Klasik moden dengan percikan elegan

Klasik moden dengan percikan elegan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menggabungkan keanggunan klasik dengan kemasan moden minimalis bukan sesuatu yang mudah.

Namun, bagi Mastura Ali, impian memiliki sebuah kediaman yang tenang, mewah dan eksklusif akhirnya menjadi kenyataan selepas tiga tahun perancangan serta transformasi berperingkat.

Guru berusia 35 tahun ini memilih konsep moden klasik dengan sentuhan elegan pada kediaman berkeluasan 1,200 kaki persegi itu.

Elemen tradisional seperti panel dinding dan chandelier kristal diadun harmoni bersama perabot moden serta minimalis.

Hasilnya, kediaman itu menerbitkan suasana yang tersusun dan nyaman, tanpa kelihatan terlalu sarat atau membosankan.

“Saya memilih konsep ini kerana sukakan suasana rumah tenang, namun bergaya.

“Konsep ini menjadikan kediaman tersusun, mewah dan eksklusif. Kelebihannya, ia memberikan suasana tenang dan elegan, sesuai untuk berehat selepas seharian bekerja,” katanya kepada Seri.

Panel dinding dengan rona neutral pada keseluruhan ruang berjaya menambah tekstur dan dimensi.

Selain itu, kehadiran chandelier kristal mewah pada ruang makan menjadi titik tumpu yang berjaya menarik perhatian.

Chandelier dengan rona keemasan kelihatan cukup sempurna membangkitkan suasana nyaman tanpa perlu berlebihan.

Penggunaan aksesori emas pada beberapa sudut juga tersusun cantik, menaikkan lagi seri dan gaya mewah terutama di ruang utama.

Padanan warna juga tidak dilakukan secara sembarangan.

Mastura bijak memilih palet warna neutral sebagai asas iaitu putih, krim, beige yang bukan sahaja memberi ilusi luas, malah mudah dipadankan dengan pelbagai aksesori serta gaya dekorasi.

Menariknya, walaupun kelihatan mewah, konsep ini tidak memerlukan penjagaan yang rumit.

“Warna neutral tidak mudah nampak kotor dan kebanyakan aksesori juga mudah dibersihkan.

“Saya hanya lap permukaan berkilat dan vakum permaidani seminggu sekali,” jelasnya yang banyak mendapatkan inspirasi daripada laman dekorasi dalam talian.

Ujarnya, ruang makan dan tamu menjadi tempatnya meluangkan masa bersama keluarga serta rakan-rakan.

Ia juga menjadi pentas sempurna untuk menonjolkan cita rasa dekorasinya yang elegan dan penuh personaliti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×