Tom dan Jerry, penyu kecil suka meneroka

Tom dan Jerry, penyu kecil suka meneroka

NURUL Atikah Mohd. Azlan bersama Tom dan Jerry kesayangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gela­gat kedua-dua penyu saiz kecil ini seakan-akan bergaduh setiap kali ada berdekatan.

Namun, menurut pemiliknya, Nurul Atikah Mohd. Azlan haiwan itu nampak sahaja seakan-akan berkelahi namun mereka sebenarnya tidak pernah bergaduh dan hanya bermain.

Disebabkan itu, timbul idea untuk menamakan kedua-dua haiwan kesayangannya itu dengan nama watak kartun yang terkenal ketika zaman kanak-kanaknya iaitu Tom dan Jerry.

Tidak seperti kucing dan anjing, pemeliharaan haiwan eksotik, spesies penyu kecil atau nama saintifiknya sternotherus odoratus,mempunyai daya tarikan tersendiri dengan gelagat yang mencuit hati.

Gelagat mereka yang aktif dan suka meneroka menjadikan mereka seolah-olah hidup dalam dunia sendiri yang penuh dengan pengembaraan.

Salah satu pengalaman paling mencuit hati ialah ketika penyu-penyu itu dilepaskan di dalam rumah untuk bermain.

Katanya, tidak cukup dengan meneroka bilik kucing, Tom dan Jerry menuju ke dapur dan hampir meloloskan diri ke luar rumah.

Apabila, menyedari kelibat dua ekor kesayangannya itu hilang dari penglihatan, Nurul Atikah menyedari si manjanya itu sudah sampai ke longkang belakang rumah.

Satu lagi insiden yang tidak boleh dilupakan, ialah ketika Jerry cuba menjadi ‘Spiderman’ dengan memanjat jaring plastik di pagar rumah.

Katanya, entah bagaimana, si kecil ini tersangkut dalam keadaan senget, seolah-olah merancang strategi untuk melarikan diri.

Personaliti dan watak Jerry dan Tom tidak sama, termasuk corak cangke­rangnya dan saiz badan kedua-dua penyu tersebut.

“Saya nampak Jerry selalu memanjat dan duduk di atas badan Tom. Memandangkan badan Tom lebih besar daripada dirinya yang agak sedikit kecil, Tom hanya membiarkan Jerry untuk berbuat demikian,” katanya kepada Seri.

Walaupun gelagat dan tingkah laku Jerry menghiburkan hati beliau, namun disebabkan risau dengan Tom yang selalu ditindih, Atikah pernah berhasrat untuk mengasingkan sangkar bagi kedua-dua penyunya itu.

Namun, hasratnya itu tidak menjadi kenyataan, kerana sedar kedua-dua penyu itu memerlukan teman untuk bermain.

PENJAGAAN MUDAH

Wanita berusia 24 tahun ini mula berminat untuk membela penyu kerana berhasrat membuat mini zoo di rumah.

Nurul Atikah mula mengumpulkan beberapa jenis haiwan peliharaan, termasuk dua ekor penyu kecil untuk mencapai impiannya itu.

Cara penjagaan Tom dan Jerry bukanlah tugas yang sukar memandangkan kedua-duanya tidak mempunyai banyak kerenah.

“Kedua-dua hanya memerlukan makanan yang mencukupi dan sangkar yang bersesuaian untuk diisikan sedikit air,” katanya.

Daripada segi pemakanan pula, Nurul Atikah cukup teliti dalam memastikan Tom dan Jerry hanya diberi makanan berkualiti.

“Diet pemakanan bagi Tom dan Jerry bukan biasa-biasa. Saya akan memberikan pelet khas untuk kesihatan yang optimum dan hidangan segar seperti salad.

“Bagi jumlah kos penjagaan pula tidak memakan belanja yang tinggi, hanya sekitar RM30 ke bawah sebulan,” katanya.

Menurut Atikah, Tom dan Jerry mungkin bukan jenis yang suka bermanja seperti kucing, namun mereka tetap membenarkan diri untuk disentuh, dicium dan dipegang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×