Lama mata saya tertancap pada rumah kampung yang satu ini.
Binaan dan reka bentuknya menyajikan pemandangan yang cukup estetik dan memukau pandangan.
Banglo seluas 1,300 kaki persegi milik Norazlina Md. Yunus ini tampil menarik dengan rekaan batu-bata merah pada keseluruhan dinding luar rumah.
Menariknya, batu-bata merah itu hanyalah bata merah biasa yang tidak disimen.
Siapa sangka, bata merah yang tidak disimen sebenarnya memiliki nilai estetika yang tinggi terutamanya bagi penggemar kediaman berkonsepkan Inggeris vintaj atau pun rumah ladang.
Kata Norazlina, konsep yang dipilih itu bersesuaian dengan lokasi rumahnya yang terletak di kawasan kampung dan dikelilingi landskap desa dan kehijauan.

“Konsep rumah adalah gabungan konsep Rumah Ladang Bata Merah dan Neutral Bohemian yang mana dinding luar rumah menggunakan batu-bata merah yang tidak disimen.
“Manakala bahagian dalam rumah menerapkan konsep bohemian dan rumah ladang yang lebih neutral serta tampak semula jadi,” katanya kepada Seri.
MALAR SEGAR
Gabungan bata merah dan konsep bohemian yang diketengahkan benar-benar menjadikan rumah itu ‘hidup’ dan berseri.
Ia bagaikan saling melengkapi antara satu sama lain dalam menghidupkan konsep semula jadi yang ingin ditonjolkan oleh pemilik.
Kata Norazlina yang juga Pereka Warna, batu-bata merah yang tidak dicat memberikan sentuhan rustik dan lebih ‘asli’ pada kediaman tersebut.
“Kelebihan konsep ini ialah malar segar dan tidak lapuk dek zaman. Selain itu konsep ini tidak memerlukan modal yang mahal kerana barangan dekorasi boleh dibeli dengan harga yang sangat berpatutan.
“Malah, ada beberapa perabot lama yang saya ubah suai dan sesuaikan dengan konsep sedia ada. Selain dapat berjimat, saya juga dapat menyuntik sedikit elemen klasik atau vintaj dalam susun atur,” jelasnya yang mengambil masa selama enam bulan untuk melengkapkan gaya tersebut.
Ditanya sama ada penggunaan bata merah yang tidak disimen lebih menjimatkan berbanding bata biasa yang disimen, kata wanita berusia 41 tahun itu, kos yang diperlukan adalah lebih kurang sama.
“Bata merah mahal 10 sen berbanding bata putih. Namun dinding yang tidak disimen menjimatkan kos simen.
“Bagaimana pun, pekerja memerlukan masa yang lama untuk menyusun bata merah cantik-cantik kerana tidak disimen, maka kos pekerja meningkat. Kesimpulannya, kos lebih kurang sama saja,” jelasnya yang turut aktif berkongsi mengenai idea dekorasi di Instagram norazlina.yunus.
Jika diamati secara keseluruhan, rumah ini hanya menggunakan latar warna yang minimal untuk mengekalkan ciri estetiknya.

Rona putih polos pada dinding sudah mencukupi untuk menonjolkan karakter aksesori dan hiasan pada dinding.
Pepohon hidup dan kehijauan pulamemberi sentuhan segar dan semula jadi pada keseluruhan ruang.











