Rahsia Nor Farah rangkul ranking nombor satu dunia

Rahsia Nor Farah rangkul ranking nombor satu dunia

sentiasa menjalani latihan dengan tekun walaupun sudah bergelar juara dunia.UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dahulu, boling padang dianggap sebagai sukan yang kurang popular berbanding badminton, renang atau sepak takraw.

Namun, kini ia mula menambat hati rakyat Malaysia, hasil pencapaian luar biasa atlet tempatan di pentas dunia.

Nama Nor Farah Ain Abdullah, 24, membuka mata orang ramai mengenai sukan boling padang selepas merangkul gelaran nombor satu dunia.

Beliau menduduki kedudukan teratas dengan berjaya mengumpul 723 mata, berdasarkan kemas kini ranking dunia wanita di World Bowls Series.

Namanya juga mula meniti di bibir peminat sukan tempatan selepas muncul juara dunia perseorangan dalam Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 yang berlangsung di Guernsey, Channel Islands.

Anak muda ini juga melakar sejarah apabila muncul atlet pertama daripada sukan boling padang yang dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan di Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024.

Kejayaan luar biasa ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan beliau di persada dunia, malah menjadi titik tolak minat masyarakat terhadap sukan ini.

Berkongsi pembabitannya dalam sukan itu, kata Nor Farah Ain, setiap atlet mempunyai cara tersendiri untuk bersedia menghadapi tekanan sebelum memasuki gelanggang, begitu juga dirinya.

Sebelum memulakan latihan mahupun pertandingan, khususnya di peringkat antarabangsa, beliau melakukan rutinnya yang tersendiri.

Setiap kali sebelum memulakan kejohanan, beliau akan meluangkan masa untuk tidur selama 15 minit sambil mendengar lagu.

Katanya, dengan berehat seketika dapat membantunya menenangkan minda, meredakan tekanan dan mengimbangi emosi sebelum menghadapi pertandingan.

Selain itu, bagi mengatasi rasa cemas atau panik, beliau akan menikmati makanan manis seperti coklat atau gula-gula.

Jika kebanyakan orang memilih untuk mendengar lagu-lagu pembakar semangat, Nor Farah Ain pula lebih gemar membaca kata-kata motivasi sebagai penguat jiwa.

Antara petikan kegemarannya ialah the road to success is always under construction.

Namun, kejayaan hari ini tidak datang bergolek.

Jatuh, bangun dan kepercayaan keluarga menjadi ‘sangkar’ yang membelenggu dirinya saat mula bertatih dalam arena sukan.

Muncul sebagai atlet pertama daripada sukan boling padang yang dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan.

Pada awalnya, beliau menyertai boling padang selepas hasrat untuk meneruskan sukan layar dilarang oleh bapanya, atas faktor keselamatan.

“Pada peringkat awal, ibu bapa saya sendiri kurang memberikan sokongan kerana lebih berminat jika saya bekerja dalam bidang profesional, bukannya dalam sukan.

“Segalanya berubah selepas saya berjaya membuktikan kemampuan diri dan mengubah pandangan mereka terhadap diri ini yang dianggap masih mentah dengan merangkul gelaran juara dunia.

“Kini, lega apabila melihat senyuman terukir di wajah kedua orang tua saya,” katanya kepada Seri.

Nor Farah Ain sentiasa berusaha membuktikan beliau mampu mengimbangi antara sukan dan akademik.

Bagi Farah, sukan bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi satu cara untuk menyalurkan prinsip disiplin dan dedikasi.

Ia antara nilai-nilai yang amat dekat di hatinya.

Walaupun sukan itu bukanlah pilihan pertamanya, namun sekali melangkah, beliau tidak lagi menoleh ke belakang.

Minat dan komitmen anak jati Selangor itu terhadap sukan boling padang tidak pernah luntur sehingga menjadikan dirinya hari ini.

Hampir menyerah

Laluannya menuju puncak penuh lecak dan berliku buat wanita yang diberi julukan ratu boling padang ini.

Hampir sahaja beliau berputus asa dengan dugaan yang bertimpa.

Antara detik yang paling memberi kesan dalam hidupnya adalah selepas penyertaannya dalam kejohanan Sukan Malaysia 2023 (Sukma 2023) berlangsung di Kuala Lumpur apabila pasukannya pulang dengan tangan kosong.

Perasaan kecewa dan sedih menyelubungi langitnya yang kelihatan semakin malap.

“Pada ketika itu, saya nekad untuk berhenti terlibat dalam sukan boling padang ini. Saya rasa sangat sedih kerana tidak dapat beri apa-apa untuk pasukan,” luahnya.

 

Namun, saat dirinya berasa di awang-awangan, hadir individu yang tidak pernah berhenti percaya potensinya.
Cikgu Arifin merupakan jurulatih negeri yang telah lama membimbingnya.

Katanya, Cikgu Arifin terus memujuknya untuk tidak berputus asa dan merancang menghantarnya menyertai kejohanan kebangsaan di Terengganu.

Walaupun hatinya masih ragu-ragu pada ketika itu, beliau akhirnya membuat keputusan untuk menyahut cabaran dan meneruskan perjuangan.

Keputusan itu menjadi permulaan perubahan besar dalam hidupnya.

Di kejohanan kebangsaan tersebut, Nor Farah Ain muncul juara bagi kategori individu wanita, sekaligus layak mewakili negara di pentas Asia di Pattaya, Thailand.

Fasa pemulihan tangan

Ketika pertemuan kami baru-baru ini, figura ini sempat berkongsi mengenai kecederaan serius pada bahu kanan, iaitu tangan dominan yang digunakan untuk melontar bola dalam sukan boling.

Menurutnya, kecederaan yang dialami berpunca daripada jadual latihan yang terlalu padat dan berintensiti tinggi.

Sesi latihan dijalankan dari pagi hingga ke petang tanpa rehat mencukupi.

Keadaan itu berlarutan selama beberapa minggu, menyebabkan tekanan berterusan pada bahu kanan yang akhirnya membawa kepada kecederaan serius.

Seperti kebanyakan atlet lain, Nor Farah Ain mengakui beliau hanya bergantung kepada kaedah rawatan asas seperti meletakkan ais di sekitar kawasan yang sakit untuk meredakan kesakitan.

Kaedah ini digunakan hampir setiap kali beliau mengalami ketidakselesaan, tanpa menyedari kecederaan yang dialaminya mungkin lebih serius daripada jangkaannya.

Malah, beliau turut mengakui tidak pernah mendapatkan pemeriksaan lanjut sejak mula merasakan kesakitan tersebut pada tahun 2018.

Ketika itu, beliau beranggapan, ia hanyalah kecederaan kecil akibat latihan dan akan pulih dengan sendiri.

Sikap mengambil ringan terhadap tanda-tanda awal kecederaan akhirnya membawa kepada keadaan yang lebih serius beberapa tahun kemudian.

Namun, ketika menyertai kejuaraan dunia di Scotland baru-baru ini, beliau mula menyedari, tangan utamanya itu semakin tidak mampu berfungsi seperti biasa.

Akibatnya, beliau tidak dapat memberikan persembahan terbaik, walaupun sudah mencuba sedaya upaya.

Kerana bimbang prestasinya terus terjejas, Nor Farah Ain mengambil keputusan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di Institut Sukan Negara (ISN).

“Selepas melakukan imbasan ultrabunyi, doktor mendapati terdapat dua koyakan pada bahagian bahu,” katanya.

Justeru, beliau sedang menjalani rehat bagi tempoh empat hingga enam minggu, bergantung kepada tindak balas badannya terhadap rawatan.

Pencinta haiwan

Di sebalik ketegasan dan semangat juangnya di arena boling padang, wanita ini memiliki sisi lembut yang jarang ditonjolkan.

Beliau sebenarnya seorang pencinta haiwan malah sejak kecil, beliau pernah menyimpan impian membuka sebuah pusat perlindungan atau sebuah klinik veterinar.

Baginya, haiwan bukan sekadar makhluk peliharaan, tetapi teman yang boleh membawa ketenangan dan kegembiraan dalam kehidupan.

Begitupun, impian itu kian terkubur memandangkan beliau ketika ini menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap sukan boling padang.

“Namun, semakin meningkat usia, saya mula menyedari jiwa ini lebih cenderung kepada dunia sukan.

“Sejak zaman sekolah lagi, saya mula aktif dalam pelbagai jenis sukan dan sering melibatkan diri dalam pertandingan,” ujarnya.

Walaupun impian terhadap haiwan masih tersimpan rapi, Farah tahu dunia sukan adalah medan sebenar yang paling serasi dengan dirinya.

“Sukan bukan sekadar kerjaya, tetapi satu gaya hidup yang telah membentuk siapa saya hari ini,” ujarnya mengakhiri bicara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN