Kediaman jenis banglo setingkat ini mempunyai karakter tersendiri dengan mengangkat konsep dan gaya peralihan.
Keseluruhan ruang menampilkan dekorasi dan susun atur yang menggabungkan elemen moden dan tradisional dengan harmoni.
Rekaan terbuka juga membolehkan cahaya semula jadi masuk ke dalam setiap ruang sekali gus membangkitkan lagi suasana hangat dan nyaman.
Pemiliknya, Nusaibah AA bijak bermain dengan elemen moden yang diberikan sedikit sentuhan klasik untuk mencipta karakter unik pada setiap ruang.

Katanya, kombinasi itu mencipta suasana yang seimbang dan sesuai dengan cita rasa dirinya dan keluarga.
“Konsep ini memberi fokus kepada keselesaan dan fungsi, sambil mengekalkan sentuhan klasik yang memberikan suasana yang hangat dan nyaman.
“Konsep ini juga sesuai dengan gaya hidup saya yang mahukan rumah yang praktikal dan penuh karakter,” katanya.
Keseluruhan ruang menampilkan gaya moden namun sedikit sentuhan klasik pada sesetengah dekorasi dan perabot.
“Elemen penting dalam konsep ini termasuk perabot yang tidak terlalu moden dan tradisional.
“Saya menggunakan bahan seperti kayu, kain, logam serta warna neutral yang memberi kesan tenang dan elegan.

“Perkara kecil seperti hiasan dan pencahayaan turut membantu melengkapkan konsep ini. Saya juga banyak menggunakan perabot terpakai yang saya sendiri berikan nafas baharu,” katanya.
Keseluruhan ruang berlatarkan rona neutral seperti putih, beige, hitam dan warna kayu untuk dinding dan perabot.
Warna accent seperti coklat atau hijau digunakan pada hiasan atau tekstil untuk menambah dimensi dan warna pada ruang.
Tambahnya, konsep berkenaan juga malar segar dan tidak lapuk dek zaman.
“Konsep ini juga serba boleh, iaitu ia boleh disesuaikan dengan pelbagai gaya dan selera.
“Selain itu, konsep ini memberikan ruang yang nyaman, tidak terlalu formal, tetapi tetap elegan dan sesuai untuk kehidupan seharian,” jelasnya.











