SETIAP kali dibawa keluar, keletah dua sahabat ini sentiasa menarik perhatian ramai.
Ia disebabkan sifat jinak, manja dan mudah mesranya dengan orang di sekeliling.
Nur Syafiqah Mohamed Yazid, 27, berkata, dua sahabat itu merupakan sugar glider peliharaannya.
Katanya, Laura dan Layra yang kini berusia empat tahun mula dijaga sejak 2021.
Walaupun memiliki tujuh lagi haiwan peliharaan sama, namun dua sahabat itu yang paling bijak mengambil hatinya.
Malah, kedua-duanya mempunyai sifat sama iaitu duduk terlentang apabila di dalam buaian kanvas.
“Bila tiba waktu makan, Layra dan Laura yang paling awal datang kerana sangat peka terhadap bunyi plastik dan dalam sekelip mata sudah berkumpul di depan pintu sangkar.
“Kegemaran lain dua sahabat ini ialah suka berhimpit dalam mainan cawan yang kecil,” katanya.

Sugar glider atau nama saintifiknya, Petaurus breviceps, adalah haiwan eksotik yang berasal dari Australia dan berkebolehan meluncur dari satu tempat ke tempat lain.
Katanya, tujuh lagi sugar glider miliknya ialah Levi, Leni, Loki, Lala, Leah, Layla dan Lola.
Kesemua haiwan itu diberikan nama pangkal sama yang bermula huruf L.
DIET
Nur Syafiqah sangat menitik beratkan soal pemakanan si manjanya dengan memberikan pelbagai buah dan sayur-sayuran segar selain sumber protein yang berkualiti.
Ia penting bagi memastikan haiwan itu kekal sihat dan aktif.
“Diet sugar glider perlu mengandungi pelbagai jenis buah dan sayur seperti betik, pak choi, mangga, epal, jambu air, dan lain-lain.
“Untuk sumber protein, saya menyediakan ayam serta telur rebus dan hancur tanpa perisa,” katanya.
Setiap sajian perlu diseimbangkan dengan kadar kalsium dan fosforus tepat, dengan nisbah 1.5 Ca : 1 Ph atau 2 Ca : 1 Ph.
Selain itu, dia turut menyediakan minuman quinoa yang dikisar atau campuran multivitamin dan mineral untuk keperluan sugar glider.
Untuk sarapan pagi, haiwan itu dibekalkan dengan makanan ringan seperti high protein wombaroo (HPW) atau suplemen lain yang diperlukan.
RISIKO PENYAKIT
Mengulas lanjut, Nur Syafiqah berkata, sugar glider berisiko mendapat serangan penyakit terutama di bahagian mulut.
Justeru, dia sentiasa memeriksa gigi dan gusi haiwan peliharaannya itu.
“Jika tidak dirawat, masalah ini boleh menyebabkan sugar glider hilang selera makan, lemah dan akhirnya mati.
“Selain itu, penyakit lain seperti sawan, metabolic bone disease (MBD), katarak dan masalah saraf juga sering menyerang sugar glider,” ujarnya.
Penjagaan yang betul dengan pemakanan seimbang dan pemeriksaan berkala dapat mengurangkan risiko penyakit, memastikan sugar glider kekal sihat dan ceria.










