Sebak lihat ibu, bayi dipenjara

Sebak lihat ibu, bayi dipenjara

dianugerahkan Wanita Ikon Sesi 2024 dan 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melihat si comel di sebalik tirai besi yang dipenjara bersama ibu yang merupakan banduan meruntun sanubarinya.

Kebanyakan bayi yang ditinggalkan sementara waktu bersama ibu di dalam penjara berusia dua tahun ke bawah.

Enggan berpeluk tubuh melihat situasi pilu itu, Tina Tajuddin mengambil langkah drastik dengan meninggalkan dunia guaman.

Beliau menyedari dirinya tidak cukup kuat untuk menghadapi realiti getir di sebalik dinding mahkamah dan penjara.

Terdetik di benak fikirannya, pasti ada cara untuk membantu.

Tidak semestinya melalui profesion guaman, tetapi melalui pencegahan awal.

Lalu, wanita berusia 50 tahun ini mula berjinak-jinak dalam dunia pendidikan untuk menyuntik kesedaran kepada umum mengenai gejala sosial yang kian menghimpit ketika ini.

“Di sinilah saya menyedari bahawa pendidikan memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk cara berfikir, sikap dan tindakan seseorang sejak peringkat awal kehidupan lagi.

“Saya percaya dengan ilmu dan kesedaran lebih awal, masyarakat dapat dicegah daripada terjerumus gejala sosial,” katanya kepada Seri.

Pendidikan yang menyeluruh mampu menjadi benteng utama mencegah keruntuhan sosial serta membuka peluang kepada masa hadapan yang lebih cerah.

Dengan menceburi bidang pendidikan, Tina menemui semula panggilan jiwanya sebagai suara dan benteng awal bagi wanita serta kanak-kanak, agar tidak lagi menjadi mangsa.

Berbekalkan jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif di TAJ International College, beliau berusaha membentuk generasi yang lebih berkualiti dan berdaya saing melalui pendidikan.

PENDIDIKAN PERCUMA

Beliau sentiasa memikirkan cara untuk memperkasakan bidang pendidikan dalam usaha memartabat anak bangsa.

Antara usaha yang pernah dilaksanakan adalah Seminar Skor SPM A+ secara percuma, bagi menyalurkan pendidikan berkualiti kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Seminar yang menghimpunkan 10,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari seluruh negeri itu menjadi antara inisiatif pendidikan terbesar yang pernah dianjurkan secara percuma oleh individu atau organisasi bukan kerajaan.

“Lebih membanggakan, seminar itu melibatkan kepakaran 12 orang cikgu cemerlang, yang sememangnya terkenal dengan reputasi tinggi dan pencapaian luar biasa dalam dunia pendidikan.

“Kehadiran dan kerjasama daripada guru-guru tersebut memberikan ilmu dan strategi terbaik kepada pelajar agar mereka dapat mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan penting itu,” katanya.

Inisiatif itu membantu pelajar daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi untuk mendapat akses kepada bimbingan berkualiti.

 

Memperjuangkan hak kanak-kanak

Selain pendidikan, penerima Anugerah Ibu Zain (Kategori Pendidikan) ini juga lantang memperjuangkan hak kanak-kanak, khususnya dalam kes-kes penderaan.

Beliau percaya setiap kanak-kanak berhak mendapat kasih sayang, perlindungan dan pendidikan awal yang berkualiti.

Lahirnya Taska Tina yang diasaskan oleh beliau sebagai sebuah pusat penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak, dibina dengan matlamat memberi ruang selamat dan holistik kepada anak-anak kecil.

Katanya, taska tersebut bukan hanya tempat penjagaan, tetapi juga sebuah institusi awal yang menekankan nilai kasih sayang, keselamatan dan pembentukan sahsiah sejak usia muda.

Bantuan kemasyarakatan

Anak kepada ahli politik, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ini juga tidak lokek menghulurkan tangan kepada golongan yang memerlukan.

