Sebak lihat bayi dirogol, kanak-kanak dianiaya

Sebak lihat bayi dirogol, kanak-kanak dianiaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah lama saya berhasrat ingin bertentang mata dengan wirawati Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini.

Bagi saya, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan adalah sosok wanita hebat yang lantang memperjuangkan keselamatan membabitkan wanita dan kanak-kanak di negara ini.

Wajahnya sering terpampang di media menerusi pendedahan dan trend jenayah terkini membabitkan golongan itu.

Usahanya itu tidak pernah sekali pun terhenti sejak mula berkhidmat di unit D11, lapan tahun lalu.

Peluang bersua muka baru-baru ini memberi peluang kepada saya untuk memahami tugas dan tanggungjawabnya dengan lebih mendalam.

Sebagai seorang wanita dan ibu, hatinya sering tersentuh melihat kekejaman dan perilaku tidak berperikemanusiaan yang dilakukan terhadap anak kecil.

Melihat bayi berusia empat bulan dirogol dan kanak-kanak diperlakukan secara seksual oleh keluarga sendiri meremukkan hatinya sekali gus membakar semangat untuk memperjuangkan keadilan.

“Semasa ditugaskan untuk menyiasat kes berkaitan seksual, saya mengendalikan kes bayi berusia empat bulan yang dirogol oleh ahli keluarga pengasuhnya.

“Bayi tersebut mengalami luka serius di dubur dan menangis siang malam, hanya diam ketika tidur sahaja.

“Bila lihat luka itu, hati saya tersentuh membayangkan bayi sekecil itu terpaksa menanggung kesakitan yang teramat,” katanya berkhidmat selama 33 tahun bersama PDRM.

Bukan itu sahaja, program kesedaran mengenai jenayah seksual yang dilakukan di sekolah-sekolah juga pernah menemukannya dengan kanak-kanak teraniaya.

Kanak-kanak itu cuba mencederakan diri dan menggigil menahan perasaan ketika Siti Kamsiah memberi pendedahan mengenai bentuk gangguan seksual.

“Saya nampak remaja ini mencucuk-cucuk tangannya dengan pen seolah-olah menahan perasaan.

“Selepas didekati, dia menangis selama 15 minit. Rupa-rupanya ketika mendengar taklimat itu, dia baru tahu yang dirinya diganggu secara seksual oleh bapa saudara.

“Remaja itu berusia 14 tahun ketika itu. Dia teringat segala perbuatan bapa saudaranya dan bercakap terketar-ketar sambil menahan perasaan ketika itu,” katanya.

Trend jenayah berubah
Kata Siti Kamsiah, jenayah pengantunan kanak-kanak di media sosial semakin mencatatkan peningkatan.

Kes pengantunan kanak-kanak sehingga membawa kepada rogol dan mengandung luar nikah banyak terjadi dalam kalangan anak gadis berusia 13 hingga 15 tahun.

Dalam dunia globalisasi dengan capaian internet semakin meluas, mengubah gaya hidup anak muda yang semakin terdedah dengan kehidupan sosial alam maya.

Sekali gus, menyebabkan mereka mudah menjadi sasaran penjenayah.“Kecanggihan teknologi ketika ini membolehkan ramai orang berkomunikasi hanya melalui aplikasi sembang atau media sosial sahaja.

“Bila terdedah kepada media sosial, mereka mudah dimanipulasi oleh pemangsa kerana naif dan tidak matang.

“Lagi pula, dalam usia belasan tahun ini adalah peralihan hidup mereka daripada kanak-kanak kepada gadis, jadi mereka ada naluri untuk berpasangan dan sebagainya.

“Jadi, di situ saya lihat trend jenayah ini semakin berubah dan berevolusi seiring dengan peredaran masa,” katanya.

 

 

Ramai mangsa tidak sedar
Kes melibatkan jenayah seksual kanak-kanak kadangkala sukar untuk diselesaikan kerana mangsa tidak tahu mereka dieksploitasi.

“Dalam kebanyakan kes, kadang-kadang mereka pun tidak faham dan tahu perkara itu salah.

“Hendak dapatkan keterangan mangsa pun agak sukar sebab mereka tidak memahami situasi menjadi mangsa jenayah. Kadangkala, kes dilaporkan terlalu lambat sampai mangsa pun sudah tidak mengingati kejadian dan tidak dapat beri keterangan,” jelasnya.

