Sentuhan seni kembar indahkan Sabah

Sentuhan seni kembar indahkan Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGLIBATAN pasangan kembar seiras ini dalam dunia seni mural bermula tanpa dirancang, sekadar mahu menyumbang bakti kepada sekolah lama mereka.

Namun, siapa sangka, langkah kecil yang diambil itu akhirnya membuka pintu rezeki buat mereka hingga bergelar pelukis mural prolifik di Sabah.

Dalam tempoh hanya lima tahun, Elyana Sazlin Magbanua dan adiknya, Elyana Sazwin, 28, berjaya menghasilkan lebih 300 mural.

Karya-karya mereka kini menghiasi dinding-dinding sekolah, restoran dan pelbagai lokasi awam di sekitar Negeri di Bawah Bayu itu.

Antaranya di Kota Kinabalu, Sandakan, Pitas, Kudat, Kuala Penyu, Beaufort, Kota Belut, Tuaran, Penampang, Kimanis, Tenghilan, Tamparuli dan Inanam.

Menariknya, sentuhan seni duo ini bukan sekadar mengindahkan ruangan, malah menjadi medium menyemai rasa cinta terhadap budaya dan warisan tempatan.

“Semuanya bermula pada 2020 apabila cikgu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan 2, Kota Belud dan SMK Tenghilan menjemput kami melukis mural bagi menceriakan persekitaran sekolah.

“Masa itu, kami baru habis belajar dan belum bekerja kerana pandemik Covid-19, jadi kami anggap ia sebagai peluang untuk berbakti kepada sekolah dan memanfaatkan masa,” kata Elyana Sazlin.

Siapa sangka karya pertama di sekolah tersebut menjadi titik tolak kepada kerjaya mereka hingga ke hari ini.

Walaupun tiada pengalaman di peringkat awal, namun hasil latihan berterusan berjaya membentuk kemahiran serta kecekapan mereka.

“Bagi saya, sesiapa pun boleh menghasilkan mural jika ada minat, kesungguhan untuk belajar dan berani,” katanya.

Berkongsi bakat seni yang dimiliki, anak ketiga dan keempat daripada enam beradik ini berkata, ia diwarisi daripada bapa tercinta.

Malah, bapa merupakan individu pertama yang memperkenalkan mereka kepada dunia lukisan.

“Waktu kecil, kami selalu melukis bersama ayah. Dalam kalangan adik-beradik, hanya kami berdua yang menunjukkan minat pada seni.

“Kesungguhan ayah mengasah bakat kami secara tidak langsung membuatkan kami jatuh cinta pada seni lukis,” kata lulusan Teknologi Seni Visual, Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini.

 


Ubah persepsi
Seperti kebanyakan penggiat seni lain, Elyana Sazlin dan Elyana Sazwin turut tidak terlepas daripada pandangan skeptikal ketika mula-mula menceburi dunia mural.

Bahkan, ibu bapa mereka sendiri pada awalnya tidak begitu yakin dengan hala tuju pengajian serta kerjaya yang dipilih.

“Emak dan ayah anggap seni sekadar hobi sahaja, bukan satu kerjaya yang boleh menjamin masa depan.

“Mereka risau kami tidak mampu mendapatkan pekerjaan kalau teruskan dalam bidang ini,” ujar Elyana Sazwin.

Namun, ia tidak mematahkan semangat pasangan kembar ini, sebaliknya, menjadi pemangkin untuk terus melangkah jauh dalam bidang yang dicintai.

Kerja keras mereka berbaloi apabila karya diiktiraf masyarakat, bahkan dianggap sebagai ‘duta seni’ tempatan yang berjaya mewarnai landskap mural Sabah.

Antara projek besar yang pernah dihasilkan pengasas syarikat Le Sibs Art ini ialah Rumah Semut di Tuaran pada 2022 di samping di Kuala Penyu.

“Emak dan ayah bangga melihat hasil kerja kami di pelbagai lokasi, bahkan, kini mereka merupakan penyokong nombor satu kami,” ujar Elyana Sazlin.

Dominasi lelaki
Elyana Sazlin tidak menafikan yang kerjaya sebagai pelukis mural bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi bagi wanita.

Justeru, tidak hairanlah bidang ini masih banyak didominasi lelaki.

Di Sabah, misalnya, bilangan pelukis mural wanita yang aktif dan menonjol difahamkan kurang daripada lima orang.

“Kami bukan sahaja melukis di bawah panas terik, malah perlu memanjat perancah untuk menyiapkan mural di tempat tinggi.

“Selain cabaran ketinggian dan keberanian, ia turut menguji kekuatan fizikal kerana perlu memikul cat-cat dan peralatan lain yang berat.

“Bukan semua wanita boleh bekerja dalam situasi ini dan di peringkat awal, banyak kali kami berdepan kejadian cat tumpah disebabkan gayat,” katanya.

Bagaimanapun, rasa penat hilang sekelip mata apabila melihat projek siap dengan sempurna.

Pasangan kembar ini banyak mengangkat elemen tempatan sebagai sumber inspirasi karya mereka.

Kebanyakan lukisan mereka bertemakan kebudayaan, warisan, flora dan fauna Borneo seperti Gunung Kinabalu serta motif etnik masyarakat Bajau dan Dusun.

Tempoh untuk menyiapkan sesuatu mural pula bergantung kepada saiz dinding, keadaan permukaannya dan lokasi.

Ada yang siap dalam masa sehari, manakala yang lebih kompleks boleh berlanjutan sehingga lapan hari.

Seronok kerja berdua
Walaupun berwajah seiras, Elyana Sazwin dan Elyana Sazlin sebenarnya memiliki kelebihan seni yang berbeza.

Namun, perbezaan itulah yang menjadi kekuatan utama yang saling melengkapi dalam setiap karya dihasilkan.

Elyana Sazwin lebih mahir dalam permainan warna dan teknik lakaran, manakala adiknya pula lebih kepada corak kreatif.

Keserasian mereka sebagai pasangan kembar bukan sahaja memudahkan perkongsian idea, malah mempercepatkan proses kerja.

“Ada kalanya kami berbeza pandangan, namun setiap isu diselesaikan secara profesional.

“Lagipun, sejak kecil kami memang rapat. Ke mana-mana pun bersama dari sekolah, universiti hinggalah ke alam pekerjaan,” katanya.

Menariknya, pasangan kembar ini tidak pernah merancang untuk menjadi pelukis mural, apatah lagi menjadikannya sebagai kerjaya tetap.

Namun, rezeki yang datang tanpa diduga ini diterima dengan hati yang terbuka.

Melangkah ke hadapan, mereka berdua memasang impian untuk mengembangkan lagi perniagaan seni dengan membuka sebuah kedai perkakasan.

“Jika ada rezeki dan tawaran berbaloi, kami tidak keberatan untuk melukis di Semenanjung pula,” kata mereka.

Tahun lalu, kembar ini melakar kejayaan apabil muncul pemenang tempat ketiga, Anugerah Syarikat Pemula Graduan Terbaik dalam Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2023.

Keluarga taekwando
Selain berbakat dalam seni lukisan, Elyana Sazwin dan Elyana Sazlin turut mempunyai latar belakang yang mengagumkan dalam seni mempertahankan diri.

Kedua-duanya merupakan pemegang tali pinggang hitam taekwondo, malah turut aktif sebagai pembantu jurulatih.

Lebih menarik, kemahiran itu turut dimiliki seluruh keluarga termasuk ibu bapa.
“Ayah kami merupakan jurulatih taekwondo dan membuka gimnasium sejak berusia 25 tahun.

“Kami enam beradik sudah didedahkan dengan seni pertahanan diri ini sejak kecil dan pernah menyertai pelbagai kejohanan,” Elyana Sazlin.

Bagi mereka, setiap wanita seharusnya memiliki asas pertahanan diri.

Ia bukan sahaja menjadi ‘perisai’ dalam menjaga keselamatan diri, malah dapat meningkatkan keyakinan dan tahap kecergasan seseorang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN