Beberapa tahun kebelakangan ini, landak mini atau hedgehog menjadi pilihan peminat haiwan peliharaan eksotik.
Walaupun bersaiz kecil, haiwan ini penuh dengan keunikan dan daya tarikan yang membezakannya daripada haiwan peliharaan lain seperti kucing atau anjing.
Pemilik landak mini, Aisyah Mardhiah berkata, walaupun kelihatan comel dan unik, pemilikan landak mini memerlukan pengetahuan dan perhatian yang mendalam.
“Ia bukan haiwan peliharaan yang mudah dijaga seperti kucing atau anjing.
“Mereka memerlukan diet pelbagai seperti makanan kucing berkualiti tinggi, buah-buahan dan sayur-sayuran untuk memastikan keseimbangan nutrisi,” katanya kepada Seri.
African Pygmy Hedgehog atau nama saintifiknya Atelerix Albiventris ialah spesies yang paling biasa dipelihara, berasal dari benua Afrika.
Haiwan ini mempunyai duri halus di seluruh badan yang tidak berbahaya seperti duri landak liar.
Salah satu mekanisme pertahanan utamanya adalah kemampuan menggulungkan badan menjadi bola kecil untuk melindungi bahagian lembut seperti muka dan perut.
KEUNIKAN DAN KEPERLUAN LANDAK MINI
Landak mini kesayangan Aisyah yang manja dengan panggilan Ezra ini dipelihara sejak 2017 lagi.
Kata Aisyah, Ezra adalah haiwan aktif pada waktu malam (nocturnal) dan lebih suka hidup seorang diri (soliter).
Haiwan itu juga memerlukan tempat tinggal dan persekitaran yang selesa untuk kekal sihat dan cergas.
“Jadi, bagi mereka yang ingin memiliki landak mini sebagai haiwan peliharaan, penting untuk menyediakan persekitaran yang sesuai dengan sifat semula jadi mereka.
“Sangkar minimum disyorkan untuk seekor landak adalah 576 inci atau 3,700 sentimeter persegi dengan kemudahan seperti roda berputar dan tempat tidur yang gelap dan selesa.
“Pada waktu malam, landak mini akan bangun untuk beraktiviti. Antaranya, berlari di atas roda, makan dan minum,” katanya.

Pemilik juga perlu mengetahui diet khusus untuk landak mini.Landak mini memerlukan makanan yang kaya dengan protein dan lemak yang seimbang, agar haiwan tersebut kekal sihat dan bertenaga.
“Makanan utama mereka adalah pelet kucing atau anjing, dengan tambahan serangga seperti ulat tepung, lipas dubia atau larva lalat askar hitam (BSFL) untuk memastikan mereka mendapatkan protein yang cukup,” katanya.
Beberapa aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam penyediaan makanan si comel ini adalah protein dan lemak.
Protein yang disarankan adalah antara 30 peratus hingga 35 peratus, manakala kandungan lemak ideal berada di antara 10 peratus hingga 18 peratus.
Walaupun kebanyakan orang beranggapan bahawa memberi makanan haiwan peliharaan biasa adalah memadai, namun landak mini perlu diet khusus untuk berkembang sihat.
CABARAN PENJAGAAN LANDAK MINI
Selain itu, Mardhiah juga berdepan dengan pelbagai cabaran yang dalam menjaga haiwan eksotik seperti landak mini ini.
Berkongsikan pengalaman, katanya, sukar untuk menjaga haiwan itu dengan baik sekiranya tidak mengetahui selok-belok keperluannya.
Aisyah perlu sentiasa peka dan teliti dengan keadaan persekitaran dan rutin diet Ezra.
Oleh itu, Aisyah menegaskan, bagi yang berminat dengan untuk menjadikan haiwan eksotik tersebut sebagai haiwan peliharaan perlu tahu mengenai tanggungjawab yang hadir bersama pemilikan haiwan tersebut.
Mengulas lanjut, katanya, salah satu cabaran utama yang sering dihadapi oleh pemilik landak mini di Malaysia adalah kekurangan pemahaman mengenai penjagaan yang betul.
“Sebelum memelihara landak mini, setiap pemilik mesti mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang keperluan spesifik haiwan eksotik tersebut.
“Apabila seseorang memilih untuk memelihara landak mini, mereka bukan hanya membeli haiwan peliharaan, tetapi mereka memilih untuk menjaga kehidupan makhluk hidup yang memerlukan perhatian khusus,” katanya.
Tambahnya, penjagaan yang tidak betul boleh memberi kesan buruk kepada kesejahteraan haiwan tersebut.
Kekurangan pengetahuan boleh menyebabkan berlakunya kesilapan dalam penyediaan sangkar, makanan yang tidak sesuai atau penjagaan yang tidak betul.
Malah, pembiakan tidak bertanggungjawab turut merosakkan genetik haiwan comel itu menyebabkan jangka hayat mereka tidak lama.
“Pembiakan yang tidak bertanggungjawab oleh kedai haiwan peliharaan atau pembiak yang tidak beretika menyebabkan kemunculan banyak anak-anak landak mini dengan genetik yang rosak.
“Akibatnya, banyak landak mini yang hanya hidup selama dua hingga tiga tahun sebelum mereka jatuh sakit atau mati akibat masalah kesihatan seperti kanser atau gangguan pernafasan,” katanya.
Sebagai pencinta haiwan eksotik, Aisyah berharap setiap pemilik menyedari bahawa menjaga makhluk hidup yang memerlukan penjagaan rapi dan persekitaran yang sesuai untuk hidup dengan bahagia dan sihat.










