‘Tahanan Palestin tidak dilayan seperti manusia’

‘Tahanan Palestin tidak dilayan seperti manusia’

KHALIDA disambut oleh orang ramai selepas dibebaskan dari penjara Israel pada awal pagi 20 Januari, di Pekan Beitunia di Tebing Barat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PIHAK berkuasa Israel tidak pernah menganggap dan melayan tahanan Palestin seperti manusia.’

Itulah pengalaman pahit yang dikongsi ahli politik dan aktivis Palestin, Khalida Jarrar selepas dibebaskan bersama 90 tahanan lain di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza, 20 Januari lalu.

Wajah terbaharu Khalida sejurus tiba di Ramallah mengejutkan ahli keluarga serta orang ramai kerana terlihat sangat cengkung dan pucat dengan ekspresi yang kebingungan.

Bahkan, Khalida, 62, juga kelihatan lebih berusia, dengan hampir keseluruhan rambutnya berubah putih selepas ditahan di bawah penahanan pentadbiran pada Disember 2023.

“Ia adalah kali pertama saya bercakap dengan seorang manusia selepas enam bulan diasingkan di dalam sel,” katanya kepada AFP, sehari selepas dibebaskan.

Penahanan pentadbiran ialah dasar yang membenarkan pihak berkuasa Israel menahan individu tanpa sebarang pendakwaan atau perbicaraan.

Beliau menggambarkan keadaan di penjara Israel sebagai yang paling teruk dan sukar sejak penjajahan Tebing Barat pada 1967.

Pemimpin Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP) itu berkata, keadaan penjara Israel tidak pernah seburuk sekarang, sama ada serangan berulang atau penggunaan gas pemedih mata yang berterusan.

DASAR PENGASINGAN

Menceritakan pengalaman dalam penjara Israel, Khalida berkata, tahanan Palestin diberikan makanan yang berkualiti rendah dengan kuantiti tidak mencukupi, selain pelaksanaan dasar pengasingan oleh pihak berkuasa rejim.

“Saya juga menghabiskan enam bulan dalam sel pengasingan. Ramai rakyat Palestin ditahan dalam sel tersebut dengan keadaan yang sangat tragis.

“Kami berdepan kekejaman yang melampau dan serangan fizikal dalam percubaan yang disengajakan serta berniat jahat untuk menghina dan merendahkan maruah kami,” katanya dalam temu bual bersama agensi berita Anadolu.

Katanya, isu tahanan adalah sebahagian penting daripada perjuangan rakyat Palestin, selain menggesa supaya dasar Israel terhadap tahanan ditentang secara menyeluruh di peringkat nasional.

Semasa rundingan gencatan senjata, pejuang Hamas menegaskan pembebasan Khalida dalam sebarang perjanjian pertukaran tahanan adalah kerana perjuangan bertahun-tahun pemimpin berhaluan kiri itu menentang penjajahan Israel.

Menurut kumpulan hal ehwal banduan, beliau berulang kali dianiaya oleh pengawal penjara yang mengancam kesejahteraannya.

SEMANGAT TIDAK LUNTUR

Dilahirkan pada 9 Februari 1963 di bandar Nablus, Tebing Barat, ibu kepada dua anak itu memiliki ijazah sarjana dalam bidang sains politik di Universiti Birzeit, utara Ramallah.

Khalida berkhidmat sebagai Pengarah Persatuan Sokongan Tahanan dan Hak Asasi Manusia Addameer dari 1994 hingga 2006.

Beliau juga pernah dipilih sebagai ahli Majlis Perundangan Palestin dalam pilihan raya parlimen terakhir yang diadakan pada tahun 2006.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau menjadi ketua Suruhanjaya Tahanan dewan tersebut dan juga dilantik ke Jawatankuasa Kebangsaan Palestin untuk tindakan susulan dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Khalida, pernah beberapa kali menjalani hukuman penjara antara 2018 dan 2019, atas pertuduhan mengancam keselamatan negara.

Khalida dan suaminya, Ghassan Jarrar, menghabiskan bertahun-tahun hidup mereka di penjara Israel di bawah dasar penahanan pentadbiran tidak adil Israel.

Beliau juga pernah menjalani hukuman penjara selama dua tahun antara 2019 dan 2021, yang menyebabkan terlepas detik-detik terakhir bersama anak perempuannya, Suha, yang meninggal dunia secara mengejut pada usia 31 tahun.

Menurut sumber tempatan, beliau aktif memperjuangkan hak Palestin melawan penjajahan Israel sejak akhir 1980-an.

Walaupun berdepan penangkapan berulang kali dan sekatan oleh Israel, pendirian dan semangat beliau tidak luntur.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×