Apabila menyebut tentang haiwan peliharaan eksotik, kebanyakan mungkin membayangkan landak mini, cicak gurun atau iguana.
Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, call duck semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta haiwan eksotik kerana keunikan saiznya dan keletah yang menghiburkan.
Dahulu, itik ini dibiakkan sebagai itik pemanggil untuk menarik itik liar ke kawasan pemburu.
Namun, call duck kini lebih dikenali sebagai haiwan peliharaan eksotik yang comel dan mudah dijaga.
Berasal dari Belanda, call duck merupakan salah satu baka itik terkecil di dunia, dengan berat purata hanya sekitar 500 hingga 800 gram.
Saiznya yang kecil dan sifatnya yang jinak berjaya memikat hati Affizalina Mohd Sufian, 38, menjadikannya sebagai peneman di rumah.
Menurut Affizalina, si manja yang diberi nama Merlin Blanko ditemui di Pulau Pinang sekitar tahun lalu.
“Saya menemui Merlin Blanko pada tahun lalu di Pulau Pinang dan memutuskan untuk menjadikannya sebahagian daripada hidup saya.
“Kehadirannya bukan sahaja menceriakan suasana, tetapi memberi pengalaman unik dalam menjaga spesies itik yang cukup istimewa ini,” katanya kepada Seri.

MANJA
Kongsi Affizalina, Merlin Blanko memiliki personaliti yang sangat istimewa, dipenuhi dengan kasih sayang dan sentiasa mempamerkan keletah mencuit hati.
Itiknya yang kini berusia lapan bulan, sering kali menunjukkan sisi manja dan kecerdikannya.
“Sebagai haiwan yang penuh rasa ingin tahu, Merlin Blanko tidak pernah lepas daripada mengikuti saya ke mana sahaja saya pergi.
“Malah, dia juga menjadi teman setia ketika saya sibuk menyelesaikan kerja-kerja harian. Merlin Blanko juga akan tidur di samping saya, seolah-olah mahu sentiasa berada dekat dengan tuannya,” ujarnya.
Menurut Affizalina, nama Merlin Blanko yang diberikan kepada si manja ini bukanlah sekadar nama biasa tetapi penuh makna istimewa.
“Merlin merujuk kepada keajaiban dan misteri, sesuai dengan kehadiran Merlin yang membawa kegembiraan dalam kehidupan saya.
“Sementara Blanko memberi maksud putih, menggambarkan bulunya yang bersih dan putih berseri,” katanya.
DIET SEIMBANG
Sama seperti haiwan peliharaan lain, Merlin Blanko memerlukan diet yang seimbang untuk kesihatan.
Setiap hari, Affizalina memberi makanan berkhasiat, termasuk pelet khas untuk itik, sayur-sayuran segar serta bijirin sebagai snek tambahan.
“Kesihatan Merlin adalah keutamaan saya dan saya sentiasa memastikan dia mendapat semua yang diperlukan,” katanya.
Itik memerlukan sumber air yang mencukupi untuk proses penghadaman selain untuk menjaga kebersihan paruhnya.
Affizalina berkata, walaupun keperluan ruang bermain adalah penting, Merlin Blanko tidak memerlukan ruang yang besar berbanding baka itik lain.
“Sebagai itik call duck, saiznya yang kecil menjadikannya lebih mudah dipelihara dalam persekitaran rumah.
“Hanya dengan kolam kecil atau bekas air sederhana, Merlin Blanko dapat berenang dan membersihkan bulunya,” ujarnya.-UTUSAN










