampu meja klasik menaikkan suasana nostalgia.
Rak terbuka dipenuhi balang kaca, cawan bercorak dan buku lama menghidupkan karakter vintaj yang berseni.
Selain itu, pilihan warna dinding seperti putih gading, sage green atau merah jambu lembut digabungkan dengan pencahayaan kuning hangat menghasilkan ruang yang mesra, tenang dan selesa.
DAPUR, NADI KEDIAMAN

Dapur merupakan bahagian yang paling digemari oleh pemilik.
Bukan sekadar tempat memasak, ia menjadi pusat interaksi keluarga untuk berkumpul dan mencipta kenangan.
Safi turut mengekalkan unsur pedesaan Inggeris pada reka bentuk dapur dengan gabungan kabinet berpanel lembut, elemen seramik klasik serta sentuhan hijau daripada tanaman segar.
“Semua elemen ini mewujudkan suasana yang damai dan menenangkan.
“Ia menjadikan masa yang dihabiskan di dapur lebih menyeronokkan serta mencerminkan keperibadian saya yang sukakan ketenangan dan keindahan dalam kehidupan seharian,” katanya yang mengambil masa lebih kurang setahun untuk melengkapkan konsep tersebut.
Daripada segi penjagaan pula, tidak begitu sukar namun, memerlukan sedikit perhatian.
“Gaya ini banyak melibatkan elemen kain, kayu, aksesori terbuka dan hiasan kecil. Selain itu, perlu beri perhatian pada fabrik floral (langsir , sarung kusyen ) yang mudah serap debu, jadi perlu dicuci atau disedut habuk secara berkala.
“Rak terbuka atau dapur terbuka pula mudah nampak bersepah jika tidak tersusun. Jadi, perlukan disiplin sedikit untuk simpan barang di tempat sama dan kemas secara berkala.
“Kesimpulannya, tidaklah susah tetapi perlu konsisten dan suka menyusun barang. Kalau suka rumah yang ada personaliti dan tidak kisah ambil masa sedikit untuk susun atur dan jaga, gaya ini sangat sesuai,” ujarnya.

Pemilik menekankan pemilihan warna-warna harmoni dan lembut sebagai asas.
Warna seperti putih, beige, sage green, merah jambu lembut dan kelabu lembut digunakan untuk mewujudkan suasana pedesaan yang lembut dan semula jadi.
Sementara itu, warna aksen seperti kuning mustard dan burgundy memberi sedikit ‘umph’ tanpa mencacatkan kesatuan tema.
Gaya ini sesuai untuk individu yang menghargai estetika klasik, keselesaan dan nilai sentimental dalam susun atur kediaman.
Kediaman ini bukan sekadar tempat berteduh, tetapi sebuah karya seni yang mencerminkan kecintaan pemilik terhadap ketenangan, tradisi dan keindahan dalam kehidupan.-UTUSAN










