WALAUPUN sudah menjangkau usia 82 tahun, Meenakshi Raghavan tiada rancangan untuk bersara daripada mengajar seni mempertahankan diri tertua di India, Kalaripayattu.
Meenakshi dianggap sebagai wanita tertua di dunia yang mengamalkan Kalaripayattu, dipercayai berasal di negeri selatan Kerala sejak lebih 3,000 tahun lalu.
Ia tidak hanya diamalkan untuk pertempuran atau pertarungan, bahkan bertujuan memupuk disipilin, membina kekuatan serta membangunkan kemahiran mempertahankan diri.
“Saya mungkin akan terus berlatih dan mengajar Kalari sehingga ke hujung nyawa,” katanya.
Beliau yang mesra dipanggil Meenakshi Amma, tinggal di bandar Vadakara di Kerala.
Bandar tersebut juga merupakan tempat tinggal bagi pengamal seni terkenal seperti Unniyarcha, Aromal Chekavar dan Thacholi Othenan.
Kadang-kala, Meenakshi turun membuat persembahan di bandar lain, namun kebanyakan masa beliau dihabiskan untuk mengendali sekolah Kalari yang diasaskan oleh suaminya, Raghavan pada 1950.
Kehidupan sehariannya dipenuhi dengan sesi kelas bermula seawal pukul 5 pagi hingga tengah hari.
“Saya mengajar kira-kira 50 pelajar setiap hari. Keempat-empat anak saya dilatih (dalam seni ini) oleh saya dan suami.
“Mereka belajar sejak berusia enam tahun,” kata Meenakshi.
Sekolah Kalari yang diuruskan beliau bukan hanya tempat mengajar seni mempertahankan diri, tetapi juga pusat untuk membentuk disiplin, ketahanan mental dan menghargai warisan budaya yang berusia ribuan tahun.
SENI KALARIPAYATTU
Kalaripayattu mempunyai empat peringkat dan memerlukan kesabaran tinggi untuk mempelajari seni tersebut.
Latihan bermula dengan meypattu, (urutan minyak) yang diikuti dengan senaman untuk menguatkan tubuh.
Selepas kira-kira dua tahun, pelajar akan maju ke kolthari (pertarungan menggunakan tongkat), diikuti dengan angathari (pertempuran senjata seperti pedang) dan verumkai, tahap tertinggi yang melibatkan pertempuran tanpa senjata.
Kebiasaannya, setiap individu mengambil masa sehingga lima tahun untuk menguasai Kalaripayattu.
Kali pertama Meenakshi terlibat dalam dunia Kalari adalah sekitar 75 tahun lalu.
“Ketika itu saya berusia tujuh tahun dan agak mahir dalam tarian. Jadi, guru saya mencadangkan kepada bapa supaya saya mempelajari seni Kalaripayattu.
“Sama seperti tarian, seni ini memerlukan kelenturan tubuh,” katanya.
Menurut Meenakshi, selepas berkahwin dengan suami pada usia 17 tahun, mereka bersama-sama melatih ratusan pelajar tanpa mengenakan sebarang bayaran.
“Pada masa itu, kebanyakan pelajar datang daripada keluarga miskin.
“Satu-satunya wang yang diterima oleh Raghavan adalah dalam bentuk dakshina atau penghormatan yang diberikan kepada guru,” katanya.
Selepas kematian Raghavan pada 2007, Meenakshi secara rasmi mengambil alih sekolah tersebut.
Walaupun tiada rancangan untuk bersara buat masa ini, beliau berharap anak sulungnya, Sanjeev, akan meneruskan legasinya di sekolah itu.
Sanjeev, 62, yang juga pengajar di sekolah tersebut, meluahkan rasa bertuah kerana mendapat ilmu yang diturunkan sendiri oleh ibunya.-UTUSAN










