Olahan gaya transisi moden, klasik cipta ruang unik

Olahan gaya transisi moden, klasik cipta ruang unik

Kombinasi perabot rekaan moden dan klasik lengkapkan gaya transisi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak begitu moden, tidak juga begitu klasik. Itu pandangan pertama saya saat menjenguk ke kediaman yang satu ini.

Pemilik, Siti Fatimah Joharry mengetengahkan gaya transisi iaitu kombinasi antara elemen moden dan klasik pada satu ruang.

Olahan sederhana pada kedua-dua elemen ternyata berjaya membangkitkan suasana yang harmoni pada kediaman jenis dua tingkat ini.

Menariknya, konsep itu terjadi secara tidak sengaja pada mulanya, namun kemudian diolah dengan sempurna sehingga membentuk gaya transisi yang seimbang dan menarik.

“Pada mulanya, saya tiada konsep khusus untuk rumah. Tetapi, semasa fasa ubah suai, saya dan suami telah memilih rekaan dapur hijau kami yang moden.

“Selepas itu, kontraktor lantai kami pula telah memasang warna lantai SPC yang salah. Namun, akhirnya saya rasakan kombinasi kabinet dapur moden kami dengan lantai bercorak gelap dan rustik nampak unik.

“Daripada situ, saya terus memilih untuk menggabungkan dua gaya tersebut dan setelah itu saya mendapat tahu konsepnya adalah transisi,” katanya kepada Seri.

kabinet dapur rona hijau yang dipadankan dengan lantai kayu gelap bangkitkan gaya transisi moden estetik dan klasik.

GAYA SEIMBANG

Bagi menjayakan konsep ini, elemen yang harus dititikberat adalah keseimbangan.

Keseimbangan elemen antara moden dan klasik memberi sentuhan unik dan malar segar pada beberapa sudut.

Bagi kediaman ini, Siti Fatimah bijak menyusun atur padanan perabot rekaan estetik moden dan klasik pada satu ruang.

“Padanan barang tradisional contohnya, sofa ala-ala vintaj bersama barang moden seperti meja tepi yang minimalis akan menghasilkan ruang yang menarik dan harmoni.

“Konsep ini memberi ruang dan peluang untuk suai padan elemen moden yang ringkas dengan unsur-unsur tradisional yang lebih klasik dan sarat.

“Jadi, konsep ini sesuai untuk orang yang suka pada dekorasi minimal tetapi penuh dengan karakter tersendiri. Jika pandai seimbangkan kedua-dua gaya baharu dan lama, konsep transisi akan sentiasa nampak malar segar tetapi ‘semasa’,” katanya yang aktif berkongsi idea dekorasi di Instagram @anggun.micasa.

Daripada segi pilihan warna pula, rona hitam, krim dan putih menjadi asas yang melatari keseluruhan ruang.

Selain memberi efek nyaman dan lembut, rona-rona ini juga sesuai dipadankan dengan elemen kayu gelap yang banyak terdapat dalam pemilihan perabot di kediaman ini.

“Palet warna rumah saya kebanyakannya terdiri daripada coklat, hijau dan biru dengan sedikit sentuhan rona merah di beberapa sudut.

“Oleh kerana rumah saya berkonsep ruang terbuka, saya akan pastikan warna-warna ini berulang dalam setiap ruang yang bersebelahan untuk tampil menarik,” jelasnya yang banyak merujuk video pereka hiasan dalaman luar negara sebagai inspirasi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×