Lee Bee, wira senyap orang pekak

Lee Bee, wira senyap orang pekak

Lee Bee tampil manis menyarung baju kurung rona jingga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WAJAHNYA sering menghiasi siaran berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), dengan gerak tangan pantas dan mimik muka jelas.

Peranan Tan Lee Bee bukan sekadar jurubahasa isyarat, malah merupakan pembela, penasihat dan pelindung komuniti orang pekak sejak lebih empat dekad lalu.

Biarpun bertubuh kecil, namun wanita berusia 63 tahun ini memiliki semangat luar biasa dan tidak gentar bersuara, jika hak sahabat pekaknya dinafikan.

Tanpa berselindung, beliau mengakui dirinya seorang ‘kaki gaduh’ terutama apabila menyaksikan layanan tidak wajar terhadap golongan itu.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika menemani seorang sahabat mengikuti pengajian selama dua tahun di Institut Seni Malaysia (MAI).

Sepanjang tempoh itu, Lee Bee setia ke kelas setiap hari untuk membantu menterjemah pengajaran ke dalam bahasa isyarat, tetapi kehadirannya tidak disenangi seorang pensyarah yang berulang kali meminta beliau duduk di bahagian belakang kelas.

“Saya selalu ‘bertekak’ dengan dia, kalau duduk di belakang, macam mana kawan hendak nampak pensyarah dan dalam masa sama faham isyarat disampaikan?

“Saya tidak akan biarkan orang pekak dilayan sebegitu rupa, sebab itulah di mana-mana sahaja saya pergi termasuk di mahkamah, saya sanggup ‘bergaduh’ sekalipun dengan peguam demi mereka,” ujarnya kepada Seri baru-baru ini.

Pergaduhan-pergaduhan kecil itu adalah asam garam yang mewarnai perjalanannya sebagai jurubahasa isyarat di Malaysia.

Menyingkap titik permulaan perjuangannya, Lee Bee berkata, ia didorong oleh rasa kasih terhadap adik bongsunya, Tan Lay See, 58, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pekak.

Anak kesembilan daripada 11 beradik ini tidak sanggup melihat adiknya terus terpinggir dan hidup dalam dunia sunyi tanpa sebarang pemahaman atau komunikasi.
Pernah satu ketika, adiknya mahu berhenti sekolah di Kuala Lumpur (KL) selain suka mengurung diri dalam bilik selama berhari-hari, tanpa makan atau minum.

“Masa itu saya baru habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak bekerja, jadi saya ambil keputusan ikutnya ke KL dan menemaninya setiap hari ke sekolah khas di Bukit Nanas,” katanya.

Daripada situ, Lee Bee mula belajar bahasa isyarat melalui pemerhatian di dalam kelas serta pergaulan dengan orang pekak dan lama-kelamaan beliau mampu ‘bercakap’ dengan adiknya, malah mula memahami dunia bisu yang sebelum ini asing baginya.

Kelebihan itu sekali gus mengeratkan hubungan mereka dan membolehkannya memahami ‘suara’ serta isi hati adiknya yang terpendam selama ini.

“Apabila saya sudah faham bahasa isyarat, perangai adik terus berubah. Dia jadi lebih ceria sebab akhirnya, ada ahli keluarga yang betul-betul faham dirinya,” katanya yang kemudian dilantik sebagai guru bahasa isyarat di sekolah sama selepas tiga bulan menjejakkan kaki ke sana.

MUNCUL antara pemenang dalam Anugerah Wanita Glamor.

Luluh urus kes rogol

Selain menyumbang khidmat sebagai jurubahasa di kaca televisyen, Lee Bee turut mencurah bakti di kamar perbicaraan mahkamah.

Beliau merupakan jurubahasa isyarat pertama di mahkamah Malaysia yang memulakan perkhidmatan sejak 1994.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai kes berat pernah dikendalikannya daripada dadah, curi, bunuh, kemalangan hinggalah ke cabul dan rogol.

Pendekatannya berbeza daripada kebanyakan jurubahasa isyarat lain, kerana beliau tidak sekadar menterjemah, malah menyelitkan unsur lakonan bagi memastikan pemahaman jelas dan menyeluruh buat orang pekak.

“Sebenarnya, 80 peratus orang pekak di negara ini tidak tahu bahasa isyarat, maka di mahkamah, saya gunakan kaedah bercerita dan lakonan untuk membantu mereka memahami situasi sebenar,” katanya.

Untuk kes rogol misalnya, beliau tidak teragak-agak berbaring di lantai sambil membuat mimik muka dan mengeluarkan bunyi tertentu bagi menggambarkan kejadian sebenar kepada mangsa atau tertuduh pekak.

Lee Bee tidak malu berbuat demikian kerana tahu itu mungkin satu-satunya cara untuk menyelamatkan mereka sama ada sebagai mangsa, saksi mahupun tertuduh.

“Orang nampak saya bersemangat berlakon, tetapi setiap kali terbabit dalam kes begini, hati saya luluh. Sebab itu saya cuba untuk tidak mengingatinya semula,” kata anak jati Johor ini.

Hidap ADHD

Walaupun menghampiri usia emas, Lee Bee tetap bertenaga menggalas kerjayanya yang menuntut komitmen tinggi, termasuk sering berulang-alik ke mahkamah di seluruh negara.

Belum terlintas di fikirannya untuk bersara kerana terlalu mencintai apa yang dilakukan selama ini
“Sejak kecil saya tidak kenal erti penat. Antara semua adik-beradik, sayalah yang paling rajin membantu emak menoreh getah.

“Seawal usia 10 tahun, saya sudah mampu membersihkan susu getah di kebun seluas 3.2 hektar seorang diri,” ujarnya yang bertekad untuk terus berbakti hingga ke akhir hayat.

Menurutnya, tenaga luar biasa itu mungkin berpunca daripada masalah gangguan hiperaktif dan kurang daya tumpuan (ADHD) dialaminya, yang hanya disedari semasa melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Lee Bee bersyukur dan terharu dengan pengurniaan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baru-baru ini.

Ibu dua anak ini berkata, pengiktirafan tersebut bukan semata-mata untuk dirinya, sebaliknya mewakili semua jurubahasa isyarat dan komuniti orang pekak di Malaysia.

“Kerjaya ini sudah mendapat perhatian masyarakat, jadi saya selalu ingatkan diri dan kawan-kawan agar lebih berwaspada ketika menyampaikan isyarat, jangan sampai tersalah tafsir.

“Bagi generasi muda yang mahu menceburi bidang ini, saya nasihatkan untuk peka kepada perkembangan semasa terutama ucapan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana banyak istilah baharu boleh dipelajari dan disampaikan secara tepat kepada orang pekak,” katanya.

Cipta isyarat sendiri

Pandemik Covid-19 yang melanda negara lima tahun lalu mendorong Lee Bee untuk mencipta pelbagai isyarat baharu bagi memudahkan penyampaian maklumat.

“Kebanyakan perkataan yang digunakan agak asing dan jarang didengar sebelum ini, seperti sempadan dibuka serta insentif.

“Biasanya, saya akan fahami dahulu maksud ayat sepenuhnya, kemudian reka isyarat yang paling mudah difahami oleh orang pekak,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai skop tugasnya, Lee Bee menjelaskan yang terjemahan dilakukan tidak semestinya 100 peratus tepat, sebaliknya sekitar 80 hingga 90 peratus sahaja.

Menurutnya, perkara paling utama ialah untuk memahami isi kandungan sesuatu ayat sebelum menukarkannya dalam bentuk isyarat.

“Contohnya, ketika menterjemah ucapan PM, saya akan letakkan tangan di bawah dan tunggu hingga ayat pertama habis, barulah mula membuat isyarat.

“Langkah ini penting supaya saya faham sepenuhnya maksud yang ingin disampaikan,” katanya.

Lee Bee sering berlatih secara spontan termasuk ketika mendengar berita di radio, dengan mindanya aktif membayangkan gerak isyarat yang sesuai.

Mengakui dirinya seorang yang teliti, beliau pernah tidak dapat tidur selama tiga malam hanya kerana melakukan satu kesilapan kecil semasa membuat terjemahan isyarat secara langsung.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×