Tinggal tiga hari sahaja lagi sebelum 2024 melabuhkan tirainya.
Sepanjang tahun ini, lebih 60 gaya kediaman dan dekorasi dalaman telah Seri sajikan kepada pembaca.
Jika diimbas semula, dekorasi pada tahun ini kebanyakan menggunakan elemen gabungan daripada gaya yang berbeza untuk mencipta kelainan.
Antaranya gaya Japandi iaitu gabungan gaya Japan dan Scandinavian yang mengetengahkan elemen kesederhanaan, semula jadi dan keselesaan.
Selain itu, konsep retro dan klasik yang diberi sentuhan moden turut menjadi trend pada tahun ini. Bagaimana pula tahun hadapan?
Pakar Hiasan Dalaman, Mohd. Adil Hakim Mohamad Jamal berkata, ramalan dekorasi tahun hadapan akan mula menjurus kepada trend rumah pintar sementelah penggunaan meluas teknologi AI pada tahun ini.
“Antaranya ialah teknologi tersembunyi seperti menggabungkan peranti rumah pintar dengan cara yang membolehkan ia menyatu dengan dekorasi tanpa mengganggu.
“Trend rumah pintar akan terbahagi kepada dua iaitu trend moden dan futuristik.
“Trend moden akan menekan gaya minimalis yang bukan sahaja boleh mewujudkan ruang yang cantik dan teratur, tetapi juga rumah yang lebih tenang dan bebas daripada rasa tertekan,” katanya.
Tambahnya, trend futuristik bukan sesuatu yang baharu kerana ia sudah pun popular dalam kalangan negara-negara yang meletakkan teknologi sebagai asas kehidupan.
“Daripada pembantu suara yang diaktifkan dan pencahayaan pintar hingga kawalan iklim automatik dan sistem keselamatan, teknologi meningkatkan kemudahan dan kecekapan dalam rumah kita.
“Pada tahun 2025, saya jangkakan lebih banyak rumah dilengkapi dengan sistem pintar bersepadu yang boleh dikawal melalui telefon pintar atau arahan suara,” katanya.

RONA TENANG, SEMULA JADI
Bagi pemilihan warna pula, kata Mohd. Adil yang juga Pengasas Donz Cabinet & Carpentry, trend berkenaan akan menggunakan warna-warna neutral.
“Warna tetap ada, tetapi lebih kepada warna-warna yang tenang dan semula jadi, seperti sage dan terracotta yang hangat.
“Ia mencipta suasana yang penuh emosi tanpa terlalu mendominasi ruang dan tidak berlebihan. Menjadi kewajipan untuk mencipta ruang yang selesa dan memberi rasa kestabilan,”jelasnya.
Selain itu, warna palet rendah atau warna pudar digabungkan dengan tekstur seperti wool dan linen mencipta ruang penuh dimensi.

Malah, syarikat pembuatannya juga kini lebih cenderung untuk menghasilkan produk dan reka bentuk kabinet yang lebih minimalis.
“Jangan salah anggap kepada rekaan ini,walaupun ia minimalis namun tetap memberi impak yang besar kepada sesuatu ruang kerana rekaan minimalis cenderung kepada bentuk-bentuk lengkung dan berfungsi penuh untuk ruang.
“Setiap sudut dan ruang dimaksimumkan penggunaan dalam skala sederhana menjadi ruang lebih efisien dan tidak terlalu padat dan tegang.
“Contohnya penggunaan katil tatami yang dilengkapi laci di bawah,kedudukan meja bertutup di dalam almari dan penggunaan aksesori yang memenuhi ruang-ruang asing bagi membantu memaksimum ruangan. Maklumat lanjut boleh lawati @donz_cabinet,” katanya.- UTUSAN










