Susun atur minimalis buat ruang kecil tampil luas

Susun atur minimalis buat ruang kecil tampil luas

Meja kopi kayu pada bahagian ruang tamu menaikkan seri ruang tamu yang polos.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kediaman ini hanya berkeluasan 730 kaki persegi namun setiap ruang tampil lapang, cerah dan kelihatan luas.

Susun atur dan pemilihan tema yang tepat membuatkan setiap sudut tidak padat walaupun selepas mengenakan aksesori pada beberapa bahagian.

Menurut Farah Pidah Abdul Hadi, 39, rumah sewanya itu berlatarkan konsep Scandinavian Moden yang mengetengahkan perabot rotan dan tona cerah bagi menampilkan ilusi luas dan tidak serabut pada keseluruhan ruang.

Konsep yang dipilih itu juga tampak tenang dengan pemilihan rona latar lembut pada keseluruhan dinding dan kebanyakan perabot.

“Saya banyak menggunakan barangan dan perabot berasaskan rotan serta kayu sebab warnanya yang lebih semula jadi.

“Saya juga banyak melakukan suai padan pada susun atur untuk menonjolkan sisi moden pada kediaman ini,” katanya kepada Seri.

Menyusun atur perabot dan aksesori di ruang yang terhad agak mencabar.

Perlu seimbangkan antara ruang dan dekroasi supaya tidak kelihatan padat atau ‘sesak’.

Justeru, keseluruhan dinding kediaman jenis pangsapuri ini dilatari dengan rona lembut seperti putih, krim dan ivory dari ruang tamu hinggalah ke ruang dapur bagi memberikan ilusi cerah dan lapang pada sudut berkenaan.

Walaupun warna-warna ini mungkin memberikan kesan plain namun Farah Pidah bijak bermain dengan aksesori untuk menaikkan seri ruang.

Penggunaan aksesori seperti lampu seakan rotan di meja makan dan meja kopi material kayu di ruang tamu memberikan kontra yang semula jadi.

Bukan sahaja menjadikan kediaman kelihatan moden tetapi lebih estetika dan bertekstur.

Penggunaan permaidani berbentuk bulat dengan material rotan di kawasan meja makan juga sudah cukup untuk menaikkan seri di ruang lantai putih polos.

Konsep ini sesuai bagi yang menggemari suasana minimalis tetapi dalam masa yang sama mahu menghidupkan sentuhan estetika pada kediaman. Ia bertepatan dengan konsep less is more.

Kata Farah Pidah, konsep ini juga mudah diselenggara dengan hanya berbekalkan kerajinan.

“Paling penting, konsep ini mudah untuk diuruskan. Kena ada kerajinan untuk selenggara dekorasi rumah.

“Saya paling sukakan bahagian ruang tamu. Susun atur dan dekorasi ini nampak harmoni dan lebih tenang untuk keluarga saya bersantai,” ujarnya yang mengambil masa setahun untuk melengkapkan konsep tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×