Sedekad mengemudi jenama Nang Ori hingga kini dikenali di peringkat antarabangsa, ia bukanlah perjalanan yang mudah.
Awaeang Kwasin, 48, membuat perhitungan berani mencelah di dalam industri yang dahulunya dimonopoli oleh kaum lelaki.
Namun, anak kelahiran Kuching, Sarawak ini membuktikan wanita juga mampu setanding dengan lelaki apabila muncul sebagai wanita Bidayuh dan Dayak pertama memiliki lesen untuk memborong serta mengeksport lada Sarawak.
Di awal permulaannya, beliau yang berasal daripada keluarga yang mengusahakan kebun lada, sering menerima permintaan daripada rakan-rakan di Semenanjung untuk mendapatkan lada Sarawak.
Permintaan yang berterusan itu membuka matanya terhadap potensi besar dimiliki oleh lada Sarawak yang terkenal dengan aroma tersendiri dan kualiti premium. Daripada situlah tercetus idea untuk membangunkan dan menjenamakan produk lada secara lebih serius.
Lantas, lahirlah perniagaan rasmi beliau yang dikenali dengan jenama ‘Nang Ori’ iaitu simbol keaslian dan keunikan rempah tempatan.
Jenama itu terus mengorak langkah ke depan dengan memperkenalkan pelbagai inovasi berasaskan lada, menjadikan rempah tradisional ini lebih daripada sekadar bahan masakan.
Antara produk yang berjaya menarik perhatian ramai termasuklah teh dan kopi lada, minyak urut, serta produk kosmetik berasaskan lada yang menyerlahkan manfaat herba tempatan.
Langkah strategik yang diambil dengan penyertaan dalam pelbagai ekspo perdagangan luar negara, hasil kerjasama rapat dengan agensi seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)
membawa jenama Nang Ori menembusi pasaran antarabangsa.
Menerusi peluang tersebut, beliau kini terus giat mempromosikan lada Sarawak di persada dunia, membawa rempah warisan Bumi Kenyalang ke pasaran global.

KEKALKAN IDENTITI, BUDAYA
Kejayaan yang dikecapi bukan sekadar kejayaan perniagaan, tetapi juga simbol kebanggaan seorang anak kaum Dayak yang membawa identiti warisan bangsanya ke persada dunia.
Beliau sentiasa memastikan jati diri sebagai anak Bidayuh terpancar dalam setiap langkah.
Figura ini tidak pernah melepaskan peluang untuk mengenakan pakaian tradisional etnik Bidayuh ketika memperkenalkan produk Nang Ori sama ada di dalam mahupun luar negara.
“Saya mahu dunia bukan sahaja kenal produk lada yang diasaskan dari Sarawak, tetapi juga kenal siapa orang di sebalik produk ini.
“Pakaian tradisional adalah lambang identiti dan saya bangga membawanya ke mana-mana, lebih-lebih lagi ke luar negara,” ujarnya.
Mengenakan busana tradisional setiap kali muncul dalam acara niaga luar negara ternyata mencuri perhatian.
Penampilannya bukan sahaja memukau para pelabur dan rakan dagang, malah turut menarik minat media antarabangsa yang kagum dengan keunikan budaya yang dibawa.
Justeru, setiap kali mempromosikan produk Nang Ori, secara tidak langsung beliau turut memperkenalkan etnik Bidayuh kepada dunia.
Katanya, dengan cara sedemikian merupakan satu usaha yang menggabungkan elemen keusahawanan dan diplomasi budaya dalam cara yang sangat berkesan.
BANTU WANITA LAIN
Penerima Anugerah Malaysia Top Achiever 2019 turut dikenali sebagai seorang yang tidak lokek berkongsi rezeki.
Dalam setiap kejayaan yang dikecapi, beliau sentiasa mengutamakan kehidupan sederhana dan tidak pernah lupa tanggungjawab sosial terhadap masyarakat sekeliling.
Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah penganjuran bengkel khas untuk suri rumah dan ibu tunggal yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan berasaskan lada.
