Meja makan antik berusia 30 tahun penyeri ruang

Meja makan antik berusia 30 tahun penyeri ruang

Barangan antik pada rekaan gaya rumah ladang moden beri sentuhan kelainan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Genap seminggu berpuasa hari ini. Pasti ramai yang sudah mula memikirkan idea hiasan rumah untuk Aidilfitri yang bakal menjelang.

Minggu ini, Seri kongsikan hiasan dalaman yang sedikit lain daripada yang lain.

Kediaman milik Syarifah Aziza Kamalia Syed Faruk dan suami, Mohamad Iqmal Mohamad Mashud ini mengetengahkan hiasan rumah ladang moden yang dipadankan dengan perabot-perabot antik.

Antara yang menarik perhatian adalah meja makan berusia 30 tahun yang merupakan warisan turun-temurun daripada keluarga suaminya.

“Kebanyakan perabot adalah barang antik, contohnya meja makan dari arwah nenek suami yang berusia lebih 30 tahun.

“Selain itu, saya dan ayah sangat gemar ke kedai perabot antik dan mencari perabot-perabot yang menarik dan mempunyai karakter. Itu telah menjadi aktiviti yang sangat saya nanti-nantikan setiap kali ada peluang bersama ayah. Barangan antik membawa cerita dan karakter masing-masing.

“Kebanyakan perabot antik yang dibeli akan diberi nafas baharu. Sekarang saya sedang membaik pulih dan mencantikkan sepasang meja tepi katil kayu jati yang dibeli di dalam talian dengan harga cuma RM350,” katanya.

Keseimbangan moden, klasik

Mengulas mengenai konsep rumah ladang yang diketengahkan, katanya, gaya itu mencipta keseimbangan antara klasik dan moden yang membangkitkan suasana tenang dan damai di dalam rumah.

Konsep itu memberi penekanan pada sentuhan moden yang bersih untuk memberi ilusi ruang yang luas.

“Rumah saya rumah tengah dan agak kecil maka dengan warna-warna yang cerah sangat membantu memberi rasa luas. Saya banyak menggunakan pilihan warna putih yang ada sedikit tona kuning dan kelabu yang hangat.

“Saya juga mementingkan gaya yang praktikal untuk memudahkan pengurusan dan senang kemas rumah.

“Nama rumah pula adalah sempena anak syurga yang ketiga yang telah pulang ke rahmatullah terlebih dahulu dari kami, dengan harapan kami sentiasa merasa kehadiran Tasneem Nura Syifa di teratak kami ini,” katanya yang menggunakan nama @beittasneem di laman Instagram.

Selain itu, dia juga bijak bermain dengan material semula jadi untuk menyelitkan elemen klasik ke dalam ruangan.

Elemen kayu daripada pelbagai tona dapat dilihat pada beberapa sudut seperti kayu rona coklat terang, oak serta walnut gelap.

Kepelbagaian ini secara tidak langsung menyuntik gaya organik dalam rekaan ini dan memberi ilusi lebih alami.

Begitupun, katanya, disebabkan penggunaan rona-rona cerah, penjagaan rapi diperlukan kerana mudah kelihatan comot.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN