KUALA Perlis merupakan salah satu lokasi pelancongan popular di negeri ini.
Selain menjadi transit ke Pulau Langkawi, destinasi ini mempunyai banyak lagi lokasi pelancongan menarik seperti perkampungan nelayan warna-warni Seberang Ramai, Pulau Ketam dan terusan Kampung Wai.
Malah, Kuala Perlis juga sangat terkenal sebagai syurga makanan laut dan tidak lengkap kunjungan ke sini tanpa menikmati hidangan ikan bakar.
Namun, mungkin segelintir pengunjung sukar untuk membuat keputusan makan di mana kerana terdapat lebih 35 restoran ikan bakar di sini.
Minggu ini, Seri kongsikan lima port ikan bakar terbaik di Kuala Perlis bagi memudahkan anda dan keluarga membuat pilihan.
RESTORAN ROHANI IKAN BAKAR
Restoran atau port ikan bakar pertama yang wajib dikunjungi adalah Restoran Rohani Ikan Bakar. Ia menyajikan menu ikan bakar dan pelbagai jenis masakan laut yang sangat sedap.
Meskipun definasi sedap itu agak subjektif, namun menikmati hidangan di restoran ini pasti membuatkan pelanggan akan kembali semula.
Justeru, tidak hairanlah apabila ia dianggap sebagai salah satu lokasi restoran ikan bakar terbaik di Kuala Perlis.
Selain sajian enak dan ikan segar, antara tarikan lain ialah pada air asamnya.

MAT ROCK DER
Kedua, restoran ikan bakar yang wajib dikunjungi adalah Mat Rock Der yang terletak di Pulau Ketam.
Restoran ini menyajikan pelbagai jenis makanan laut yang segar.
Sebutkan apa sahaja ikan apa yang ingin dinikmati seperti jenahak, siakap, pari dan kerapu, semuanya ada di sini.
Pilihan jenis masakan pun pelbagai yang pastinya akan membangkitkan lagi selera pelanggan
Terdapat juga pilihan lain seperti udang dan sotong goreng celup tepung.
Selain di Pulau Ketam, Mat Rock Der turut beroperasi di Ocean Glow, Kuala Perlis.
Sambil makan ikan bakar, pelanggan boleh menikmati pemandangan indah laut Kuala Perlis.
RESTORAN NYIRU KLASIK
Destinasi ketiga yang wajib dikunjungi ialah Restoran Nyiru Klasik.
Restoran yang terletak di persisiran pantai Kuala Perlis ini sentiasa dipenuhi pengunjung meskipun pada hari biasa.
Persekitarannya selesa, di samping turut menyajikan pelbagai jenis makanan laut dan ikan-ikan segar untuk pilihan pelanggan.
Bagi yang mahu mencuba makan belangkas, jangan lepaskan peluang untuk memesannya di sini.
Menu eksotik itu turut dijual di restoran ini selain udang, sotong, ketam dan kerang.

RESTORAN API-API IKAN BAKAR
Senarai seterusnya ialah Restoran Api-Api Ikan Bakar.
Lokasi makanan laut ini sentiasa mendapat maklum balas positif daripada pelanggan.
Ia terletak bersebelahan dengan Sungai Perlis, iaitu kira-kira tiga kilometer dari jeti Kuala Perlis dan berhampiran muzium Kota Kayang.
Kebanyakan restoran ikan bakar di sini mempunyai keistimewaan tersendiri, namun yang membuatkan Api-Api Ikan Bakar ini popular ialah rasa masakannya yang sedap.
Antara menu yang popular ialah jenahak tiga rasa, ketam masak lemak dan udang goreng mentega.
Pelanggan disarankan datang awal petang, jika mahu menikmati hidangan sambil melayan keindahan suasana sungai Perlis.
RESTORAN UMAR SEAFOOD & GRILL
Kelima, Restoran Umar Seafood & Grill yang beroperasi sejak 2022 di Kampung Seberang Ramai .
Ia sering menjadi tumpuan pengunjung apabila singgah di Kuala Perlis.
Antara menu menarik yang disajikan di sini ialah ikan bakar, udang goreng mentega, shellout dan aneka masakan lemak.
Sambil makan, pelanggan juga dapat menikmati pemandangan kawasan perkampungan nelayan.
Selain itu, terdapat ruang khas seperti dataran disediakan bagi membolehkan pelanggan meluangkan masa bersama ahli keluarga.
Tidak lengkap kunjungan ke Kuala Perlis tanpa mencuba ikan bakar.
Rasanya berbeza dan istimewa, justeru tidak hairanlah Kuala Perlis digelar syurga ikan bakar dalam kalangan pengunjung.










