Abang kandung hampir jadi ‘suami’

Abang kandung hampir jadi ‘suami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perceraian banyak memberi kesan, terutama melibatkan perpisahan anak-anak sejak kecil.

Dalam kes perceraian yang rumit, adik -beradik kadangkala dipisahkan, seorang mengikut ibu, seorang mengikut bapa, malah ada juga diserahkan kepada keluarga angkat atau rumah kebajikan.

Salah satu kesan yang jarang dibincangkan tetapi berlaku ialah kemungkinan bercinta atau berkahwin dengan saudara kandung sendiri.

Ini terjadi apabila tiada rekod lengkap atau apabila identiti anak-anak yang diambil oleh keluarga lain tidak didedahkan sepenuhnya.

Minggu ini, saya kongsikan kisah Safieya dan Amirul (bukan nama sebenar), dua beradik kandung yang terpisah sejak kecil.

Mereka membesar di tempat berbeza dan akhirnya jatuh cinta tanpa mengetahui mereka sebenarnya bersaudara.

Safieya berkata, dia tidak berniat membuka aib sesiapa, bukan juga untuk menyalahkan sesiapa.

Tetapi, lebih kepada perkongsian tentang kesan daripada perceraian.

“Mungkin di luar sana ada anak-anak yang sedang melalui perkara sama. Ibu bapa mereka sedang melalui keretakan hubungan dalam rumah tangga dan memilih untuk menoktahkan hubungan,” ujarnya pada pertemuan yang diatur bersama saya baru-baru ini.

Perceraian itu bukan sekadar perpisahan antara dua individu dewasa, tetapi turut memberi kesan kepada anak-anak yang sedang membesar.

Tambah wanita berkulit kuning langsat ini lagi, dia berharap kisah yang dikongsikan boleh dijadikan pengajaran.

Bukan untuk menuding jari atau menghukum sesiapa, tetapi untuk semua lebih berhati-hati, lebih terbuka dan lebih peduli pada kesan yang mungkin tidak terlihat pada masa kasar, tetapi meninggalkan luka berpanjangan.

Berkongsi cerita, Safieya membesar dalam sebuah keluarga angkat yang penuh dengan kasih sayang.

Kedua ibu bapa angkat tidak pernah membuatnya berasa kekurangan.

“Saya hanya tahu status sebagai anak angkat pada usia 15 tahun. Dunia bagaikan terhenti seketika. Macam mimpi, tetapi itulah kenyataannya.

“Siapa yang tidak terkejut bila mendapat tahu selama ini, saya membesar dalam keluarga yang bukan darah daging sendiri,” ujarnya bernada sayu.

Menurut Safieya, berdasarkan cerita kedua ibu bapa angkatnya, dia diserahkan oleh seorang lelaki yang mendakwa bapa kandungnya.

Safieya diserahkan kepada mereka selepas kematian ibu kandungnya dalam satu kemalangan dan bapa tidak mampu menjaganya ketika itu.

Sejak itu, Safieya memendam semuanya di dalam hati.

Bagaimanapun dia tidak pernah berdendam mahupun marah.

“Saya terima dengan penuh reda. Apa gunanya saya terus bersedih sedangkan ibu bapa angkat yang membesarkan dan memberikan saya kasih sayang tanpa syarat ada di depan mata,” ujarnya.

Safieya tidak pernah berniat mencari bapa kandung, tetapi akhirnya pada penghujung November 2017 dia terbuka hati apabila mahu berkahwin.

Segala-galanya bermula apabila Safieya yang bekerja sebagai guru merancang untuk bertunang dengan seorang lelaki bernama, Amirul.

Bagi Safieya, bakal tunangannya itu menepati ciri-ciri lelaki idaman.

Penyayang, mengambil berat dan bertanggungjawab.

Dia mengenali Amirul semasa sama-sama menghadiri kursus perguruan di Kuala Lumpur.

Perkenalan mereka bermula daripada pertukaran idea, berlanjutan ke mesej peribadi dan akhirnya menjadi pasangan kekasih.

Enam bulan saling mengenali hati budi, akhirnya mereka sepakat untuk mengikat tali pertunangan.

KEBENARAN TERUNGKAP

Majlis pertunangan yang sepatutnya menjadi kenangan terindah, bertukar suasana sedih dan mengejutkan.

Kedua ibu bapa angkat Safieya mengakui saling mengenali sebaik melihat bapa Amirul, lelaki berusia akhir 50-an itu.

Masing-masing membuka rahsia yang telah lama terkunci. Di pihak bapa kandung, Safieya diberitahu ketika usia perkahwinan memasuki enam tahun rumah tangga mereka retak.

Ketika itu, Safieya berusia lima bulan, manakala Amirul enam tahun.

“Menurut bapa, memandangkan saya masih menyusu, saya mengikut ibu, manakala abang mengikut bapa,” ujarnya.

Tidak lama kemudian, selepas beberapa bulan berpisah, ibu kandung Safieya terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Safieya diserahkan kepada pasangan suami isteri yang belum memiliki anak dengan persetujuan bapa kandungnya.

Sejak hari itu, mereka tidak bertemu selepas kedua ibu bapa angkat Safieya berpindah ke utara tanah air.

Dunia wanita ini bagaikan gelap seketika selepas mendapat tahu lelaki yang dicintai selama ini rupa-rupanya abang kandungnya sendiri.

Menurut Safieya, selepas majlis dibatalkan, dia mengambil masa untuk bersendirian.

Hatinya hancur, namun dalam masa sama ada kelegaan kerana tidak hidup bergelumang dosa.

Dua minggu dia menghilangkan diri daripada semua orang. Dalam tempoh itu juga dia belajar untuk reda, memaafkan dan melepaskan sesuatu yang bukan miliknya.

“Kami diuji sebenarnya. Selepas masing-masing menyedari semua itu, saya dan Amirul mula membina hubungan baharu sebagai adik dan abang,” ujarnya.

Ketika ini, hubungan mereka lebih kuat berlandaskan kasih sayang seorang adik dan abang.

Mengakhiri perbualan lewat petang itu, saya sempat bertanya sama ada Safieya sudah ada pengganti selepas kejadian itu, dia hanya tersenyum.

“Bukan semudah itu,” jawabnya penuh makna. Sesungguhnya perceraian adalah sesuatu yang dibenci Allah SWT, meskipun dihalalkan kerana perceraian boleh mendatangkan kemudaratan yang besar kepada pasangan suami isteri dan anak-anak.

Tambahan pula, perceraian sering menjadi salah satu punca utama dalam masalah sosial dan keruntuhan akhlak masyarakat.

Oleh itu, sangat penting bagi individu untuk memahami dan memikul tanggungjawab dalam menjaga kestabilan keluarga serta mengelakkan perceraian sebaik mungkin.

Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Perkara yang paling dimurkai Allah adalah talak,” (Riwayat Abu Daud (2178).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN