Nikmati strawberi di awan Gunung Jerai

Nikmati strawberi di awan Gunung Jerai

SALAH seorang pekerja, Anuar Abdul Basir memetik buah strawberi untuk dijual.– UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka di sebalik kehijauan hutan dan panorama sawah padi yang mengelilingi Gunung Jerai di Yan, Kedah terdapat sebuah ladang strawberi yang kini menjadi tarikan baharu pelancong ke negeri ini.

Terletak di puncak yang berketinggian lebih 1,217 meter dari paras laut, ladang strawberi tersebut bukan sahaja menawarkan suasana sejuk yang nyaman, malah memberikan pengalaman unik kepada pengunjung untuk menikmati buah strawberi segar dari ladang.

Kewujudan ladang strawberi tersebut bukan sahaja menambah daya tarikan pelancongan Gunung Jerai, malah turut membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk sekitar menerusi peluang pekerjaan dan perniagaan berasaskan produk strawberi.

Jerai Hill Strawberry Farm, berkeluasan 900 meter persegi itu diusahakan seorang bekas guru selepas beliau mendapat idea ketika berkunjung ke Gunung Jerai pada 2018.

Rushidi Md. Nor berkata, ketika itu belum ada produk pelancongan yang betul-betul boleh menarik lebih ramai pelancong naik ke puncak gunung selain pemandangan unik dan tempat penginapan yang sedia ada terdapat di situ.

Bertitik tolak daripada itu, Rushidi yang berpengalaman lebih 20 tahun mengusahakan hampir satu hektar ladang strawberi di Cameron Highland, sanggup mengeluarkan belanja sehingga RM300,000 untuk membangunkan ladang strawberi di Gunung Jerai.

“Usaha ini sekurang-kurangnya dapat membantu penduduk luar bandar yang kurang mampu atau tidak pernah ke ladang strawberi di Cameron Highland, merasai pengalaman memetik buah itu di Gunung Jerai.

“Di sini juga dilengkapi dengan pelantar yang membolehkan pengunjung mengamati pemandangan lautan dan jelapang padi dari puncak Gunung Jerai sambil menikmati buah strawberi dan produk makanan lain yang berasaskan tanaman itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tuaian 16 kg setiap hari

Setiap hari, Jerai Hill Strawberry Farm menuai antara tiga hingga enam kilogram (kg) buah strawberi.

Namun, memasuki November hingga Januari setiap tahun, ladang itu mampu mengutip hasil sehingga 16kg buah strawberi setiap hari ekoran berbuah lebat pada musim itu.

“Penanaman yang dibuat di sini adalah secara bertingkat dan bukan di atas tanah. Selain ladang strawberi dan produk hiliran berasaskan strawberi, orang ramai sebenarnya boleh juga mendapatkan benih strawberi dari Mesir yang juga rakan strategik kami,” katanya.

Ujar Rushidi, pada mulanya beliau bimbang dengan sambutan pengunjung memandangkan turut terkesan teruk selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 dan runtuhan tanah di Gunung Jerai.

“Bagaimanapun, sambutan pengunjung kini amat menggalakkan terutamanya pada hujung minggu dan setiap kali cuti umum.

“Kami tidak kenakan bayaran dan pengunjung boleh masuk secara percuma ke ladang strawberi yang dibuka antara pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari,” katanya.

Sasar tanam 50,000 pokok

Rushidi berkata, selain meraih hasil daripada perniagaan agro pelancongan yang diusahakan, ada harapan lain sebenarnya yang tersimpan.

Beliau mahu membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Anak kelahiran Sik itu berkata, sebanyak 4,000 pokok strawberi daripada pelbagai jenis seperti Festival, Monterey dan Royal Berry ditanam di ladangnya setakat ini.

“Tidak ketinggalan, kami juga menanam strawberi jenis Pineberry yang unik dengan memiliki warna putih dan rasa seperti campuran nanas dan strawberi.

“Maka, disebabkan mahu meningkatkan taraf ekonomi penduduk sekitar, kami ada rancangan untuk membesarkan ladang ini hingga mampu memuatkan 50,000 pokok strawberi dengan jangkaan hasil tuaian 100kg sehari,” katanya.

Pihaknya turut bercadang menanam tanaman lain seperti anggur dan avokado di ladang itu untuk menarik lebih ramai pelancong, sekali gus menjadikannya sebagai destinasi pelancongan menarik di Kedah.

Selain strawberi, pengunjung turut berpeluang menikmati produk berasaskan buah itu termasuklah scone dan ais krim pada bila-bila masa.

Kesemuanya dijual antara RM4 hingga RM20 yang dihasilkan sendiri di ladang berkenaan.

Melengkapi keunikan Gunung Jerai

Gunung Jerai bukan sekadar mercu tanda alam semula jadi, malah menjadi saksi bisu kepada pelbagai peristiwa bersejarah, legenda dan keunikan geologi yang menjadi kebanggaan negeri jelapang padi itu.

Dengan ketinggian dimiliki, Gunung Jerai merupakan antara puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia dan sering menjadi destinasi pilihan pencinta alam dari dalam dan luar negara selain lokasi utama keluarga beriadah.

Menariknya, gunung ini dahulunya dikenali sebagai ‘Puncak Kedah’ oleh para pedagang dari India dan Arab kerana ia menjadi panduan penting kepada kapal dagang yang berlabuh di pesisir pantai Kedah.

Gunung Jerai juga kaya dengan mitos dan legenda, antaranya kisah Sang Kelembai yang dikatakan telah menyumpah kawasan sekitarnya menjadi batu serta kisah Puteri Jerai yang dikaitkan dengan dunia mistik.

Selain itu, Gunung Jerai mempunyai kepentingan dari sudut geologi kerana kawasan puncaknya terdiri daripada batu kuarza yang berusia lebih 500 juta tahun, menjadikannya antara formasi batuan tertua di Malaysia.

Kini, dengan penambahan tarikan agro pelancongan seperti ladang strawberi, Gunung Jerai dijangka terus menarik minat pengunjung untuk menikmati keindahan alam semula jadi sambil mendalami sejarah dan warisan Kedah yang kaya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN