Wanita India pertama kemudi pesawat pejuang Rafale

Wanita India pertama kemudi pesawat pejuang Rafale

SHIVANGI berhasrat menjadi sebahagian daripada rancangan misi angkasa India. – AGENS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Leftenan Shivangi Singh hanyalah seorang kanak-kanak yang teruja menyentuh pesawat buat pertama kalinya, 20 tahun lalu.

Setelah dua dekad, siapa sangka beliau kini bergelar wanita India pertama yang menerbangkan pesawat pejuang Rafale buatan Perancis.

Wanita berusia 29 tahun itu berkata, lawatan pertama ketika kanak-kanak ke Muzium Tentera Udara di New Delhi merupakan permulaan kepada impiannya untuk bergelar seorang juruterbang.

“Inilah tempat di mana pengembaraan saya bermula,” kata Shivangi kepada AFP, ketika mengimbas kembali kenangan itu.

Wanita pertama kali dilantik ke dalam barisan juruterbang pesawat pejuang pada tahun 2015, dua dekad selepas mereka dibenarkan menyertai Tentera Udara India (IAF).

Shivangi yang berkahwin dengan rakan juruterbang pejuang, merupakan wanita pertama India yang menerbangkan jet Rafale, dengan satu tempat duduk.

Bulan lalu, New Delhi menandatangani perjanjian bernilai berbilion dolar untuk membeli 26 pesawat dari Dassault Aviation, tambahan kepada 36 yang ditempah sebelum ini.

Pesawat pejuang itu sebahagian daripada usaha pemodenan utama IAF untuk menggantikan armada MiG buatan Russia yang semakin usang.

Perjanjian itu dibuat ketika ketegangan dengan negara jiran, Pakistan, meningkat selepas New Delhi menyalahkan Islamabad atas serangan di Kashmir pada April lalu.

India juga semakin bimbang dengan jiran utaranya, China, terutama selepas pertempuran maut pada 2020 antara tentera kedua-dua negara di sepanjang sempadan Himalaya yang dipertikaikan.

Shivangi, yang dilahirkan di bandar Varanasi, terpaksa cemerlang dalam kedua-dua akademik dan sukan untuk menembusi pekerjaan yang dahulunya lebih sinonim untuk lelaki.

“Ibu saya adalah sumber inspirasi yang hebat kerana dia bukan sahaja mahu saya mendapat pendidikan, tetapi mahu saya berdikari dan menyokong semua usaha saya,” katanya.

Menurut statistik rasmi dari tahun 2023, Tentera Udara India mempunyai lebih 1,600 pegawai wanita, termasuk ramai juruterbang.

Negara paling ramai penduduk di dunia itu juga mempunyai peratusan tertinggi bagi juruterbang komersial wanita, kira-kira 14 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Beliau turut berkongsi pengalaman gugup dan cemas ketika pertama kali duduk di kerusi kokpit, sehingga ke tahap dirinya sekarang yang lebih yakin terbang secara solo.

Kali pertama Shivangi mengambil kawalan pesawat pejuang MiG-21, beliau menyedari betapa banyak kemahiran yang diperlukan untuk mengawal penerbangan tersebut.

IMPIAN ANGKASAWAN

Beliau adalah antara juruterbang pertama yang mencuba pesawat baharu Rafale.

Setelah melalui proses pemilihan yang ketat, pada tahun 2020, Shivangi disenarai pendek untuk latihan simulator dengan jurulatih dari Perancis sebelum memasuki kokpit.

“Responsifnya mengagumkan. Kokpitnya sangat selesa, anda rasa seolah-olah ia direka khas untuk anda,” katanya.

Kini, impian Shivangi lebih besar apabila India merancang misi angkasa berawak.

Juruterbang muda itu juga berhasrat untuk menjadi sebahagian daripada sejarah tersebut dan berharap cabaran berkenaan akan menjadi sempadan seterusnya.

“Saya berjaya dalam bidang yang dahulunya hanya untuk lelaki, dan jika sekali lagi saya berjaya, maka wanita kini boleh bekerja dalam mana-mana sektor,” katanya.

Beliau kini memohon untuk mengikuti kursus latihan sebagai juruterbang ujian.

“Saya mahu menjadi angkasawan. Jadi mari kita doakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×