Katanya, bengkel tersebut bukan sahaja memberi pendedahan tentang asas keusahawanan, malah peserta turut menerima bimbingan teknikal merangkumi aspek penanaman, pemprosesan dan pemasaran lada secara berkesan.
Usaha ini membuktikan komitmen beliau dalam membantu komuniti, khususnya wanita, agar lebih berdikari dan mampu menjana pendapatan sendiri melalui potensi besar dalam industri lada tempatan.
“Bengkel itu bertujuan membuka jalan kepada golongan wanita, terutamanya yang kurang berkemampuan agar mampu menjana pendapatan sendiri dan berdikari.
“Saya mahu melihat lebih ramai wanita berjaya terutama dari kawasan luar bandar,” ujarnya.
Baru-baru ini, jenamanya juga tidak melepaskan peluang menjadi penaja rasmi bagi pertandingan Miss Tasik Biru, sekali gus menunjukkan sokongan Awaeang terhadap pembangunan komuniti dan pemerkasaan wanita.
Katanya,penajaan tersebut bukan sekadar untuk publisiti, tetapi sebagai cara beliau menyumbang kepada masyarakat setempat, selari dengan prinsip kejayaan harus dikongsi.
PENGGUNA TEGAR
Ketika ditanya sama ada beliau turut menggunakan produk lada jenama lain dalam masakannya, kata Awaeang, dirinya lebih bangga memanfaatkan produk Nang Ori yang telah diiktiraf sebagai bahan rempah berkualiti.
Katanya, makanan yang enak dan berkualiti bermula daripada bahan asas yang baik.
Sama ada menyediakan sajian tradisional atau moden untuk ahli keluarga dan tetamu, lada Nang Ori sentiasa menjadi pilihan utama di dapur.
“Misalnya, dalam menyediakan masakan tradisional Dayak iaitu ‘Ayam Pansuh’, saya akan menambahkan serbuk kasar lada hitam, bagi tujuan membangkitkan rasa pedas semula jadi yang menyatu sebati dengan aroma herba hutan,” katanya.
Anak-anaknya juga gemar dengan produk lada, sehinggakan sentiasa menambah serbuk pedas itu ke dalam hampir setiap hidangan mereka, termasuk mihun dan nasi goreng.
SEIMBANG KERJAYA, KELUARGA
Walaupun rutin hariannya setiasa padat, beliau tetap mengekalkan keseimbangan dalam kehidupannya.
“Apabila tiba hujung minggu, saya akan memperuntukkan masa berkualiti untuk keluarga, terutamanya bersama anak-anak dan suami tercinta,” katanya.
urusan perniagaan di luar negara dijadiakn peluang meluangkan masa berdua bersama suami.
Kini, dengan tanggungjawab yang semakin bertambah termasuk jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah dalam Lembaga Lada Malaysia (MPB), Awaeang lebih teliti dalam menyusun jadual hariannya.
Sebagai ibu kepada lima orang anak, beliau sentiasa mementingkan keperluan anak-anak yang sedang membesar.
“Saya dan suami memasang kamera litar tertutup(CCTV) di rumah bagi memastikan anak-anak berada dalam keadaan selamat dan tidak meninggalkan tanggungjawab untuk belajar.
“Justeru, kami masih boleh komited menjalankan tanggungjawab yang penting walaupun ada masanya perlu ke luar negara atas urusan kerja,” katanya.
Awaeang bersyukur mempunyai ibu dan pembantu rumah yang setia menolongnya dalam memantau aktiviti dan menjaga anak-anaknya dengan baik.
Sejak kecil, idola pertamanya adalah ibunya sendiri, Lo Lai Ngo.
Walaupun ibunya tidak berpeluang menamatkan persekolahan, namun wanita itu tidak pernah kenal erti putus asa.
“Ibu sentiasa berdoa supaya saya berjaya. Ia menjadi pendorong untuk saya terus berusaha dan menjadi insan yang lebih baik setiap hari,” katanya.-UTUSAN










