Bunga Teratai kering penambah seri ruangan

Bunga Teratai kering penambah seri ruangan

Dekorasi bunga teratai kering membangkitkan suasana elegan pada ruang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dekorasi bunga kering sering menjadi pilihan penggemar dekorasi yang mahukan suasana estetik dan lebih rustik.

Berbanding bunga hidup, bunga kering lebih mudah dijaga dan kehadirannya pada sudut ruangan juga mampu membangkitkan suasana yang lebih hangat.

Minggu ini, Seri kongsikan satu lagi dekorasi bunga kering yang memiliki hasil seni menarik.

Hiasan yang dihasilkan oleh APA ART ini diperbuat daripada bunga teratai yang telah dikeringkan.

Pengasas, Fauzi Abd. Majid berkata, rekaan yang diberi nama Stailotus Flower itu menggunakan buah teratai yang masih hijau dan kemudiannya direndamkan ke dalam air.

Proses itu bertujuan untuk menyerap air ke dalam bunga supaya biji teratai senang dikeluarkan tanpa perlu merosakkan bentuk asal bunga tersebut.

“Setelah itu, teratai perlu dikeringkan dengan cara terbalikkan tangkai ke atas dan buahnya ke arah bawah.

“Proses pengeringan ini perlu dilakukan jauh daripada sinaran cahaya matahari iaitu sebaiknya dalam suhu bilik selama dua minggu sebelum digunakan untuk dekorasi,” katanya.

TAHAN LAMA

Menariknya, dengan harga bermula RM5 sehingga RM8 setangkai bergantung kepada saiz dan tinggi, bunga ini mampu bertahan 10 hingga 15 tahun lamanya sebagai dekorasi kediaman.

Kata Fauzi, pilihan warna seperti emas, perak dan sedikit ungu sesuai untuk individu yang gemarkan konsep mewah pada penataan ruang.

Begitupun, di sebalik rona itu, paling penting adalah kehadiran bunga kering pada hiasan dalaman membangkitkan suasana semula jadi dalam kediaman.

“Dekorasi yang menerapkan pemilihan material bunga kering memberi maksud kita dan alam sememangnya bersatu dalam kehidupan.

“Selain itu, rekaan kami ini berkonsep santai dan elegan. Cukup dengan mencampurkan satu dua warna bunga sudah mampu menghidupkan suasana elegan dan segar di rumah,” jelasnya.

Mengenai penjagaan, katanya, bunga hanya perlu dilap sahaja bagi mengelakkan habuk berkumpul.

Malah, kaedah penjagaan bunga kering yang betul adalah dengan tidak menggunakan air secara terus kepada bunga.

“Cara menjaga atau merawat bunga yang diperbuat daripada bahan semula jadi adalah elakkan basuh menggunakan air sebaliknya sapu permukaan atas menggunakan berus atau kain basah sahaja,” jelasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN