Nama Nurita Harith tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia fesyen tanah air.
Setiap koleksi yang dihasilkan olehnya sinonim dengan keanggunan, kelembutan dan cukup feminin menjadikannya antara jenamanya yang paling dipercayai dan ditunggu-tunggu oleh wanita untuk tampil menawan terutama ketika musim perayaan.
Minggu ini, tumpuan saya adalah pada dua rekaan eksklusif daripada Koleksi Raya 2025 beliau yang memukau iaitu Danica dan Vera.
Kedua-dua rekaan ini bukan sahaja mengekalkan ‘DNA’ Nurita yang sofistikated dan dreamy, tetapi menawarkan potongan yang sesuai untuk wanita moden yang mahu tampil elegan dan effortless.
Danica hadir dengan potongan leher V yang feminin, lengan panjang dengan lapisan sifon serta skirt potongan duyung yang dihiasi drape di tengah untuk mencipta siluet yang memanjang dan memeluk tubuh dengan sopan.
Direka daripada sifon dan renda dengan lapisan lembut, Danica memberikan rasa ringan dan beralun ketika melangkah, menjadikannya pilihan ideal untuk majlis rumah terbuka atau sesi fotografi raya bersama keluarga tersayang.
Pilihan saya adalah rona Winter Bloom dan Midnight Blue. Tips saya, dandanan sanggul rendah yang kemas atau lilitan tudung satin yang berstruktur untuk melengkapkan gayamu.
Jangan lupa cincin atau gelang minimalis untuk seimbangkan gaya kerana Danica sudah cukup statement dengan rekaan yang tersendiri.
Jika dirimu sukakan kelainan, Vera adalah pilihan ideal. Rekaan ini menampilkan potongan leher asimetri yang dihiasi renda dan sifon, dengan cape drap di sisi bodice yang memberi efek dramatik tetapi tetap anggun.
Potongan skirt duyung yang sama mencipta kesan ramping dan tinggi, sesuai untuk wanita dengan pelbagai saiz dan bentuk badan.
Pilihan saya adalah rona Midnight Blue yang terang, sofistikated dan memukau saat digayakan dengan sepatu tumit tinggi berkilat dan clutch emas kecil.
Rona lavender tua juga adalah unik dan moden, sempurna digayakan bersama subang mutiara dan tudung satin rona pink lembut atau kelabu lembut.
Biarkan bahagian cape menjadi titik tumpu dan elakkan rantai leher besar. Sebaliknya, pilih subang yang menyerlah dan solekan yang soft glam.
Tudung pula, gaya terletak kemas di bahu akan menyerlahkan rekaan bahagian leher Vera dengan lebih sempurna.
Tidak kira pilihanmu adalah Danica yang romantik atau Vera yang berani, kedua-duanya melambangkan definisi wanita Malaysia moden yang tahu fesyen yang diingini.
Gaya, kelembutan dan keanggunan yang tidak lapuk dek zaman. Melangkahlah dengan yakin, kerana dunia sedang melihat dan dirimu bersinar lebih terang.-UTUSAN










