Tujuh tahun jadi ‘emak’ kepada suami

Tujuh tahun jadi ‘emak’ kepada suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkahwinan bukanlah sekadar dua insan yang disatukan untuk berkongsi kasih sayang, tetapi ia adalah perjalanan di mana kedua-dua pasangan saling memberi sokongan dan kerjasama.

Dalam rumah tangga, suami dan isteri perlu memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Tugas dan tanggungjawab dalam rumah tangga bukan soal siapa yang lebih banyak berkorban, tetapi bagaimana kedua-dua pihak saling menyokong dan melengkapi.

Minggu ini saya kongsikan pengalaman Jamila (bukan nama sebenar), seorang isteri yang menjadi ‘emak’ kepada suami sendiri selama tujuh tahun.

Wanita berusia 35 tahun yang pada awalnya ikhlas menguruskan segala-gala untuk suami, akhirnya belajar untuk melepaskan peranan itu demi kebaikan rumah tangga yang dibina.

“Kerana terlalu taksub mahu menjadi isteri sempurna, tanpa disedari saya telah mengambil alih peranan suami dalam rumah tangga.

“Tujuh tahun bukan tempoh singkat. Ketika itu saya sangat menyayangi suami dan sanggup buat apa sahaja untuk memastikannya bahagia dan selesa,” ujarnya dalam pertemuan baru-baru ini.

Disebabkan sebelum berkahwin dimanjakan keluarga terutama ibu, suami terus berasa selesa dan lepas tangan.

Jamila mengakui dia tidak berniat untuk membuka aib mahupun mengungkit kelemahan mana-mana pihak, tetapi lebih kepada perkongsian dan peringatan untuk diri sendiri serta suami isteri di luar.

“Setiap pasangan inginkan rumah tangga bahagia, tetapi realitinya hubungan itu mempunyai cabaran tersendiri,’’ ujar Jamila.

Menyingkap awal perkahwinan, katanya, pernikahan dengan suami, Anuar (bukan nama sebenar) atas dasar suka sama suka.

Namun, selepas berkahwin, didapati suaminya tidak begitu matang menjalani kehidupan berumahtangga.

Ini kerana sejak kecil segala keperluan suami diuruskan oleh ibu dan dua kakaknya.

Selepas berkahwin, suami membawa sifat itu ke dalam rumah tangga, mengharapkan Jamila menggantikan peranan ibunya.

Kebergantungan Anuar kepada Jamila daripada perkara kecil seperti menyiapkan pakaian ke tempat kerja hinggalah kepada pengurusan kewangan dan anak-anak.

“Pada awalnya, saya tidak kisah, walaupun keletihan, saya memujuk diri.

“Saya anggap diri sudah menjadi isteri sempurna kepada suami. Saya melayan dan memanjakan suami seperti anak kecil,” katanya.

Biarpun terikat dengan pekerjaan di bank, tetapi dia tetap memastikan rumah tangga diurus dengan baik.

“Setiap pagi saya bangun awal menguruskan suami untuk ke tempat kerja dan anak-anak ke sekolah. Menyiapkan sarapan dan pakaian mereka.

“Sejujurnya saya letih, namun cuba menyembunyikannya atas dasar tanggungjawab dan rasa diri mampu melakukan segala-galanya sendirian,” sambungnya.

Menurut Jamila, sepanjang tempoh perkahwinan itu beberapa kali dia jatuh pengsan akibat terlalu kepenatan.

Dalam tempoh itu, tiada apa yang berubah. Anuar masih mengharapkannya melakukan semua kerja rumah walaupun ketika sakit.

“Saya benar-benar kecewa, namun melihat anak-anak yang tidak terurus ketika itu saya gagahkan jua diri,” ujarnya.

Hari memasuki minggu, minggu melangkah bulan dan seterusnya tahun, Jamila berasakan seperti dia bukan isteri tetapi ibu kepada suami sendiri.

Dia yang perlu menguruskan segala-galanya, sedangkan suami hanya mengikut tanpa mengambil tanggungjawab atau pandangan dalam sesuatu perkara.

Keadaan menjadi lebih serius apabila anak ketiga mereka, Aina, (bukan nama sebenar) lahir.

Jamila terpaksa memikul dua peranan, ibu kepada tiga anak dan ‘ibu’ kepada suaminya.

Kesabarannya memuncak apabila pada suatu hari Aina yang ditinggalkan di taska demam panas.

“Saya minta suami agar membawa anak kami ke klinik, namun suami mengelak dan memberi alasan.

“Selepas kejadian itu saya terfikir, jika saya gagal mengubah suami, sayalah yang perlu berubah,’’ katanya.

“Saya mula mempersoalkan diri di mana sebenarnya peranan sebagai isteri. Adakah saya terlalu banyak memberi hingga lupa memberi ruang kepada Anuar untuk menjadi suami,’’ katanya.

Sebulan selepas kejadian itu, rumah tangga mereka diuji lagi.

Syarikat tempat suaminya bekerja gulung tikar akibat masalah kewangan dan Anuar kehilangan pekerjaan tanpa menerima apa-apa pampasan.

“Suami banyak menghabiskan masa di rumah dan alasan itu menguatkan lagi untuknya terus bergantung kepada saya.

“Namun dalam masa sama saya masih berusaha menenang dan memujuk suami,” ujarnya.

Episod suami kehilangan pekerjaan bukan satu penamat tetapi ada hikmah di sebaliknya.

Kejadian itu memberi suaminya peluang untuk melihat hidup dari perspektif yang berbeza.

“Suami mula menghargai saya dan lebih fokus kepada tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

“Alhamdulilah, selepas dua bulan mengganggur suami akhirnya mendapat tawaran bekerja. Sepanjang tempoh itu kami cuba memperbaiki diri masing-masing.

“Saya sedar, saya perlu kembali menjadi isteri. Suami pula perlu memikul semula tanggungjawab dan peranan sebagai suami dan ketua keluarga,” ujarnya.

Setelah berbincang, masing-masing sedar yang perkahwinan bukanlah hubungan di mana satu pihak menguruskan segala-galanya dan seorang lagi menerima manfaat.

Hubungan mereka semakin baik dan seimbang.

Anuar semakin rasa dirinya dihargai sebagai seorang suami, begitu juga sebaliknya.

Kisah Jamila dan Anuar minggu ini membuktikan kasih sayang dan kesabaran seorang isteri boleh menjadi pencetus kepada perubahan dalam kehidupan suami.

Sesungguhnya dalam Islam, baik suami atau isteri memiliki tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Sebagaimana dijelaskan dalam hadis dari Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda : “..Seorang isteri bertanggungjawab terhadap rumah suaminya. Ia akan ditanya (di akhirat) tentang semua itu..’’ (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×