Cara bantu anak pendiam, kurang keyakinan

Cara bantu anak pendiam, kurang keyakinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN
Anak saya seorang pendiam, tidak yakin diri dan kerap memilih menyendiri apabila berlaku sesuatu yang memalukannya. Bagaimana cara untuk saya membantu anak menjadi gadis yang berkeyakinan diri?
-Ibu gadis malu

JAWAPAN

Berhadapan dengan individu pendiam, kurang keyakinan diri dan suka menyendiri, khususnya apabila berhadapan dengan perkara yang memalukan, boleh menjadi satu cabaran.
Sikap ini mencerminkan ketidakupayaan mereka dalam mengendalikan tekanan emosi.

Situasi ini bukan sekadar menimbulkan rasa tidak selesa kepada diri dan persekitaran malah menimbulkan kebimbangan apabila memikirkan penilaian orang lain terhadap mereka.

Oleh itu, menangani isu ini memerlukan keprihatinan dan usaha yang berterusan agar dapat membantu mereka menjadi lebih yakin dan terbuka untuk berinteraksi dengan persekitaran.

Membangunkan kepercayaan diri: Berikan anak ruang untuk meluahkan perasaan mereka dengan tenang tanpa rasa takut akan dihukum atau dihakimi. Tunjukkan sokongan dengan mendengar dan memahami isi hati mereka.

Memberi dorongan: Bantu mereka membina keyakinan diri dengan menggalakkan mereka memulakan langkah kecil. Hargai dan puji setiap usaha yang dilakukan seperti mencuba sesuatu yang baharu atau berkomunikasi dengan orang lain.

Tawarkan sokongan sosial: Libatkan mereka dalam kumpulan sosial supaya dapat membantu membina keyakinan serta jati diri. Pastikan mereka merasa selesa dengan memberi ruang untuk menyesuaikan diri tanpa tekanan atau paksaan untuk berkongsi secara terburu-buru.

Bantu menerima kelemahan: Jika mereka melakukan kesilapan atau kegagalan semasa mencuba sesuatu, berikan dorongan dan sokongan. Terangkan bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan langkah penting untuk mencapai kejayaan.

Bantu ubah persepsi diri: Bantu mereka mengenali kekuatan dan potensi diri yang ada. Gunakan latihan visualisasi atau kata-kata positif untuk meningkatkan keyakinan diri dan membina sikap yang lebih positif.

Aktiviti membangunkan diri: Galakkan mereka untuk mencuba aktiviti seperti sukan, seni atau sukarelawan yang dapat membantu membina keyakinan diri dan memperkukuh hubungan sosial. Berikan peluang untuk menyumbang kepada masyarakat, supaya mereka merasa dihargai dan lebih berkeyakinan.

Sokongan profesional: Jika langkah-langkah di atas tidak memberi kesan positif, pertimbangkan untuk mengajak mereka berjumpa kaunselor. Bantuan profesional dapat memberi sokongan yang lebih mendalam dan cara yang lebih berkesan untuk mengatasi masalah mereka.

Pendekatan ini memerlukan usaha dan sokongan yang berterusan daripada ibubapa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×