WALAUPUN pernah berundur daripada dunia luncur ais, Alysa Liu tampil dengan kemunculan semula yang luar biasa, tatkala dinasihatkan oleh jurulatih agar tidak kembali bersaing.
Cubaannya membuahkan kemanisan apabila muncul wanita pertama dari Amerika Syarikat (AS) dalam usia 19 tahun, yang memenangi gelaran juara dunia luncur ais artistik.
Kejayaan itu sekali gus menewaskan juara bertahan tiga kali berturut-turut dari Jepun, Kaori Sakamoto.
“Belum setahun saya berlatih dan langsung tidak sangka boleh beraksi sebaik ini.
“Ini merupakan kejohanan pertama saya sejak bersara, walaupun beremosi tetapi saya berjaya mempersembahkan dua rutin mantap dan seterusnya membawa pulang pingat emas.
“Kembali beraksi dan memenangi pingat lagi memang pengalaman gila. Ia merupakan cerita yang luar biasa,” kata Alysa kepada CNN.
UMUM PERSARAAN
Kejayaan mengagumkan Alysa bukan baharu, kerana pada 2019, beliau pernah mencipta sejarah menjadi juara AS termuda di usia 13 tahun.
Beliau kemudiannya bertanding di Sukan Olimpik Beijing 2022.
Anak sulung daripada lima beradik itu turut memenangi pingat di Kejohanan Dunia, tahun sama, sebelum mengejutkan dunia luncur ais dengan mengumumkan persaraan, di usia 16 tahun.
“Pada waktu itu, sejujurnya saya hanya seorang kanak-kanak yang ingin bersama adik-beradik dan mencipta kenangan dengan mereka.
“Saya tidak pernah pergi bercuti sehingga selepas saya berhenti luncur ais. Kehidupan saya hanyalah berlatih.
“Jujurnya, suka tidak suka berlatih kerana langsung tidak berpeluang duduk di rumah, melakukan hobi dan bersama keluarga sehingga menyebabkan saya sangat sakit,” katanya.
Sampai satu tahap, Alysa mengaku mula membenci beberapa aspek dan rutin sukan tersebut.
“Saya rasa ia begitu ekstrem, dan mahukan rehat. Saya melalui banyak ‘puncak’ dan ‘lembah’ yang menyakitkan,” katanya.

Kini, setelah dinobatkan sebagai juara dunia, Alysa yang juga pelajar psikologi di Universiti California, Los Angelas (UCLA) mengakui sudah berada di zon yang lebih baik dan kembali bersemangat.
Kisah itu bermula selepas beliau melakukan aktiviti ski yang tidak dirancang ke Lake Tahoe bersama rakan.
Ketika itu, Alysa sudah bertekad untuk ‘memutuskan’ hubungan dengan dunia luncur ais, namun pengalaman di situ seolah-olah menyuntik semangat baharu buatnya kembali ke gelanggang.
“Ia memerlukan kekuatan fizikal untuk menuruni bukit, sangat serupa dengan luncur ais, dan keseronokan itu pertama kali muncul sejak saya berhenti,” katanya.
SASAR OLIMPIK MUSIM SEJUK
Kemenangan Alysa di Boston itu menyusul selepas beberapa bulan penuh kesedihan untuk komuniti luncur ais.
Ia susulan nahas pesawat yang meragut 67 nyawa, termasuk 11 peluncur muda, empat jurulatih dan 13 ahli keluarga yang hadir ke Kejohanan Luncur Ais AS di Kansas, awal tahun ini.
Beliau mendedikasikan kemenangan bersejarah itu bukan hanya untuk pasukannya, tetapi juga kepada semua mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat tersebut.
Katanya, fokus kini tertumpu pada Sukan Olimpik Musim Sejuk yang dijadualkan di Itali, tahun depan.
Wanita asal California itu bertekad untuk kembali ke pentas Olimpik dan melakukan yang terbaik untuk meraih lebih banyak kejayaan dalam sukan berkenaan.
“Olimpik pertama saya sangat menyeronokkan, jadi kenapa tidak untuk saya sertai Olimpik sekali lagi?
“Saya yakin boleh jadi lebih baik pada musim depan, bahkan percaya dengan kemampuan pasukan sendiri.
“Sesuatu yang saya boleh berbangga dan ingin tunjukkan di Olimpik nanti kerana ia adalah pentas serta penghormatan terbesar buat atlet,” katanya.