Tambahnya, antara faktor yang menyebabkan sesuatu kes sama ada jenayah seksual kanak-kanak atau wanita sukar diselesaikan adalah kerana kurang kerjasama daripada keluarga.

Terutamanya kes jenayah melibatkan ahli keluarga kerana mahu menutup aib.

Selain itu, sikap masyarakat yang masih mengamalkan konsep menyalahkan mangsa menyebabkan mangsa takut untuk tampil ke hadapan untuk membuat laporan.

“Akibatnya, mangsa teragak-agak untuk membuat laporan hingga segelintirnya mengalami trauma dan kesukaran untuk bercerita,” jelasnya.

Selain menjalankan siasatan, risikan dan operasi mengenai kejadian jenayah, memberi kesedaran turut menjadi fokus utama unit D11 sebagai salah satu langkah pencegahan.

Sebab itu, beliau sering menekankan mengenai pendedahan dan memberi pendidikan mengenai jenayah seksual terutama kanak-kanak dan remaja kerana ramai yang tidak sedar mereka sebenarnya adalah mangsa jenayah seksual.

Keganasan rumah tangga
Selain itu, Bahagian D11 juga bertanggungjawab mengendalikan kes-kes keganasan rumah tangga.

Bercerita mengenai pengalaman dalam pengendalian kes keganasan rumah tangga, katanya masalah itu masih lagi sukar dibendung walaupun kempen kesedaran giat dijalankan bersama pelbagai agensi.

“Kebanyakan isteri tidak yakin untuk keluar dari belenggu masalah mereka kerana merasakan kelangsungan hidup terjejas jika suspek iaitu suami ditangkap dan diambil tindakan undang-undang.

“Mereka sanggup memilih hidup dalam hubungan toksik. Kes-kes melibatkan isteri yang didera bertahun-tahun sehingga dibunuh dan anak-anak kecil yang dirogol, didera sehingga meninggal dan mayat dilupuskan dalam keadaan yang tragis meruntun hati saya,” katanya.

 

Bawa perubahan
Di sebalik cabaran yang dihadapi, wanita ini mengakui tetap gembira dengan kerjayanya yang dekat dengan masyarakat.

Malah, kerjayanya itu turut memberi peluang buatnya untuk menyalurkan dapatan kepada pembuat dasar bagi menambah baik undang-undang atau tadbir urus dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan wanita.

“Mengenai keselamatan dalam talian, kita pernah memberi dapatan kepada pembuat dasar yang media sosial ini perlu dikaji untuk keselamatan kanak-kanak.

“Kita cadangkan kena ada satu undang-undang yang lebih baik dan menyeluruh supaya platform ini tidak memberi kesan kepada kanak-kanak. Jadi, melalui siasatan itu kita bentangkan kepada pembuat dasar untuk mengubah akta atau tambah baik polisi sedia ada supaya ia lebih relevan ketika ini,” kongsinya.

Sepanjang bersama D11, wanita ini sudah membawa banyak perubahan terutama dari segi siasatan, risikan, pencegahan dan tadbir urus yang bermatlamatkan mutu perkhidmatan yang lebih berkualiti dan terbaik kepada masyarakat.

“Sebagai Ketua yang memimpin Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, dan Kanak-Kanak dalam Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, misi dan visi saya adalah untuk memastikan keselamatan, perlindungan, dan keadilan kepada mangsa-mangsa jenayah seksual, wanita, dan kanak-kanak di Malaysia,” katanya.

Kekal cergas
Ibu kepada lima cahaya mata ini masih kekal cergas dan menawan di usia 55 tahun.

Kulit wajahnya putih bersih dan tampak berseri walaupun mengenakan solekan tipis.

Rahsianya, surihati kepada Zulkifli Hashim ini sentiasa menjaga kesihatan melalui pengambilan makanan tambahan dan mendapatkan rehat mencukupi.

“Walaupun kadang-kadang kerja banyak dan kurang rehat tetapi saya akan cari masa untuk rehatkan minda dan terapi diri.

“Macam saya, terapinya adalah dengan melancong bersama kawan-kawan setiap tahun jika tiada halangan kerja.

“Malah, saya sentiasa melatih diri berfikiran positif dan fokus dalam mencari penyelesaian ketika berdepan kesukaran berbanding memikirkan masalah.

“Di samping itu, saya amalkan bersangka baik dan bersyukur kerana ia adalah kunci ketenangan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×