Beliau memanfaatkan kelebihan sebagai warga pendidik dan ahli perniagaan, untuk membuat kerja-kerja amal.

Beliau kerap turun padang mengagihkan makanan, barangan keperluan dan menyantuni golongan terpinggir tanpa mengira latar belakang.

Harapannya, dapat memberi kesedaran serta mendorong orang ramai turut serta membantu.

Menceritakan pengalaman ketika memberi bantuan di sebuah kawasan pendalaman, beliau pernah bertemu dengan sebuah keluarga yang mempunyai anak kurang upaya.

Keluarga itu memberitahu, mereka tidak tahu masalah yang dihadapi anak-anak kerana tidak pernah melakukan pemeriksaan kesihatan.

Pengalaman itu meruntun hati Tina apabila membayangkan kehidupan anak istimewa itu bersama keluarga yang serba kekurangan selama ini.

Anugerah pengiktirafan wanita

Disebalik kerja amal yang dilakukan, wanita ini tidak menyangka ada yang mengiktiraf.

Beliau dianugerahkan Wanita Ikon sesi 2024 dan 2025 sekali gus mencatat sejarah tersendiri sebagai penerima Anugerah Wanita Ikon 2024 dan 2025 yang berlatarbelakangkan bidang pendidikan yang diangkat sebagai tokoh wanita berpengaruh negara.

Anugerah Wanita Ikon merujuk kepada satu bentuk pengiktirafan yang diberikan kepada wanita yang telah menunjukkan pencapaian luar biasa dalam pelbagai bidang masing-masing.

Ia sama ada wanita tersebut terlibat dalam kerjaya, perniagaan, kesukarelawanan, kepimpinan masyarakat, seni, sains atau lain-lain.

Jelas Tina, antara kriteria diketengahkan beliau semasa bertanding adalah manifesto untuk membantu golongan wanita dan keluarga yang memerlukan.

Selain itu, beliau turut merangkul Anugerah Ibu Zain bagi kategori pendidikan yang mengiktiraf jasanya selama tiga dekad dalam bidang pendidikan.

Sudah tentu, perkara itu membangkitkan rasa terharu dalam dirinya kerana terpilih di antara calon-calon terbaik.

Universiti wanita

Antara impian besar yang dipegang erat adalah penubuhan sebuah universiti khusus buat golongan wanita.

Hasratnya mahu mewujudkan sebuah institusi pendidikan tinggi yang eksklusif untuk wanita serta dapat memfokuskan pembangunan menyeluruh fitrah dan potensi kaum hawa.

Mengambil contoh beberapa penubuhan universiti wanita yang telah wujud di luar negara, ia dianggap sebagai langkah strategik memperkasa wanita dengan lebih mendalam dan holistik.

Begitupun, ia bukan bertujuan menidakkan peranan lelaki, tetapi lebih kepada memperkukuh agenda wanita daripada perspektif wanita sendiri.

Namun, katanya, impian itu pernah dikritik dan tidak dipersetujui, termasuk ahli pendidikan.

Alasan yang diberi, tidak ada keperluan universiti khas bagi wanita, kerana sudah terdapat banyak institusi tinggi sedia ada di negara ini.

Bagaimanapun, beliau menyatakan fokus penubuhan universiti tersebut bukanlah sekadar berkait dengan akademik semata-mata, tetapi untuk membangunkan kapasiti wanita secara menyeluruh.

Ujarnya, ini termasuk aspek emosi, keibuan dan kesejahteraan mental yang sering dipandang ringan.

Namun, alah bisa tegal biasa.Kritikan itu tidak melemahkan semangat, sebaliknya membuktikan perlunya wacana tentang kepentingan pembangunan wanita terus digerakkan.

Sehingga kini, beliau masih menggenggam erat pegangan untuk membantu wanita dan kanak-kanak semampu mungkin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN